Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah percepat sokongan diumum Belanjawan 2026, sedia bantuan khusus
Pemerintah percepat sokongan diumum Belanjawan 2026, sedia bantuan khusus
PM Wong: S’pura bentuk jawatankuasa krisis peringkat menteri tangani kesan perang Timur Tengah
Pemerintah percepat sokongan diumum Belanjawan 2026, sedia bantuan khusus
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah akan mempertingkatkan langkah-langkah sedia ada bagi meringankan impak serta-merta ke atas isi rumah dan perniagaan ekoran konflik di Timur Tengah yang menjejas harga minyak dan rantaian bekalan di seluruh dunia.
Ini termasuk mempercepatkan pelaksanaan sebahagian sokongan yang telah diumumkan pada Belanjawan 2026 serta menyediakan sokongan khusus bagi sektor-sektor yang terjejas dengan lebih teruk.
Selain itu, sebuah jawatankuasa krisis peringkat menteri akan dibentuk untuk menyelaraskan respons negara terhadap konflik tersebut, umum Encik Wong dalam satu video yang diterbitkan pada 2 April.
Jawatankuasa Menteri Krisis Dalam Negeri (HCMC) itu akan dipengerusikan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dengan Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, bertindak sebagai penasihat.
Berkongsi lanjut mengenai kesan konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, Encik Wong berkata gangguan perkapalan di Selat Hormuz telah menjejas bekalan minyak dan sumber utama gas asli cecair (LNG) secara drastik, serta mengancam pengeluaran makanan global.
Beliau berkata: “Harga minyak telah melonjak – meningkat lebih daripada 60 peratus sejak peperangan bermula. Rantaian bekalan kini tertekan, dan negara-negara di serata dunia sedang merasai kesempitannya.
“Asia amat terdedah kepada kesan ini kerana sebahagian besar bekalan tenaga yang melalui Selat Hormuz menuju ke rantau kita, termasuk Singapura.”
Menurutnya, walau terdapat usaha diplomatik yang sedang dijalankan, namun jurang perbezaan antara pihak yang bertikai masih besar, dengan Amerika bersedia menambah serangan ketenteraan jika tiada penyelesaian dicapai.
Walaupun jika gencatan senjata berjaya dilakukan, kesan konflik dijangka berterusan kerana kerosakan infrastruktur tenaga akan mengekalkan harga yang tinggi dan mengambil masa beberapa bulan untuk memulihkan kapasiti penuh.
Ini berserta risiko gangguan bekalan di laluan utama seperti Selat Hormuz dan Laut Merah, kata Encik Wong.
Encik Wong berkata bahawa jika sumber tenaga dan laluan bekalan utama di Timur Tengah terus terhalang bagi tempoh yang lama, kesannya akan menjadi sangat buruk.
Beliau menambah, ia bukan sahaja bermakna harga yang lebih tinggi, malah boleh mencetuskan krisis tenaga global – yang mengganggu kehidupan harian serta aktiviti pengeluaran, sekali gus memberi tekanan besar kepada ekonomi di merata tempat.
“Hasil pengeluaran akan melemah dengan mendadak, meskipun harga terus meningkat. Inilah yang digambarkan oleh ahli ekonomi sebagai stagflasi.
“Sebaik sahaja ia la mencengkam, ia akan membawa kerosakan yang mendalam dan sangat sukar untuk dikawal,” kata Encik Wong.
Singapura juga perlu bersedia menghadapi kemungkinan peningkatan konflik yang lebih buruk dalam beberapa hari dan minggu mendatang, kata beliau, sambil berkata risiko pembukaan medan baharu yang akan meluaskan lagi konflik tersebut.
Mengulas mengenai peranan jawatankuasa tersebut, Encik Wong berkata mereka telah memulakan tugasan dengan mengemas kini pelan luar jangka sedia ada dan membangunkan pelan baharu berdasarkan perkembangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Ia akan bermula dengan mengambil langkah aktif untuk memperkukuh daya tahan tenaga dan rantaian bekalan Singapura.
“Buat masa ini, kita telah berjaya menguruskan gangguan segera yang berlaku.
“Syarikat penapisan dan kimia kita sedang membuat pelarasan – dengan mengurangkan skala pengeluaran, serta mendapatkan bekalan minyak mentah dan bahan mentah dari luar Timur Tengah.
“Pengimport LNG kita juga sedang mendapatkan bekalan alternatif daripada pengeluar global,” katanya.
Encik Wong menambah untuk membina daya tahan yang lebih kukuh, pemerintah sedang dan akan mendalami kerjasama dengan rakan kongsi yang dipercayai khususnya, Australia, yang merupakan pembekal utama LNG dan sudah menyumbang lebih daripada satu pertiga daripada bekalan Singapura.
Ini di samping New Zealand, di mana kerjasama bertujuan untuk memastikan talian bekalan barangan keperluan dan makanan kekal terbuka semasa krisis.
Encik Wong menegaskan perkongsian sedemikian sangat penting untuk keselamatan jangka panjang negara.
Selain itu, pemerintah juga akan meringankan impak segera ke atas isi rumah dan perniagaan.
Langkah-langkah sokongan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 sedang dilaksanakan termasuk rebat U-Save tambahan bagi membantu isi rumah menangani kos elektrik yang lebih tinggi, kata Encik Wong.
“Memandangkan lonjakan harga minyak dan keadaan yang tidak menentu, pemerintah akan melakukan lebih lagi.
“Kita akan mempertingkatkan langkah-langkah sedia ada, dan mempercepatkan pelaksanaan sebahagian daripadanya untuk memberikan bantuan lebih awal.
“Kita juga akan menyediakan sokongan bersasar bagi sektor-sektor yang terjejas lebih teruk,” ujar beliau yang menambah kumpulan menteri itu akan berkongsi maklumat lanjut di Parlimen pada 7 April.
Terakhir sekali, Encik Wong menggesa rakyat Singapura untuk bersatu terutama sekali dalam keadaan tidak menentu ini.
Bantuan pemerintah tidak cukup, ia juga memerlukan perniagaan dan isi rumah untuk mengambil langkah-langkah praktikal, kata beliau.
Antaranya, menjimatkan tenaga, serta mengurangkan penggunaan dan pembaziran yang tidak perlu.
“Bagi perniagaan, ini bermakna menyemak semula operasi dan meningkatkan kecekapan tenaga. Bagi isi rumah pula, ia bermakna sentiasa peka terhadap penggunaan tenaga harian.
“Langkah-langkah ini mungkin nampak kecil, namun jika dilakukan bersama, ia akan membawa perbezaan yang nyata,” ujarnya.
