SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Parlimen bincang langkah lindungi S’pura daripada kesan konflik Timur Tengah

Parlimen bincang langkah lindungi S’pura daripada kesan konflik Timur Tengah

32 AP telah kemuka soalan berhubung konflik, termasuk isu kenaikan harga tenaga dan tindak balas pemerintah
Apr 6, 2026 | 4:33 PM

Parlimen bincang langkah lindungi S’pura daripada kesan konflik Timur Tengah

Singapore, Parliament, Parlimen, Middle East conflict, konflik Timur Tengah
Seramai 32 Anggota Parlimen (AP) telah mengemukakan 62 soalan mengenai kesan perang di Timur Tengah dan tindak balas pemerintah terhadapnya. - Foto fail

Parlimen akan bersidang pada 7 April untuk membincangkan langkah-langkah melindungi warga Singapura daripada impak konflik Timur Tengah.

Tiga menteri utama dijadual membuat kenyataan mengenai situasi tersebut.

Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam; dan Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow, menurut kertas perintah yang diterbitkan pada 6 April.

Seramai 32 Anggota Parlimen (AP) telah mengemukakan 62 soalan berkaitan kesan perang itu, termasuk isu kenaikan harga tenaga dan tindak balas pemerintah.

Fokus utama soalan-soalan ini adalah kesan perang ke atas ekonomi dunia yang berkait rapat dengan Singapura.

Para AP menyoal penilaian pemerintah tentang bagaimana gangguan pengeluaran tenaga di rantau itu akan dirasai di sini.

Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (GRC Aljunied), telah meminta anggaran pemerintah mengenai kesan gangguan kemudahan gas asli cecair (LNG) di Timur Tengah terhadap perbelanjaan isi rumah. 

Beliau juga menanyakan rancangan luar jangka pemerintah sekiranya bekalan tenaga terganggu atau harga tenaga kekal tinggi untuk tempoh yang panjang.

Para AP turut bertanya bagaimana pemerintah akan campur tangan untuk membantu pelbagai lapisan masyarakat, termasuk perniagaan, serta pekerja yang terjejas teruk akibat lonjakan harga bahan api.

Sebagai contoh, Cik Nadia Ahmad Samdin (GRC Ang Mo Kio) meminta penilaian tentang kesan kenaikan harga bahan api kepada syarikat kecil dan sederhana (SME), serta rakyat Singapura yang bergantung pada kenderaan mereka untuk pendapatan harian, termasuk pemandu kereta sewa privet dan pekerja penghantaran.

Beliau turut bertanya tentang sokongan yang tersedia.

Beberapa AP daripada parti pemerintah dan pembangkang, termasuk Cik Poh Li San (SMC Sembawang Barat) dan Encik Kenneth Tiong dari WP (GRC Aljunied), turut mempersoalkan kesan perang terhadap harga makanan. 

Mereka juga bertanya sama ada pemerintah sedang memperkukuh strategi simpanan makanan dan mempelbagaikan sumber import makanan sekiranya konflik itu berpanjangan.

AP lain seperti Encik Liang Eng Hwa (SMC Bukit Panjang) pula bertanya sama ada gangguan tenaga telah mempercepatkan rancangan untuk mempelbagaikan campuran tenaga Singapura, termasuk sumber alternatif seperti tenaga nuklear.

Perkara ini dibangkitkan selepas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa beberapa langkah sokongan Belanjawan 2026 akan dipercepatkan untuk memberikan bantuan segera dan mengurangkan kesan konflik Timur Tengah ke atas isi rumah dan perniagaan.

Pemerintah juga akan memberikan sokongan khusus kepada sektor yang paling terjejas dan meningkatkan langkah-langkah sedia ada, katanya pada 2 April.

Antara langkah yang diumumkan dalam Belanjawan pada Februari termasuk rebat utiliti untuk isi rumah.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg