Parti Tindakan Rakyat (PAP) sedang memperkukuhkan kehadirannya dalam masyarakat dengan menubuhkan cawangan-cawangan baru di beberapa kawasan di Singapura selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Berdasarkan pengumuman di media sosial dan kemas kini dalam talian, sekurang-kurangnya enam cawangan baru sedang dalam proses penubuhan di kawasan seperti Tengah, Punggol dan Tampines, lapor akhbar The Straits Times.
Langkah PAP memperluas prasarana akar umbinya itu menyusuli semakan peta pilihan raya Singapura akibat pertambahan penduduk, yang menyaksikan penambahan empat kerusi baru, meningkatkan jumlah Anggota Parlimen (AP) dipilih daripada 93 kepada 97 orang.
PAP memenangi 87 daripada 97 kerusi yang dipertandingkan pada GE2025.
Di kawasan GRC Punggol yang baru, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, telah memulakan Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di Blok 402 Northshore Drive. Difahamkan sebuah cawangan PAP yang baru akan ditubuhkan di sana.
Di GRC Pasir Ris-Changi, AP Encik Sharael Taha memaklumkan bahawa sebuah cawangan baru sedang dipersiapkan di kawasan undi tersebut. Beliau turut menambah bahawa beliau dan AP kali pertama, Cik Valerie Lee, telah mengadakan MPS bersama pertama mereka untuk penduduk di Changi dan Pasir Ris East di Blok 216 Pasir Ris.
AP yang baru dipilih, Encik David Neo, pada 8 Mei menyatakan bahawa pasukannya sedang memuktamadkan persiapan bagi divisyen kelima yang baru di GRC Tampines. Beliau menjelaskan bahawa penyediaan prasarana dan sistem yang diperlukan akan mengambil sedikit masa.
Sementara itu, penduduk boleh terus mengunjungi mana-mana daripada empat lokasi MPS sedia ada di Tampines.
Di GRC Sembawang, menurut hantaran Facebook Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 10 Mei, sebuah divisyen baru dipanggil Naval Base telah diwujudkan daripada divisyen Canberra sebelumnya bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan dijangka di kawasan itu.
AP kali pertama, Encik Ng Shi Xuan, akan mengetuai cawangan baru Naval Base itu yang terletak di Blok 319 Sembawang Close.
Satu lagi cawangan PAP juga sedang ditubuhkan di Tengah, yang merupakan sebahagian GRC Chua Chu Kang.
Ia akan diterajui oleh AP baru, Dr Choo Pei Ling, yang akan memulakan MPS beliau pada 13 Mei di Blok 236B Tengah Garden Walk.
Selain penubuhan cawangan baru disebabkan penambahan kerusi, beberapa cawangan sedia ada juga mengalami perubahan nama atau penggabungan kerana kawasan liputan mereka sebelum ini tidak lagi selari dengan peta pilihan raya yang telah disemak semula.
Dalam beberapa situasi, ada cawangan terpaksa membuat penyesuaian disebabkan kawasan yang dahulunya diwakili oleh seorang AP kini terbahagi kepada dua kawasan undi.
Di GRC Ang Mo Kio, AP baru, Cik Jasmin Lau, berkata kawasan di bawah tanggungjawab beliau, yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Kayu, telah dinamakan semula sebagai Seletar-Serangoon.
Butiran mengenai kawasan tepat di bawah cawangan beliau akan diumumkan kelak, tambahnya.
Pensyarah undang-undang di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan, menjelaskan bahawa penubuhan cawangan baru PAP itu biasanya mencerminkan keperluan menyelaraskan rangkaian akar umbi parti itu dengan peta pilihan raya terkini.
“Apabila sempadan pilihan raya berubah, SMC baru dan kawasan baru di GRC, perlu diwujudkan untuk menyelaraskan rangkaian cawangan PAP dengan sempadan pilihan raya yang ada. Jadi cawangan-cawangan baru ini penting dalam proses penyelarasan ini,” katanya.
Langkah tersebut, tambahnya, juga merupakan sebahagian persiapan awal parti itu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg