Mengimbangi tuntutan penduduk kawasan undi dengan harapan masyarakat Melayu/Islam bukan tugas yang ringan.

Namun bagi Anggota Parlimen (AP) penggal pertama, Cik Hazlina Abdul Halim, kededua amanah itu saling melengkapi – membentuk cara beliau mendekati isu rakyat, daripada keperluan warga emas di Fengshan hinggalah persoalan yang menyentuh masyarakat Melayu di peringkat nasional.

Dalam podcast BHerbual terbitan Berita Harian (BH), Cik Hazlina, berkongsi bagaimana beliau mengimbangi kededua tanggungjawab tersebut, sambil menegaskan bahawa amanah sebagai AP Melayu/Islam membawa dimensi tambahan yang beliau hargai.

“Sememangnya sebagai seorang AP kami merupakan wakil pelbagai rakyat Singapura.

“Namun, sebagai seorang AP Melayu/Islam… kami juga mewakili seluruh masyarakat Melayu/Islam. Tak kiralah sama ada awak duduk di Woodlands, Jurong West ataupun Tampines. Kita sebuah masyarakat yang akrab,” katanya.

Menurut beliau, sebelum melelapkan matanya pada waktu malam, perkara pertama yang bermain di fikirannya ialah tanggungjawab terhadap penduduk East Coast.

“Salah satu perkara yang amat ketara… tiap kali saya pulang ke rumah… bila nak lelapkan mata ataupun bila celik mata, yang berlegar di minda ialah amanah saya, tanggungjawab saya kepada 42,000 penduduk di East Coast,” katanya, yang memimpin kawasan undi Fengshan di GRC tersebut.

Namun bagi Cik Hazlina, amanah itu melangkaui sempadan kawasan undi.

“Namun, bagi AP Melayu/Islam, kami memikul amanah menjadi suara masyarakat kami, melebihi kawasan undi yang kami pimpin,” katanya lagi sambil menyifatkan tanggungjawab tersebut sebagai satu “penghormatan”.

Cik Hazlina, 41 tahun, merupakan Naib Presiden Kanan Strategi dan Komunikasi di firma penasihat global Teneo, serta Ketua Pegawai Eksekutif Dana Masyarakat EtonHouse.

Sebelum menyertai politik, beliau merupakan wartawan dan pembaca berita serta juga pernah menyandang jawatan Presiden pertubuhan Melayu/Islam, PPIS. Beliau sudah berumahtangga dan tidak mempunyai anak.

Beliau diturunkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebagai calon di GRC East Coast, dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) menggantikan Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) ketika itu, Dr Mohd Maliki Osman, yang bersara dari politik.

Sebelum menyertai politik dengan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025, Cik Hazlina Abdul Halim (tengah) merupakan wartawan dan pembaca berita selain pernah menyandang jawatan Presiden pertubuhan Melayu/Islam, PPIS.
Sebelum menyertai politik dengan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025, Cik Hazlina Abdul Halim (tengah) merupakan wartawan dan pembaca berita selain pernah menyandang jawatan Presiden pertubuhan Melayu/Islam, PPIS. - Foto fail

Cik Hazlina berkata, ramai rakyat Singapura melihat diri mereka diwakili menerusi AP yang mempunyai latar belakang atau pengalaman hidup yang hampir sama dengan mereka – termasuk wanita dan golongan belia.

“Setiap kali ada warga yang merasakan ‘saya melihat diri saya dalam AP ini’, itu menjadi satu tanggungjawab kerana anda membawa suara mereka bersama,” katanya.

Dalam mengimbangi pelbagai suara itu, Cik Hazlina berkata beliau banyak mendengar maklum balas secara langsung daripada penduduk dan masyarakat.

“Kadang-kadang orang tinggalkan komen, e-mel atau mesej di media sosial.

“Saya akan kumpulkan dan kemudian saya semak bersama jaringan aktivis dan sukarelawan bagaimana kami nak mengutarakan atau menangani isu ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa ketika membahaskan Belanjawan di Parlimen, beliau sengaja menggunakan ruang yang ada untuk mengetengahkan isu berkaitan masyarakat Melayu/Islam, termasuk pembangunan badan Melayu/Islam (MMO).

“Saya datang dari masyarakat saya. Saya dibina oleh masyarakat saya. Jadi menyumbang semula untuk membangun masyarakat saya ialah tanggungjawab saya, amanah saya,” jelasnya.

Pada masa sama, Cik Hazlina menegaskan bahawa keutamaan terus diberikan kepada penduduk Fengshan yang memberikan kepercayaan kepadanya dalam pilihan raya lalu.

“Tentu sekali penduduk Fengshan akan tetap menjadi keutamaan saya. Mereka telah memberi kepercayaan mereka kepada saya,” tegas beliau.

Cik Hazlina Abdul Halim dalam podcast BHerbual terbitan Berita Harian, untuk membincangkan setahun selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Cik Hazlina Abdul Halim dalam podcast BHerbual terbitan Berita Harian, untuk membincangkan setahun selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Di Fengshan sendiri, Cik Hazlina melihat kepelbagaian masyarakat – daripada warga emas yang menetap di flat berusia hampir 50 tahun hinggalah keluarga muda yang baru berpindah masuk – bukan sebagai cabaran tetapi satu kekuatan.

“Saya tidak rasa itu satu cabaran sebenarnya. Saya rasa itu satu kelebihan. Bagaimanakah kita merapatkan jurang antara generasi,” katanya.

Beliau berkongsi bahawa antara fokus utamanya ialah memastikan warga emas tidak terpinggir, termasuk menerusi program makan tengah hari bulanan bagi warga emas yang tinggal bersendirian.

“Saya gembira dan tersentuk melihat mereka begitu ghairah dan seronok berjumpa kawan-kawan sambil menikmati hidangan makan tengah hari yang best,” katanya.

Bagi keluarga muda pula, Cik Hazlina berkata pelbagai program diperkenalkan untuk membina rangkaian sokongan komuniti, termasuk Kelab Ibu Bapa Fengshan dan program belia membawa warga emas bersiar-siar di Taman East Coast.

“Program seperti begitu bermakna… bukan hanya membawa pengertian mendalam bagi golongan muda, tapi bagi warga emas kita juga,” katanya.

Dalam podcast itu juga, Cik Hazlina mengupas visi “East Side Best Side” yang sering diketengahkannya di media sosial bersama pasukan GRC East Coast.

Beliau berkata visi itu berpaksikan lapan teras utama pembangunan masyarakat, termasuk “a place to eat”, “a place to care”, “a place to pray” dan “a place for all” atau “tempat untuk menjamu selera”, “tempat untuk mengambil berat”, “tempat untuk beribadah” dan “tempat untuk semua”..

Menurut beliau, konsep “tempat untuk beribadah” amat penting di East Coast kerana kawasan itu mempunyai pelbagai rumah ibadah dan komuniti agama yang hidup dalam harmoni.

“Kita hidup dalam harmoni dengan sikap menghormati satu sama lain… agama sangat peribadi dan di Fengshan kita menghormati ruang peribadi beragama satu sama lain,” katanya.

Walaupun Fengshan tidak mempunyai masjid, Cik Hazlina berkata beliau sering bekerjasama dengan masjid di sekitar kawasan East Coast seperti Masjid Al-Ansar, Masjid Kassim dan Masjid Al-Taqua dalam usaha mendekati masyarakat.

Bagi beliau, kekuatan sebenar Singapura terletak pada kemampuan rakyat berkongsi ruang dan hidup bersama dalam suasana hormat-menghormati, sambil merujuk kepada bagaimana kolong blok digunakan untuk pelbagai acara masyarakat dan keagamaan.

Di akhir podcast, Hazlina turut menggesa golongan muda terus menyuarakan pandangan dan idea mereka.

“Jangan pernah lelah berkongsi pendapat.

“Cuma sesama kita, kita memberi komitmen kepada satu perkara iaitu beradab and saling hormat menghormati.

“Kita boleh tidak bersependapat, tetapi bagaimana kita menghormati perbezaan itu adalah penting dan mencerminkan diri kita sebagai sebuah masyarakat,” tambah beliau.

Imbas Kod QR untuk dengar podcast.
Imbas Kod QR untuk dengar podcast. - Foto fail

“Salah satu perkara yang amat ketara… tiap kali saya pulang ke rumah… bila nak lelapkan mata ataupun bila celik mata, yang berlegar di minda ialah amanah saya, tanggungjawab saya kepada 42,000 penduduk di East Coast. Namun, bagi AP Melayu/Islam, kami memikul amanah menjadi suara masyarakat kami, melebihi kawasan undi yang kami pimpin.
Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim.