Topik diikuti
Pergi ke BHkuPAPSG tubuh pasukan khusus di 9 cawangan dampingi warga emas tinggal sendiri
Langkah susulan kebimbangan ada warga emas terlepas perhatian, hidup dalam pengasingan sepenuhnya
PAPSG tubuh pasukan khusus di 9 cawangan dampingi warga emas tinggal sendiri
Kumpulan Warga Emas Parti Tindakan Rakyat (PAPSG) akan melatih pasukan sukarelawan khusus di sembilan cawangannya untuk mendampingi dan menyokong warga emas yang tinggal bersendirian.
Ia adalah sebahagian usaha bersasar untuk menangani isu pengasingan sosial di Singapura, terutama ketika negara ini melalui peralihan menuju masyarakat yang sangat tua, atau super-aged.
Mengumumkan daya usaha itu semasa acara sempena meraikan Hari Warga Emas Antarabangsa pada 4 Oktober, Pengerusi PAPSG, Dr Tan See Leng, menekankan perlunya satu gerakan masyarakat berskala penuh untuk menangani isu pengasingan sosial dan memastikan sentiasa ada pihak yang memantau kebajikan warga emas.
Sekitar 300 tetamu, termasuk Anggota Parlimen (AP) yang sudah bersara, AP semasa, para aktivis dan pengerusi cawangan, hadir di acara tersebut yang diadakan di Hotel Furama RiverFront Singapore.
“Salah satu kebimbangan terbesar kami pada masa ini adalah terdapat warga emas yang terlepas daripada perhatian dan hidup dalam pengasingan sepenuhnya.
“Ini merupakan keprihatinan utama dalam maklum balas yang kami kumpulkan semasa empat sesi perbincangan masyarakat dan satu sesi dialog pada tahun ini (2026).
“Mesej daripada para peserta adalah jelas: kita mesti memperkukuh sokongan untuk warga emas yang tinggal bersendirian,” kata Dr Tan, yang juga Menteri Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga dan Perusahaan).
Sebagai permulaan, sembilan pengerusi cawangan dalam Jawatankuasa Eksekutif (ExCo) PAPSG akan membentuk pasukan sukarelawan khusus di cawangan masing-masing untuk mendampingi dan menyokong warga emas yang tinggal bersendirian.
Sembilan cawangan itu ialah Bedok, Bukit Batok East, Chua Chu Kang, Changi-Simei, Kaki Bukit, Kebun Baru, Nee Soon East, Tanjong Pagar-Tiong Bahru dan Toa Payoh Central.
Sukarelawan akan dilatih untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran bagi menangani keperluan penduduk yang hidup bersendirian dengan lebih baik.
Pasukan tersebut juga akan menyepadukan kegiatan pendekatan secara langsung dalam lawatan ke rumah penduduk yang kerap dilakukan dan Sesi Bertemu Penduduk (MPS) setiap minggu.
Data dalam laporan tahunan Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) terkini yang dikeluarkan pada 25 September menunjukkan Singapura kini sebuah masyarakat yang sangat tua, atau super-aged, dengan 21.4 peratus rakyat berusia 65 tahun dan ke atas pada 2026.
Naib Pengerusi PAPSG, Cik Rahayu Mahzam, yang juga Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), berkata pasukan sukarelawan baharu yang ditubuhkan itu akan melengkapi, dan bukannya bertindih dengan usaha yang dijalankan rangkaian nasional sedia ada, termasuk Pejabat Generasi Warga Emas (SGO) dan Pusat Penuaan Aktif (AAC).
Beliau menambah, sukarelawan memainkan peranan penting kerana mereka mengenali penduduk tempatan yang ditemui semasa lawatan ke rumah dan MPS setiap minggu.
Menurut Cik Rahayu, PAPSG berhasrat memanfaatkan kekuatan sedia ada dengan mempertingkat kemahiran kumpulan aktivis di setiap cawangan.
Langkah itu bagi memastikan mereka memiliki pengetahuan dan keupayaan untuk mendekati warga emas, sekali gus menyalurkan maklumat serta bantuan yang sewajarnya
“Diharapkan dengan itu, kita dapat melakukan usaha pada fasa akhir, di mana kita dapat menutup segala kekurangan dan menguatkan lagi usaha yang sedia ada dalam membantu dan menyokong warga emas kita,” tambahnya.