WASHINGTON: Dari Washington hingga ke Milan, London, Paris, Berlin, Istanbul, Dakar dan Jakarta, berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan pro-Palestin berarak pada hujung minggu lalu, menyeru Israel supaya segera menghentikan pengeboman ke atas Gaza.
Protes besar-besaran itu mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat tentang bertambah ramainya jumlah korban awam dan penderitaan akibat perang Israel-Hamas.
Penunjuk perasaan, terutamanya di negara-negara yang mempunyai penduduk Islam yang besar, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Italy, Perancis dan Indonesia, melahirkan kekecewaan terhadap pemerintah mereka berkaitan Israel, yang melakukan pengeboman berterusan ke atas hospital dan kawasan kediaman di jalur Gaza.
Di Amerika, beribu-ribu orang berkumpul di ibu negara itu untuk membantah sokongan pentadbiran Presiden Joe Biden kepada Israel dan kempen ketenteraannya yang berterusan di Gaza.
‘Palestin akan bebas’ laung penunjuk perasaan sambil mengibar bendera Palestin yang besar di Pennsylvania Avenue – jalan menuju ke Rumah Putih.
Menzahirkan kritikan langsung terhadap Presiden Biden, Encik Renad Dayem dari Cleveland berkata beliau dan keluarganya menyertai protes supaya anak-anaknya tahu “rakyat Palestin mesti tabah dan kami mahukan seorang pemimpin yang tidak menjadi boneka kepada pemerintah Israel”.
Berpuluh-puluh beg mayat putih kecil dengan nama kanak-kanak yang dibunuh oleh peluru berpandu Israel memenuhi jalan dan penunjuk perasaan memegang papan tanda menggesa gencatan senjata segera.
Cik Jinane Ennasri, seorang penduduk New York berusia 27 tahun, berkata sokongan pentadbiran Presiden Biden terhadap Israel yang mengorbankan beribu-ribu rakyat Palestin telah membuatnya berfikir semula untuk mengundi dalam pilihan raya presiden 2024.
Di Paris, beberapa ribu penunjuk perasaan menggesa “gencatan senjata segera di Gaza”.
Di Berlin, ribuan orang memenuhi jalan raya di bandar tersebut sebagai tanda perpaduan bersama rakyat Palestin di Gaza, sedang Israel terus mengebom bandar itu selepas serangan Hamas di wilayahnya pada 7 Oktober.
“Kami menganggarkan jumlah penunjuk perasaan kira-kira 3,500 orang tetapi lebih ramai datang,” kata jurucakap polis kepada AFP.
Di United Kingdom, orang ramai mengadakan protes duduk di London, menghalang Oxford Circus dan Piccadilly Circus, sebelum berarak dan berkumpul di Trafalgar Square. Penunjuk perasaan memegang sepanduk ‘Kebebasan untuk Palestin’ dan melaungkan ‘gencatan senjata sekarang’ dan ‘dalam ribuan kita, dalam jutaan kita, kita semua rakyat Palestin’.
Polis Metropolitan London menganggarkan sekitar 30,000 orang menghadiri perhimpunan itu.
Di Turkey, konvoi penyokong Palestin menuju ke pangkalan tentera Amerika di selatan negara itu untuk mengadakan protes, bertepatan dengan ketibaan Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, ke Turkey pada Isnin.
Orang ramai berkumpul di luar masjid pusat di Dakar, Senegal, dengan sepanduk dan bendera Palestin.
“Protes ini sepatutnya berlaku minggu lalu, tetapi ia diharamkan,” lapor wartawan Al Jazeera, Encik Nicholas Haque.
Ratusan ribu orang berhimpun di Jakarta pada Sabtu bagi menzahirkan perpaduan mereka dengan rakyat Palestin serta mengecam serangan Israel ke atas orang awam di negara itu.
Perhimpunan yang dianjurkan oleh pelbagai kumpulan dalam Perikatan Rakyat Indonesia untuk Palestin itu dimulakan dengan perarakan melalui bandar-bandar dan kemudian berhimpun di Tugu Negara di tengah-tengah Dataran Merdeka.
Pemimpin agama, tokoh politik dan menteri, seperti Menteri Luar, Cik Retno Marsudi, dan Menteri Agama, Encik Yaqut Cholil Qoumas, turut kelihatan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg