Seorang wanita dan teman lelakinya mencipta persona perempuan rekaan dalam talian untuk ‘menggoda’ mangsa lelaki dan mengugut wang daripada mereka.
Di bawah tipu muslihat itu, pasangan itu mengancam untuk melaporkan kepada polis interaksi seksual mangsa lelaki dengan perempuan itu yang kemudian didakwa sebagai bawah umur.
Pada 5 Mac, wanita berusia 20 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan menipu dan dua pertuduhan peras ugut, lapor The Straits Times.
Tujuh pertuduhan lain akan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman. Dia tidak boleh dinamakan kerana berumur di bawah 18 tahun ketika terlibat dalam sekurang-kurangnya satu daripada tujuh pertuduhan ini.
Kes membabitkan teman lelakinya berusia 23 tahun masih belum selesai. Teman lelakinya itu juga tidak boleh dinamakan, untuk melindungi identiti pesalah wanita itu.
Melalui muslihat perangkap mereka, pasangan itu menipu salah seorang mangsa mereka untuk menyerahkan $3,500.
Mereka juga memeras ugut sekitar $12,000 secara keseluruhan daripada mangsa lain, termasuk bapa kepada seorang lelaki yang disasarkan.
Pada 13 Jan 2024, pasangan itu mencipta persona rekaan lain bernama “Farah” dalam wadah pemesejan Telegram.
“Farah” kemudian menghubungi V1, seorang lelaki berusia 25 tahun, dan mereka berbual tentang aktiviti seksual.
Pada 28 Jan 2024, pesalah dan teman lelakinya mencipta satu lagi persona rekaan bernama “Mooppp”, dan menghubung V1, kononnya sebagai abang Farah.
Timbalan Pendakwa Raya Mark Chia berkata: “’Mooppp’ mendakwa bahawa dia telah melihat perbualan V1 dengan ‘Farah’ dengan unsur seksual dan memberitahu V1 bahawa ‘Farah’ belum ‘cukup umur dari segi undang-undang’.
“’Mooppp’ menuntut V1 membayar $1,500 untuk menyelesaikan perkara itu atau kesnya akan dilaporkan kepada polis, tetapi V1 berkata beliau hanya mampu membayar $750.”
“Mooppp” menerima tawaran itu, dan V1 memindahkan jumlah tersebut.
Keesokan harinya, “Mooppp” memberitahu V1 bahawa Farah telah dimasukkan ke hospital kerana “serangan perasaan serba resah” dan mengarahkan mangsa untuk menampung bil hospital kononnya.
V1 kemudian meminjam $3,500 daripada peminjam wang berlesen dan menyerahkan wang itu kepada teman lelaki pesalah, yang berpura-pura menjadi sepupu Mooppp.
V1 kemudiannya menyekat “Mooppp” daripada menghubunginya dan membuat laporan polis.
Dengan menggunakan kaedah yang sama, pasangan itu memeras ugut lebih daripada $11,000 secara keseluruhan daripada V2, seorang lelaki berusia 26 tahun, pada Mac 2024.
Dalam kejadian sebelum Ogos tahun itu, pasangan itu merekrut dua orang lain – seorang lelaki berusia 20 tahun dikenali sebagai B2, dan seorang gadis berusia 17 tahun dikenali sebagai B3 - untuk menyertai skim mereka.
Mereka kemudian mencipta persona rekaan yang dipanggil “Tiara” pada aplikasi dating ‘Heymandi’ pada 25 Ogos 2024.
“Tiara” kemudian berhubung dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai V3, dan mereka merancang untuk bertemu berhampiran stesen MRT Dakota dua hari kemudian.
Pada kira-kira jam 7 malam pada 27 Ogos 2024, gadis berusia 17 tahun itu, yang menyamar sebagai Tiara, menghampiri lelaki berusia 23 tahun itu dan duduk di sebelahnya.
Lelaki itu kemudiannya menyentuh bahu gadis itu dengan tangannya dan membelai rambutnya.
DPP berkata: “Sekitar jam 7.10 malam, (wanita itu) menghampiri mereka berdua. Dia memperkenalkan dirinya sebagai ‘adik Tiara’ dan bersemuka dengan V3 kerana menyentuh B3, yang didakwanya baru berusia 16 tahun.
“Tertuduh memaklumkan V3 bahawa dia telah mengambil gambarnya menyentuh B3.”
Selepas itu, wanita itu menghubungi teman lelakinya dan B2. Kedua-dua lelaki itu, yang tiba di tempat kejadian, kemudian berpura-pura sebagai ahli keluarga “Tiara”.
Wanita itu dan B2 kemudian mula mengugut V3, menuntut beliau “menyelesaikan perkara itu” dengan mereka. B2 juga berkata bahawa polis akan dimaklumkan jika beliau gagal memberi mereka wang.
V3 kemudian menelefon bapanya yang berusia 59 tahun, yang dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai V4, dan memberitahunya tentang kesusahannya.
V4 dan V3 memindahkan $1,000 secara keseluruhan melalui PayNow ke akaun yang ditetapkan oleh B2. Pesalah kemudian melepaskan V3 dan membahagikan keuntungan yang diperoleh secara haram sesama mereka.
V4 kemudiannya menemani anaknya membuat laporan polis, dan wanita itu ditahan pada 29 Ogos 2024.
Pada 5 Mac, mahkamah meminta laporan untuk menilai kesesuaiannya untuk menjalani latihan reformasi.
Pesalah muda yang diarah menjalani latihan reformasi ditahan di pusat untuk menjalani rejimen ketat yang boleh termasuk latihan fizikal dan kaunseling.
Dia akan dijatuhkan hukuman pada April.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg