Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan boleh bercerai secara persetujuan bersama mulai 1 Jul

May 13, 2024 | 6:11 PM
Perubahan pada piagam wanita membolehkan pasangan bercerai tanpa menyebut isu seperti curang.
Perubahan pada piagam wanita membolehkan pasangan bercerai tanpa menyebut isu seperti curang. - Foto fail

Mulai 1 Julai, pasangan suami isteri boleh menyebut persetujuan bersama sebagai alasan untuk bercerai jika mereka bersetuju bahawa perkahwinan mereka tidak dapat dipulihkan.

Perubahan kepada Piagam Wanita ini akan membolehkan pasangan bercerai tanpa alasan seperti curang.

Kini, alasan yang sedia ada untuk perceraian adalah curang, meninggalkan pasangan, kelakuan yang tidak elok dan perpisahan selama tiga tahun dengan izin atau empat tahun tanpa izin.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berkata pada 13 Mei bahawa ia akan laksanakan perubahan itu pada Julai, berserta program wajib keibubapaan (CPP) untuk pasangan yang mengikuti proses penceraian ringkas dan mempunyai anak bawah umur 21 tahun.

Pindaan kepada Piagam Wanita telah diluluskan pada Januari 2022.

Cerai secara persetujuan bersama (DMA) boleh digunakan bagi mereka yang bercerai di bawah laluan ringkas dan mereka yang berada di laluan biasa jika mereka tidak mencabar perceraian itu.

Untuk memilih laluan DMA, kedua-dua pihak harus memberi alasan kepada mahkamah bahawa perkahwinan mereka tidak dapat diselamatkan dan mereka telah berusaha memulihkannya.

Mereka juga mesti mengemukakan kepada mahkamah perancangan mengenai anak-anak dan hal ehwal kewangan mereka.

Mahkamah berhak menolak tuntutan penceraian jika terdapat kemungkinan untuk berdamai.

Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, sebelum ini berkata pada bacaan kedua pindaan Piagam Wanita pada 2022 bahawa DMA berhasrat mengurangkan pertikaian dan memberi peluang kepada keluarga untuk pulih dan teruskan kehidupan.

Kanak-kanak adalah pihak yang tidak bersalah yang terlibat dalam situasi malang dan pendedahan mereka kepada kesakitan dan konflik yang mengiringi perceraian mesti dikurangkan, katanya.

Pada masa ini, jika pasangan membangkitkan sebab perceraian atau mengungkit kisah lama untuk membuktikan kata-kata mereka mungkin akan menyebabkan tuding jari antara satu sama lain, kata Cik Sun.

“Kanak-kanak akan terperangkap di tengah-tengah kerana dakwaan salah laku dibuat oleh salah satu atau kedua ibu bapa mereka terhadap yang lain,” tambah beliau.

Mulai 1 Julai, CPP juga akan diperluaskan kepada pasangan yang bercerai dengan anak kecil di bawah laluan ringkas.

Kini, hanya pasangan yang mempunyai anak kecil yang memfailkan perceraian mengikut laluan biasa dikehendaki menghadiri CPP. Ini bermakna mereka belum mencapai kata sepakat dalam sebab perceraian atau isu seperti hak penjagaan anak dan pembahagian harta sepencarian.

Dengan perubahan ini, setiap pasangan yang mempunyai anak di bawah umur perlu menghadiri CPP sebelum memfailkan perceraian.

Di bawah program itu, ibu bapa bakal menerima sokongan daripada kaunselor untuk membantu mereka membuat keputusan munasabah yang mengutamakan kesejahteraan anak-anak mereka seperti mengatur hal keibubapaan bersama yang timbul daripada perceraian, kata MSF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg