Topik diikuti
Pergi ke BHkuParlimen tidak ambil tindakan lanjut terhadap Sylvia, Faisal susulan ‘terlepas’ had masa undang-undang
Parlimen tidak ambil tindakan lanjut terhadap Sylvia, Faisal susulan ‘terlepas’ had masa undang-undang
Indranee: Penalti tidak dikenakan kerana tata kelakuan dua pemimpin WP itu berlaku pada penggal pertama Parlimen ke-14
Parlimen tidak ambil tindakan lanjut terhadap Sylvia, Faisal susulan ‘terlepas’ had masa undang-undang
Parlimen tidak akan mengambil tindakan lanjut berhubung hasil dapatan Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) mengenai tata kelakuan pemimpin Parti Pekerja (WP), Cik Sylvia Lim dan Encik Faisal Manap, kata Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah.
Menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen pada 7 Julai, Cik Indranee berkata keputusan ini berlaku disebabkan had masa yang ditetapkan undang-undang.
Di bawah undang-undang, Parlimen ke-15 semasa tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap kelakuan Cik Lim dan Encik Faisal.
Ini kerana di bawah Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa) atau PPIPA, Parlimen ke-15 kini sudah ‘terlepas’ had masa yang diberikan untuk menghukum kesalahan yang dilakukan mereka.
Menjelaskan perkara tersebut, Cik Indranee berkata di bawah Seksyen 22 PPIPA, Parlimen mempunyai kuasa untuk menghukum kesalahan yang dilakukan sama ada dalam sesi sebelumnya atau sesi terakhir Parlimen sebelumnya.
Dalam erti kata lain, di bawah PPIPA, Parlimen ke-15 semasa hanya boleh menangani kesalahan yang dilakukan sama ada dalam penggal ke-15 ini, atau semasa penggal kedua Parlimen ke-14.
Tata kelakuan Cik Lim dan Encik Faisal yang dipersoal berlaku pada 2021, iaitu semasa penggal pertama Parlimen ke-14.
“Di bawah Seksyen 22 PPIPA, Parlimen ke-15 ini hanya boleh menangani kesalahan yang dilakukan sama ada dalam penggal Parlimen ke-15 ini, atau semasa penggal kedua Parlimen ke-14.
“Memandangkan tindakan yang dimaksudkan itu berlaku semasa penggal pertama Parlimen ke-14, maka Parlimen ke-15 ini tidak lagi boleh mengenakan sebarang penalti berkenaan tindakan ini di bawah PPIPA,” ujar Cik Indranee.
Memberikan garis masa kejadian, beliau berkata walaupun Parlimen berhak mengambil tindakan berdasarkan dapatan jawatankuasa itu pada 2021, ia telah memutuskan untuk menganggap Cik Lim dan Encik Faisal harus diberi faedah kesangsian.
Ketua WP, Encik Pritam Singh, telah disabit kesalahan kerana berbohong kepada COP oleh Mahkamah Daerah pada Februari 2025 – yang berlaku semasa penggal kedua Parlimen ke-14.
Bagaimanapun, Parlimen telah menangguhkan pertimbangan kes Cik Lim dan Encik Faisal sehingga proses mahkamah selesai.
Namun begitu, prosiding mahkamah hanya selesai pada Disember 2025 apabila Mahkamah Tinggi menyampaikan penghakimannya.
Pada masa itu, Cik Indranee berkata Parlimen ke-14 telah dibubarkan, Pilihan Raya Umum telah diadakan dan Parlimen ke-15 pula telah bermula.
Cik Indranee, bagaimanapun, berkata ini tidak bererti Parlimen tidak mempunyai pilihan lain untuk bertindak. Dewan boleh, jika ia mahu, meluluskan usul untuk menyatakan kekesalan terhadap tingkah laku Cik Lim dan Encik Faisal.
Beliau mengingatkan bahawa Dewan sudah pun menunjukkan ia sama sekali tidak menerima pembohongan kepada Parlimen atau jawatankuasanya dalam usul yang diketengah pada Januari lalu berkaitan pembohongan Encik Pritam.
“Memandangkan keadaan kes ini yang sangat khusus, pada pandangan saya, tiada tindakan selanjutnya perlu diambil oleh Dewan ini berhubung dengan penemuan Jawatankuasa mengenai Cik Lim dan Encik Faisal,” ujar Cik Indranee.
“Melainkan jika ada mana-mana anggota yang membantah, kita boleh menyelesaikan perkara ini sekarang,” tambah beliau.
Bangkit untuk membuat penjelasan, Cik Lim berkata beliau tidak membantah kenyataan menteri tersebut, namun menambah beliau telah pun memberikan responsnya terhadap isu-isu yang dibangkitkan semasa usul Januari.
Ketika itu, Cik Lim membantah penglibatannya dalam kes mahkamah Encik Pritam.
Cik Indranee kemudian berkata beliau juga telah memberi responsnya kepada bantahan Cik Lim pada Januari lalu, dan komen tersebut sudah direkodkan.
