Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akaun khas CPF pencarum 55 tahun dan ke atas ditutup separuh kedua Jan 2025

Skim Perlindungan Perumahan diperluas pertengahan 2025 bagi pencarum dengan penyakit sedia ada tertentu yang tidak begitu teruk
Oct 14, 2024 | 7:10 PM
Menteri Tenaga Manusia (MOM), Dr Tan See Leng.
Menteri Tenaga Manusia (MOM), Dr Tan See Leng. - Foto MDDI

Akaun Khas (SA) Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas akan ditutup pada separuh kedua Januari 2025, selepas Rang Undang-Undang CPF diluluskan di Parlimen pada 14 Oktober.

Dalam pada itu, Skim Perlindungan Perumahan (HPS) juga akan diluaskan mulai pertengahan 2025 untuk memasukkan ahli CPF dengan penyakit sedia ada tertentu yang tidak begitu teruk.

Menjelaskan lebih lanjut di Parlimen Menteri Tenaga Manusia (MOM), Dr Tan See Leng berkata sistem CPF adalah tonggak utama sistem keselamatan sosial Singapura yang membantu ahli CPF mengetepikan simpanan untuk keperluan persaraan, perumahan dan penjagaan kesihatan mereka.

Menurut penjelasan beliau semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) 2024 untuk MOM, prinsip di sebalik penutupan SA untuk ahli berumur 55 tahun dan ke atas adalah untuk memastikan hanya simpanan CPF yang diperuntukkan untuk persaraan akan memperoleh kadar faedah jangka panjang yang lebih tinggi.

“Mengikut amalan semasa untuk ahli yang berumur 55 tahun hari ini, SA mereka akan dipindahkan ke akaun RA (Akaun Persaraan), sehingga jumlah persaraan penuh untuk kohort mereka.

“Simpanan dalam akaun RA mereka akan terus memperoleh kadar faedah jangka panjang yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 4.14 peratus pada masa ini.

“Dengan penutupan SA, simpanan SA yang tinggal akan dipindahkan ke Akaun Biasa (OA) dan boleh dikeluarkan semula,” kata Dr Tan.

Dr Tan juga berkata mereka yang ingin memperuntukkan simpanan yang boleh dikeluarkan untuk keperluan persaraan jangka panjang mereka, boleh memilih untuk memindahkan simpanan OA mereka kepada simpanan RA sehingga ke Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan (ERS).

“Dengan peningkatan ERS sebanyak empat kali ganda Jumlah Persaraan Asas mulai 1 Januari 2025, lebih daripada 99 peratus daripada ahli CPF yang berumur 55 tahun dan ke atas hari ini boleh memindahkan semua SA kepada RA mereka, jika mereka ingin berbuat demikian,” kata Dr Tan.

Justeru, dengan penutupan SA, menurut Dr Tan, ia tidak akan menghalang ahli daripada memperoleh kadar faedah jangka panjang yang lebih tinggi.

Namun, jika ahli CPF ingin mengekalkan fleksibiliti untuk mengeluarkan simpanan itu pada bila-bila masa, maka simpanan boleh kekal dalam OA dan dapatkan kadar faedah OA, tambah beliau.

Berhubung HPS, Dr Tan berkata sekitar 1.3 peratus atau 1,400 pemohon HPS ditolak setiap tahun oleh sebab keadaan kesihatan sedia ada, berdasarkan pada faktor seperti kesihatan keseluruhan yang teruk, prognosis, kawalan keadaan kesihatan dan profil risiko kesihatan ahli CPF.

HPS ialah insurans yang melindungi pencarum CPF dan keluarga mereka daripada “kehilangan” rumah mereka semasa berlaku kematian, sakit teruk, atau kehilangan upaya selamanya.

Dengan meluaskan skim itu untuk melindungi mereka yang mempunyai keadaan sedia ada tertentu yang tidak begitu teruk, seperti jenis angin ahmar dan gangguan jantung tertentu, mereka akan dikenakan bayaran premium lebih tinggi sepadan dengan kemungkinan tuntutan mereka yang lebih tinggi.

Meskipun dikenakan bayaran premium lebih tinggi, HPS akan menyediakannya perlindungan pada salah satu tahap premium terendah di pasaran buat masa ini.

Untuk memastikan HPS kekal mampan dan dimampui bagi sebahagian besar ahli CPF, segelintir daripada mereka dengan keadaan kesihatan yang lebih teruk, seperti mereka yang sedang menerima rawatan untuk barah, tidak akan dapat mengambil bahagian dalam HPS.

“Secara keseluruhan, penutupan akaun SA dan pengembangan HPS untuk melibatkan lebih ramai ahli dengan keadaan kesihatan sedia ada akan mengubah sistem CPF kita untuk memenuhi keperluan rakyat Singapura sepanjang hayat mereka,” kata Dr Tan.

Beliau menambah pemilik flat HDB di bawah kategori Plus dan Prime yang membeli flat mereka daripada HDB supaya memulangkan peratusan harga jualan semula atau penilaian flat (yang mana lebih tinggi) kepada HDB apabila flat mereka dijual.

Langkah demikian dapat mengekalkan kesaksamaan antara pemilik flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang tidak menerima subsidi tambahan ini dengan pemilik flat yang diklasifikasi sebagai Plus dan Prime.

Pada masa ini, apabila hartanah dijual, hasil jualan diagihkan dalam susunan tertentu.

Dr Tan menjelaskan bahawa mereka yang membuat pinjaman daripada HDB perlu membayar semula cukai harta tertunggak dan levi pinjaman dan jualan semula HDB yang tertunggak, sebelum membayar balik jumlah simpanan CPF yang digunakan dalam pembelian hartanah termasuk faedah terakru.

“Dengan peningkatan ERS (Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan) sebanyak empat kali ganda Jumlah Persaraan Asas mulai 1 Januari 2025, lebih daripada 99 peratus daripada ahli CPF yang berumur 55 tahun dan ke atas hari ini boleh memindahkan semua SA (Akaun Khas) kepada RA (Akaun Persaraan) mereka, jika mereka ingin berbuat demikian.”
Menteri Tenaga Manusia (MOM), Dr Tan See Leng.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg