Topik diikuti
Pergi ke BHkuPAP Muda lancar akademi pupuk pemimpin masa depan
PAP Muda lancar akademi pupuk pemimpin masa depan
PAP Muda lancar akademi pupuk pemimpin masa depan
Dalam usaha Parti Tindakan Rakyat (PAP) menggalak dan memupuk barisan pemimpin yang berkebolehan, sayap muda parti itu, PAP Muda (Young PAP), melancarkan akademi latihan belia terbaru pada 4 Julai.
Dinamakan Akademi PAP Muda, ia merupakan wadah mendekati dan menghubungkan pemimpin muda menerusi rangkaian kerja, bimbingan, serta program kepimpinan dengan kerjasama organisasi seperti Belia NTUC (NTUC Youth).
Aktivis PAP Muda boleh menyertai program utama akademi tersebut, iaitu Program Pemimpin Muda serta bengkel latihan praktikal bagi melengkapkan diri mereka dengan sumber yang diperlukan untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura dalam lapangan.
Program pemimpin itu bersedia menerima 20 peserta bagi setiap kursus tiga bulan, dengan sesi latihan diadakan dua kali sebulan.
Timbalan Pengerusi PAP Muda, Dr Syed Harun Alhabsyi, mengumumkan penubuhan akademi tersebut di Festival PAP Muda (YP) 40 tahun di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands pada 4 Julai.
Beliau berkongsi bahawa akademi itu diharapkan dapat membantu belia menambah keyakinan untuk menjadi pemimpin.
Dr Syed Harun, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), berkata dengan dunia yang bergolak, ia semakin penting untuk membawa potensi belia ke tahap lebih tinggi.
Bercakap kepada Berita Minggu (BM) selepas acara tersebut, Dr Syed Harun berkata:
“Inisiatif Akademi PAP Muda ini merupakan satu inisiatif di mana kita ingin mendapatkan keprihatinan belia kita, menjemput mereka memberi sumbangan kepada masyarakat dan Singapura.
“Melalui inisiatif ini, kita berharap dapat bina keyakinan belia kita untuk tampil sebagai pemimpin masa hadapan bagi negara kita.”
Sementara itu, bercakap kepada wartawan selepas festival tersebut, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, yang juga Pengerusi PAP Muda, ditanya sama ada Akademi PAP Muda boleh menjadi saluran pelapis bagi calon Pilihan Raya Umum masa depan.
Beliau menjawab bahawa objektif yang lebih luas ialah bagi menarik lebih ramai golongan muda Singapura yang ingin berkhidmat kepada negara, serta melengkapkan mereka dengan kemahiran dan peluang berbuat demikian.
“Ya, memang akan ada barisan pelapis calon, dan kami sentiasa perlu mencari individu seterusnya yang bersedia untuk tampil.
“Seorang anak muda yang mempunyai semangat yang kuat terhadap negara, yang ingin menyumbang lebih banyak kepada masyarakat, dan kami berharap mereka akan memilih PAP Muda, malah kami sedang mempermudah proses tersebut,” katanya.
Aktivis PAP Muda, Nurhan Hafiz Mohammad Nazri, 22 tahun, berharap akademi tersebut dapat membantunya berkomunikasi dengan penduduk yang berada dalam kesusahan dan memberikan bantuan yang secukupnya.
Hafiz, seorang penulis kes bagi sesi bertemu penduduk (MPS) di Bukit Batok East, berkata:
“Sesi pembelajaran ini dapat membantu saya bersiap sedia dengan secukupnya untuk memberikan impak yang lebih bermakna kepada masyarakat saya, serta membantu rakan-rakan sukarelawan dan juga penduduk di kawasan undi ini.”
Selain itu, PAP Muda turut mengumumkan Program Fellowship Tindakan YP 40 Bawah 40 pada festival itu.
Ia akan menyokong aktivis PAP Muda menerusi bengkel di mana mereka boleh merealisasikan idea mereka.
Seramai 40 aktivis PAP Muda yang terpilih akan diberikan geran permulaan projek sebanyak $5,000 untuk merealisasikan rancangan mereka menjelang pertengahan 2027.
