Walaupun Pasar Geylang Serai akan ditutup tiga bulan bermula mulai 29 Julai bagi kerja naik taraf, peniaganya telah menemui cara baru untuk terus berhubung dengan pelanggan mereka – melalui platform dalam talian geylangserai.shop.
Ini setelah seorang pembangun laman web, Encik Mohamed Fahmi Abdullah, melihat penutupan sementara itu sebagai peluang mewujudkan kedai sehenti dalam talian bagi peniaga pasar tersebut terus menjual pelbagai produk mereka, daripada daging ayam hingga barang basah dan makanan dalam tin, siap dengan khidmat penghantaran.
Encik Fahmi, 43 tahun, melancarkan laman tersebut Jun lalu sebagai tempoh percubaan untuk beliau memperhalusi operasi dalam talian itu bagi memudahkan kededuanya, penjual dan pembeli.
Semua produk yang terdapat di geylangserai.shop halal dan diperoleh daripada 12 vendor Muslim yang dipercayai, termasuk Haji Abu Bakar Butchery, Mutton King, One Word Seafood, dan Chicken Shop, katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi.
Ini termasuk sayur-sayuran seperti pucuk paku, bunga kantan dan peria katak, rempah ratus, barangan dalam tin serta makanan beku.
“Semua barangan diperoleh dari Pasar Geylang Serai bagi memudahkan akses untuk masyarakat. Matlamat kami ialah mewujudkan perkhidmatan sehenti Geylang Serai dalam talian, menawarkan pelbagai jenis produk pada harga berpatutan,” ujar beliau.
“Seperti pengalaman berbelanja dalam talian yang lain, pelanggan boleh menemui semua produk biasa mereka dan, sekiranya produk yang diinginkan tidak disenaraikan, mereka boleh menggunakan bahagian Notify Us untuk memintanya. Ciri ini memastikan keperluan masyarakat dipenuhi, mengekalkan intipati pasaran dalam format digital,” jelas beliau.
Beliau menambah: “Laman ini dihasilkan kerana penutupan sementara pasar. Walaupun sesetengah daripada vendor ditawarkan lokasi sementara, ada mungkin agak jauh bagi pelanggan. Jadi laman ini menjadikan akses lebih mudah dan saya mahu mengekalkan rantaian bekalan yang stabil untuk mereka.”
Menurut Encik Fahmi, yang bekerja sebagai ejen hartanah dari 2002 hingga 2016, pihaknya menawarkan perkhidmatan penghantaran pada harga tetap bagi semua kawasan di Singapura.
Pada 25 Julai, beliau dan pasukannya mula mengedarkan kad nama yang memaparkan kod QR laman tersebut di pekarangan pasar itu, menjelang pelancaran rasmi platform itu pada 28 Julai, hari terakhir Pasar Geylang Serai beroperasi.
Pasukan Encik Fahmi terdiri daripada empat pemandu dan tiga pembantu, termasuk seorang pembantu tunggu sedia (standby). Dua pembantu ditugaskan membeli barangan dalam masa 12 hingga 24 jam setelah tempahan diterima.
Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan perkhidmatan penghantaran jika tempahan berjumlah lebih $148 pada bayaran penghantaran $5. Perkhidmatan ini percuma jika tempahan berjumlah lebih $188.
Empat pemandu itu akan dibahagikan kepada zon berbeza di seluruh Singapura.
Semua tempahan yang diterima sebelum 2 petang akan dipenuhi dan dikirimkan pada hari berikutnya, menurut Encik Fahmi.
Tempahan yang diterima selepas 2 petang akan dipenuhi dalam masa dua hari untuk memastikan barangan diterima dalam keadaan segar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg