Parti Kemajuan Singapura (PSP) menyeru pengundi agar menghantar lebih banyak wakil pembangkang ke Parlimen sambil berkata ini penting untuk mengelak risiko situasi yang menyaksikan kumpulan elit diberi kuasa menentukan dasar negara.
Dalam siaran politiknya di saluran Suria pada 25 April, Naib Pengerusi Kedua PSP, Encik A’bas Kasmani, menegaskan bahawa bilangan calon baru daripada kalangan bekas pegawai perkhidmatan awam dan tentera yang dicalonkan oleh parti pemerintah menimbulkan kebimbangan.
PSP mempersoalkan sama ada rakyat Singapura mahukan Parlimen “groupthink” atau berfikiran sebagai satu kumpulan, yang biasanya menghasilkan keputusan yang lemah dan tidak dicabar.
“Adakah kita mahu sebuah Parlimen yang terdiri daripada sekumpulan elit kecil yang berfikiran secara berkumpulan yang sempit? Adakah itu cukup untuk membantu kita merangka jalan untuk mengharungi cabaran yang bakal kita hadapi?
“Apa yang kita perlukan adalah sebuah Parlimen yang lebih seimbang dan dapat mewakili pandangan pelbagai lapisan rakyat Singapura,” tegas Encik A’bas, 71 tahun.
Dengan slogan ‘Kemajuan untuk Semua’, Encik A’bas berkata kemajuan ekonomi dan sosial negara tidak sepatutunya dinikmati oleh golongan atasan sahaja.
Ia perlu menyentuh kehidupan harian rakyat biasa, ternasuk isu kos sara hidup, penjagaan kesihatan, perumahan dan pekerjaan, tambahnya.
Ucapan itu juga disampaikan dalam bahasa Inggeris oleh pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bok, di Channel 5.
Manifesto PSP merangkumi lebih 60 cadangan dasar yang dikatakan mampu memperbaiki taraf hidup rakyat.
Encik A’bas juga mengakui bahawa mereka hanya bertanding di 13 kerusi dan tidak berhasrat membentuk pemerintah.
“Tetapi jika kami dipilih sebagai anggota Parlimen, kami akan bersuara dengan tegas. Kami akan mendesak pemerintah agar menerima beberapa cadangan dasar kami ini demi memperbaiki hidup anda,” ujarnya.
Namun, mereka berikrar akan menjadi suara lantang rakyat di Parlimen jika diberi mandat, dengan merujuk kepada prestasi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) mereka sejak lima tahun lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg