Topik diikuti
Pergi ke BHkuPapan tanda arah di Laluan Circle diperbaiki susulan maklum balas penumpang
Papan tanda arah di Laluan Circle diperbaiki susulan maklum balas penumpang
Mudah dibaca jelang pembukaan fasa keenam laluan tersebut pada 12 Jul
Papan tanda arah di Laluan Circle diperbaiki susulan maklum balas penumpang
Maklumat tren yang dipaparkan pada skrin digital di platform Laluan Circle (CCL) kini lebih mudah untuk dibaca menjelang pembukaan fasa keenam laluan tersebut pada 12 Julai.
Penambahbaikan itu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2 Julai, berdasarkan maklum balas penumpang selepas pratonton awam papan tanda baharu yang diadakan pada 29 Mei di empat stesen CCL, iaitu Promenade, Esplanade, Buona Vista dan Paya Lebar.
Mengumumkan perkara itu menerusi satu hantaran di Facebook pada 2 Julai, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata pihaknya menerima maklum balas positif, selain cadangan tentang cara menambah baik papan tanda tersebut.
“Kami memahami setiap kumpulan penumpang mempunyai keutamaan yang berbeza terhadap reka bentuk papan tanda,” katanya.
Sebelum ini, ikon berbentuk bulatan yang menunjukkan arah perjalanan tren, sama ada mengikut arah jam atau lawan arah jam, memenuhi sebahagian besar skrin digital.
Maklumat mengenai stesen penamat atau stesen pertukaran seterusnya pula dipaparkan dalam saiz fon yang lebih kecil di bahagian bawah skrin.
Perkhidmatan yang melengkapkan keseluruhan laluan berbentuk gelung dilabel sebagai “gelung arah jam” atau “gelung lawan arah jam”.
Perkhidmatan yang hanya beroperasi di laluan cabang antara stesen Dhoby Ghaut dan Promenade pula dilabel sebagai putaran jam (clockwise) atau bertentangan arah putaran jam (anticlockwise).
Dalam paparan digital yang dikemas kini, ikon berbentuk bulatan itu telah dikeluarkan. Maklumat mengenai stesen penamat atau stesen pertukaran seterusnya, bersama kod stesen yang dipaparkan mengikut warna laluan, kini dipaparkan dalam saiz lebih besar.
Istilah “clockwise” dan “anticlockwise” kini digunakan untuk menerangkan arah umum perjalanan perkhidmatan, tanpa mengira sama ada tren melalui keseluruhan laluan gelung atau tidak.
Sebelum ini, beberapa penumpang dan pakar sistem pandu arah memberitahu The Straits Times (ST) mereka mendapati papan tanda pandu arah di CCL mengelirukan.
Pengasas firma penasihat sistem pandu arah Studio Lucidus, Encik Samuel Lim, berkata maklumat penting yang membantu penumpang menentukan tren yang perlu dinaiki, iaitu stesen penamat dan stesen pertukaran seterusnya, tidak ditunjuk dengan jelas.
Pengarah firma perunding penjenamaan dan sistem pandu arah IMMORTAL, Encik Stanley Tan, mencadangkan penggunaan grafik animasi yang memaparkan nama tiga stesen berikutnya sebelum menunjukkan arah perjalanan tren.
Dalam hantarannya, LTA menggalakkan penumpang menggunakan CCL yang telah lengkap dengan mengenal pasti terlebih dahulu stesen pertukaran seterusnya mengikut arah perjalanan yang ingin dituju.
Selepas itu, mereka disaran menyemak peta laluan bagi memastikan mereka berada di platform yang betul sebelum merujuk skrin digital untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tren yang akan tiba.
Tiga stesen baharu — Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road — yang akan melengkapkan CCL akan dibuka kepada orang ramai untuk pratonton pada 4 Julai.
