Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan sambut bayi SG60 pada Tahun Baru

Jan 1, 2025 | 4:53 PM
Encik Rizan Zalani dan Cik Wawa SK menyambut kelahiran puteri mereka, Zaira Aisha, pada 12.31 pagi, 1 Januari 2025 di Hospital Universiti Nasional (NUH) – menjadikan anak mereka itu antara bayi SG60 yang pertama dilahirkan di Singapura.
Encik Rizan Zalani dan Cik Wawa SK menyambut kelahiran puteri mereka, Zaira Aisha, pada 12.31 pagi, 1 Januari 2025 di Hospital Universiti Nasional (NUH) – menjadikan anak mereka itu antara bayi SG60 yang pertama dilahirkan di Singapura. - Foto ZAOBAO

Tahun Baru disambut dengan harapan baru.

Bagi pasangan, Cik Wawa SK dan Encik Rizan Zalani, kedatangan 2025 lebih istimewa kerana diiringi ‘hadiah’ yang membawa senyuman manis dan kebahagiaan tidak terhingga.

Pasangan itu menyambut kelahiran anak perempuan mereka, Zaira Aisha, pada 12.31 pagi, 1 Januari 2025 – menjadikan puteri mereka itu antara bayi SG60 yang pertama di Singapura.

Zaira dilahirkan dengan berat 3.47 kilogram di Hospital Universiti Nasional (NUH), beberapa hari selepas tarikh dijangka bersalin (EDD) pada 28 Disember 2024.

Lebih menggembirakan, anak kedua pasangan itu dilahirkan 364 hari selepas anak sulung mereka – Zayden Yusuf yang lahir pada 2 Januari 2024 – menjadikan setiap Tahun Baru satu sambutan berganda untuk keluarga tersebut.

“Kami sebenarnya berdoa agar anak kami ini dilahirkan pada atau selepas Tahun Baru. Sebenarnya, kebanyakan doktor sakit puan tidak percaya ini boleh berlaku kerana anak pertama saya dilahirkan lapan hari lebih awal daripada EDD.

“Oleh itu, mereka berkata kalau abangnya lahir lebih awal daripada EDD, tidak mungkin adiknya akan lahir lewat. Namun, takdir menentukan anak kedua kami ini dilahirkan pada Tahun Baru,” kata Cik Wawa, pengurus program latihan global berusia 35 tahun.

Kelahiran anak keduanya itu bagaimanapun tidak mudah, dengan Cik Wawa menceritakan bahawa ia lebih mencabar berbanding dengan anak sulungnya.

Zaira, yang dilahirkan secara normal, lebih berat jika dibandingkan dengan abangnya yang seberat 3.13 kilogram.

Meskipun kedudukan kepala bayi itu normal ketika ingin melahirkan, Cik Wawa berkata wajah Zaira bagaimanapun menghadap ke atas berbanding ke bawah, yang menjadikan ia lebih sakit dan sukar ketika bersalin.

“Seluruh berat bayi itu tertekan pada serviks saya dan ia mencabar bagi saya pada ketika itu. Tetapi semasa bersalin, doktor membantu memusingkan kepala bayi saya (supaya ia dapat ke posisi normal) sedang saya cuba meneran anak saya keluar,” kata beliau, yang bersalin tanpa epidural mahupun ubat tahan sakit lain.

Pasangan itu turut berkongsi bahawa pilihan nama Zaira Aisha itu mempunyai makna istimewa.

Zaira bererti bunga mekar, manakala Aisha pula sebenarnya nama yang dipilih untuk Cik Wawa oleh arwah ibunya, Allahyarhamha Saleha Hassan.

Namun, oleh sebab nama Aisha itu tidak digunakan bagi Cik Wawa, beliau sebaliknya memutuskan untuk menamakan anak keduanya sempena nama pilihan ibu beliau.

Pada November 2024, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, mengumumkan bahawa pasangan yang mempunyai bayi pada 2025 boleh menantikan hadiah istimewa untuk anak kecil mereka, sempena meraikan 60 tahun kemerdekaan Singapura atau SG60.

Encik Rizan, cef eksekutif berusia 38 tahun, berkata beliau tidak sabar mendapatkan butiran lanjut tentang hadiah tersebut.

“Tentu sekali, kami menanti-nantikan hadiah ini. Kalau dapat bayar bil hospital pun saya dah cukup gembira,” katanya berseloroh.

Pasangan itu berharap anak baru mereka itu akan menjadi insan yang baik dan berbakti kepada masyarakat.

“Seperti semua ibu bapa lain, kami berharap anak kami ini akan dapat berkhidmat kepada masyarakat dan negara dengan ketaatan dan kebaikan,” kata Cik Wawa.

Pasangan, Cik Nafisah Omar dan Encik Mohd Taufiq, turut menyambut kelahiran bayi SG60 mereka, Maryam Marwani, di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).
Pasangan, Cik Nafisah Omar dan Encik Mohd Taufiq, turut menyambut kelahiran bayi SG60 mereka, Maryam Marwani, di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH). - Foto KKH

Sementara itu, satu lagi pasangan - Cik Nafisah Omar, 37 tahun, dan Encik Mohd Taufiq, 40 tahun - turut menyambut kelahiran bayi SG60 mereka pada tahun baru di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Anak mereka, Maryam Marwani, dilahirkan pada 12.24 pagi dengan berat 3.07 kilogram, sehari selepas ulang tahun perkahwinan ke-13 ibu bapanya pada 31 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg