Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Paparan awam, pakaian berkaitan konflik Israel-Hamas dilarang: MHA

Nov 6, 2023 | 7:30 PM
DILARANG: Seorang penyokong pro-Palestin dilihat memakai baju Al-Qassam semasa demonstrasi pro-Palestin di Lenasia, dekat Johannesburg.
DILARANG: Seorang penyokong pro-Palestin dilihat memakai baju Al-Qassam semasa demonstrasi pro-Palestin di Lenasia, dekat Johannesburg. - Foto AFP

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Isnin telah mengeluarkan nasihat yang melarang paparan awam dan pemakaian barang perhiasan diri yang berkaitan dengan konflik Israel-Hamas.

Semua pelancong yang memasuki Singapura juga dinasihati tidak mempamerkan atau memakai barangan sedemikian.

Tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang enggan mematuhi nasihat itu, termasuk menafikan kemasukan mereka ke Singapura, kata kementerian tersebut.

Dalam satu kenyataan media pada Isnin, MHA berkata ia maklum mengenai pakaian dan perlengkapan dengan lambang negara asing yang berkaitan dengan konflik Israel-Hamas yang dijual dalam talian dan dipakai atau dipamerkan oleh orang awam.

Kementerian itu juga telah menerima pertanyaan mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya barangan sedemikian dipamerkan atau dipakai di sini.

MHA berkata: 

“Konflik Israel-Hamas yang berterusan adalah isu emotif. Kami ingin menasihati larangan paparan awam dan pemakaian barangan berhubung dengan konflik itu, memandangkan sensitiviti yang meningkat. Semua pelancong menggunakan pusat pemeriksaan kami juga dinasihati tidak memaparkan atau memakai barang sedemikian. Pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang enggan mematuhi, termasuk menafikan kemasukan mereka ke Singapura.

“Khususnya, mempromosikan atau menyokong keganasan melalui paparan pakaian atau perlengkapan yang membawa logo kumpulan pengganas atau militan, seperti Hamas atau kumpulan sayap tenteranya, Briged Al-Qassam, tidak akan dibenarkan.”

Melainkan ia dikecualikan secara nyata, paparan awam lambang negara asing tanpa permit adalah satu kesalahan di bawah Akta 1949 Lambang Negara Asing (Kawalan Paparan).

Sekiranya disabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga $500 atau penjara selama tempoh sehingga enam bulan, atau kededuanya.

“Keamanan dan keharmonian antara pelbagai kaum dan agama di Singapura tidak boleh dipandang remeh, dan kita tidak boleh membiarkan peristiwa yang berlaku secara luaran menjejas keamanan dan keharmonian yang kita ada di Singapura,” kata MHA.

MHA menambah, warga Singapura boleh memberi sokongan kepada mangsa perang yang sedang berlaku dengan menderma kepada usaha bantuan kemanusiaan oleh badan amal yang telah diberikan permit Pengumpulan Dana untuk Tujuan Amal Asing oleh Pesuruhjaya Badan Amal.

Badan amal ini termasuk Persatuan Palang Merah Singapura dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg