Satu Rang Undang-undang Pilihan Raya (Integriti Pengiklanan Secara Dalam Talian) (Pindaan) telah diluluskan di Parlimen pada 15 Oktober.
Ia adalah sebagai respons untuk memerangi maklumat palsu yang dipacu, dijana atau dimanipulasi kecerdasan buatan (AI) generatif, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Dengan itu, kata beliau, ia membolehkan pemerintah mengekang mana-mana kandungan yang dijana dan dimanipulasi AI generatif semasa pilihan raya di Singapura – pilihan raya umum seterusnya harus diadakan menjelang November 2025.
Undang-undang itu akan berkuat kuasa dari tempoh writ pilihan raya dikeluarkan sehingga waktu mengundi tamat.
Di bawah undang-undang baru itu, proses wajar diberikan kepada individu atau entiti yang dituduh mengedar palsu mendalam, atau deepfake, iaitu salah satu kandungan yang dijana atau dimanipulasi AI generatif.
Deepfake merupakan teknik pemalsuan dengan merubah rupa paras seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.
Pegawai Pengurus Undi (RO) turut mempunyai kuasa mengeluarkan arahan pembetulan dan calon boleh memohon arahan tersebut di bawah seksyen 61MA yang baru dalam undang-undang tersebut.
Langkah itu diperlukan sedang maklumat palsu hasil daripada AI generatif boleh mengancam asas demokratik, tambah Cik Teo.
Semasa perbahasan, beliau berkata rang undang-undang tersebut akan memperkukuhkan undang-undang pilihan raya sedia ada di bawah Akta Pilihan Raya Presiden dan Akta Pilihan Raya Parlimen, sekali gus memastikan “kejujuran perwakilan calon dan integriti pilihan raya terus ditegakkan”.
Beliau menambah rang undang-undang tersebut mencakupi tiga teras – pertama, penyasaran kandungan substantif di bawah iklan pilihan raya secara dalam talian; kedua, berkenaan kandungan yang dijana atau dimanipulasi secara digital; dan ketiga, mengatasi jenis kandungan paling bahaya dalam konteks pilihan raya.
“Sebagai contoh, ramai daripada kita mungkin mendapati adalah sukar untuk percaya bahawa Perdana Menteri memberikan nasihat pelaburan di media sosial.
“Tetapi sebagai Anggota Parlimen, kami telah bertemu dengan penduduk yang menjadi mangsa penipuan yang dipacu AI sedemikian.
“Dari segi ini, undang-undang ini akan dikuatkuasakan selagi mana terdapat beberapa orang awam yang akan secara munasabah mempercayai bahawa seseorang calon telah menyatakan atau melakukan apa yang dipaparkan,” tambah Cik Teo.
Hal sedemikian penting tatkala fenomena deepfake kian berleluasa dan menjadi kebimbangan Anggota Parlimen, seperti yang diutarakan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) semasa perbahasan.
Ketika berhujah, Encik Zhulkarnain berkata deepfake “menimbulkan ancaman besar kepada demokrasi dan proses pilihan raya”.
“Dengan manipulasi audio dan video, deepfake boleh dijadikan senjata untuk menyebarkan maklumat salah, merosakkan reputasi dan menyemai kekeliruan semasa detik genting dalam pilihan raya.
“Kepantasan kandungan yang dimanipulasi itu boleh tersebar luas di media sosial dan akan hanya meningkatkan risiko potensi mempengaruhi sebahagian besar pengundi sebelum kesahihan maklumat itu dapat dipastikan,” ujarnya.
Dr Wan Rizal pula berkata kandungan deepfake, yang diiring dengan maklumat palsu, boleh menggambarkan seolah-olah seperti seseorang calon melakukan atau menyatakan sesuatu, yang secara realitinya tidak benar sama sekali.
“Dengan mengharamkan penerbitan perwakilan seorang calon yang kelihatan realistik tetapi palsu, khususnya bagi kandungan yang dimanipulasi melalui AI generatif, kita mengisytiharkan secara jelas bahawa tiada tempat untuk penipuan dalam proses pilihan raya,” katanya.
Namun, kedua-dua Dr Wan Rizal dan Encik Zhulkarnain menegaskan pentingnya proses itu tidak disalah guna, tatkala Singapura memberikan komitmen jelas terhadap sistem pilihan raya yang adil, telus dan boleh dipercayai untuk semua rakyat Singapura.
Sidang Parlimen pada 15 Oktober turut menyaksikan dua rang undang-undang – iaitu Rang Undang-undang Cukai Pendapatan (Pindaan) dan Rang Undang-undang Perusahaan Multinasional (Cukai Minimum) diluluskan.
“
Sebagai contoh, ramai daripada kita mungkin mendapati adalah sukar untuk percaya bahawa Perdana Menteri memberikan nasihat pelaburan di media sosial. Tetapi sebagai Anggota Parlimen, kami telah bertemu dengan penduduk yang menjadi mangsa penipuan yang dipacu AI sedemikian. Dari segi ini, undang-undang ini akan dikuatkuasakan selagi mana terdapat beberapa orang awam yang akan secara munasabah mempercayai bahawa seseorang calon telah menyatakan atau melakukan apa yang dipaparkan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg