Anggota Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), Cik Sarina Abu Hassan, mengkritik Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memperkenalkan rancangan Melakar Hala Tuju Singapura, dengan mengatakan bahawa ia tidak menawarkan penyelesaian yang nyata untuk masalah yang semakin berleluasa di negara ini.
Dalam ucapannya semasa siaran politik PAR di saluran Mediacorp Suria pada 25 April, Cik Sarina menekankan tentang kos sara hidup yang tinggi, ketidakpastian pekerjaan, dan rumah yang semakin mahal sebagai isu utama yang tidak dapat diselesaikan oleh pemerintah masakini.
Sebaliknya, beliau mendakwa PAP hanya memberi penyelesaian sementara seperti baucar dan subsidi.
PAR berpendapat rakyat Singapura tidak sepatutnya dilayan seperti golongan yang meminta-minta bantuan.
“Rakyat Singapura tidak mahu dilayan seperti pengemis. Mereka tidak mengharapkan pemberian semata-mata. Mereka mahukan pekerjaan yang bermakna, yang memberi jaminan dan tujuan dalam hidup,” tegas Cik Sarina.
Siaran politik PAR ini juga disiarkan dalam Bahasa Inggeris di Channel 5, dan disampaikan Setiausaha Agung PAR, Encik Lim Tien.
Menurut PAR, rancangan PAP menggesa rakyat Singapura untuk menerima masa depan yang lebih sukar berbanding apa yang dialami oleh ibu bapa mereka.
Jika dipilih, PAR merancang untuk menyediakan pendidikan percuma, makanan sekolah percuma, dan rawatan kesihatan percuma untuk setiap kanak-kanak Singapura.
“Ini akan banyak membantu meringankan beban kos sara hidup ibu bapa dan menggalakkan mereka untuk mempunyai lebih ramai anak, demi membalikkan kadar kesuburan total negara kita yang kini hanya 0.97,” ujarnya mempunyai lebih ramai anak tanpa bimbang tentang kos.
Cik Sarina juga ingin menangani krisis perumahan dengan mengurangkan kos perumahan awam dan memastikan pasangan muda tidak perlu menanggung hutang besar untuk memiliki rumah. Mereka mahu memastikan perumahan awam kembali mampu dimiliki, supaya keluarga tidak perlu menghabiskan sebahagian besar hidup mereka membayar pinjaman rumah.
PAR berkata mereka sedia berjuang untuk masa depan yang lebih baik untuk semua orang, bukan hanya golongan elit, dengan penyelesaian praktikal untuk memperbaiki kehidupan rakyat Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg