Perangkaan terbaru demografik penduduk di Singapura menunjukkan bilangan penduduk yang menua kian meningkat tetapi nisbah penduduk yang dapat menjaga warga emas menurun.
Statistik dikeluarkan Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan bilangan warga Singapura berusia 80 tahun dan ke atas melonjak 60 peratus dalam tempoh sedekad.
Seramai 145,000 warga tergolong dalam golongan usia itu pada 2025, meningkat daripada 91,000 pada 2015.
Ia mengesahkan apa yang diketahui sebelum ini bahawa Singapura akan mencapai status ‘super-aged’ atau sangat menua pada 2026 di mana lebih seorang daripada lima warga akan berusia melebihi 65 tahun dan lebih tinggi.
Berdasarkan definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara yang sangat menua berlaku apabila peratusan mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas, mencecah 21 peratus atau lebih.
Pada 2025, 20.7 peratus warga Singapura sudah pun mencecah dalam golongan usia tersebut, daripada 13.1 peratus pada 2015.
Apa yang lebih membimbangkan, peratusan penduduk yang masih bekerja, lazimnya berusia antara 20 dengan 64 tahun, yang mampu menyokong golongan warga emas turut menurun.
Saiz keluarga juga semakin mengecil, dengan pasangan berkahwin tidak lagi mempunyai ramai anak.
Ia mencetuskan satu persoalan mampukah warga emas di tahun-tahun mendatang lebih berdikari tanpa mengharapkan sokongan dan bantuan anak?
Bagi pasangan suami isteri yang masih kuat bekerja, mudah untuk mereka luahkan bahawa mereka tidak mengharapkan sokongan dan bantuan anak.
Mereka ingin hidup berdikari dan sendiri tanpa memerlukan bantuan mereka.
Bagi kita yang sudah menjangkau usia 40-an hingga 60-an tahun, tentunya persoalan itu berlegar di minda.
Yang nyata, bagi kebanyakan daripada kita, apa yang kita inginkan ialah kehidupan berdikari dari segi kewangan, kekal aktif dan sihat dan dapat beribadah untuk sisa-sisa kehidupan.
Jika boleh, kita tidak mahu menyusahkan anak-anak. Itulah yang menjadi harapannya.
Tetapi, hakikatnya, kehidupan tidak semudah itu.
Apabila usia meningkat, penyakit menular dan pergerakan terhad, siapakah yang boleh mereka harapkan dalam sisa-sisa usia mereka?
Kita sudah melihat apa yang berlaku sekarang apabila ibu bapa tinggal sendirian tanpa bantuan dan sokongan keluarga.
Ada juga yang tinggal bersama pembantu rumah tanpa anak di sisi.
Lebih menyayat hati ialah warga emas yang dihantar ke pusat penjagaan warga emas apabila keluarga tidak dapat menjaga mereka.
Ia menjadi realiti kehidupan yang kita akan lalui.
Seorang rakan yang berusia pertengahan 40-an tahun menyatakan beliau merancang untuk tinggal di Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA) yang dibangunkan pemerintah.
CCA itu merupakan perumahan mesra warga emas yang menyepadukan khidmat penjagaan warga emas dan kegiatan sosial bagi membolehkan warga emas hidup berdikari.
Justeru langkah pemerintah membina prasarana lebih khusus seperti CCA, yang dibina pemerintah untuk membantu warga emas dengan penjagaan jangka panjang, amat dialu-alukan.
Kakitangan penjagaan akan menyelaraskan perkhidmatan, melawat warga emas secara berkala dan boleh bertindak dalam kecemasan.
Dilancarkan buat pertama kali pada 2021 di Harmony Village di Bukit Batok, CCA menawarkan 169 unit dalam unit pada harga bermula $40,000 bagi tempoh pajakan 15 tahun dan $65,000 bagi tempoh pajakan 35 tahun. Sebuah lagi CCA adalah Queensway Canopy di Queen’s Crescent.
Daya usaha pemerintah dalam memperkenalkan Pusat Penuaan Aktif (AAC) agar warga emas dapat terus kekal aktif perlu diperluaskan.
Program-program bersifat riadah bukan sahaja membolehkan mereka terus aktif dari segi fizikal, malah minda.
Apa yang penting, prasarana yang disediakan tidak harus hanya bersifat fizikal.
Lebih sukar, ialah ‘sofwe’ yang dapat mengisi minda dan kerohanian mereka.
Mungkin mudah untuk mengisi masa terluang dengan kegiatan fizikal.
Bagi masyarakat Islam, usia lanjut biasanya diisi dengan lebih banyak beribadah, pergi ke masjid dan mengikuti kelas agama.
Tetapi, rasa sunyi di hati sukar diubat apabila seseorang sudah lanjut usia tetapi pasangan yang sudah lama menjadi pendamping hidup, sudah tiada.
Apabila sekian lama berdikari, ia juga tidak mudah menerima kehidupan yang perlu bergantung kepada orang lain untuk melakukan kerja harian yang sebelum ini dapat dilakukan dengan mudah.
Tetapi, itulah realiti kehidupan.
Ia memerlukan masyarakat dan anggota keluarga untuk lebih memahami keperluan emosi warga emas yang kerap turun naik.
Wang boleh dikeluarkan untuk memastikan keperluan fizikal warga emas dijaga.
Tetapi, apa yang tidak boleh dibeli ialah sokongan ‘sofwe’ yang boleh diberikan anak dan keluarga untuk terus mendampingi mereka dengan penuh keihsanan dan kasih sayang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg