Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesta kesihatan pupuk semangat relawan keluarga dalam suasana ceria

Oct 6, 2025 | 1:46 AM
sukarelawan, vision 21, pesta kesihatan
Keluarga sukarelawan yang terdiri daripada (dari kiri) Cik Suzalinah Saidee, suaminya, Encik Shamsuri Suria Hasberi, anaknya, Cik Khairunnisa Shamsuri, dan abangnya, Encik Muhd Salim Ibrahim Marican, seronok menghadiri Pesta Kesihatan Vision 21 di Singapore Expo. Bersama mereka ialah anak Cik Khairunnisa, Muhd Rifqy Uqayl dan Nur Rayfaa Ulyaa. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Kerja sukarela lebih menyeronokkan apabila dapat dilakukan bersama insan tersayang.

Bagi Cik Suzalinah Saidee, 59 tahun, nikmat menghadiri acara kemasyarakatan yang membabitkan penjagaan kesihatan begitu terasa apabila beliau ditemani suami, abang dan anak perempuannya, yang juga aktif menawarkan khidmat sukarela di kejiranan mereka.

Beliau malahan adalah antara hadirin yang ditemui melibatkan diri dalam kegiatan Pesta Kesihatan Vision 21, anjuran sebuah persatuan kebajikan setempat, Vision 21, di Singapore Expo pada 5 Oktober.

Katanya: “Seronok kalau dapat hadir di acara kemasyarakatan bersama keluarga, menyemarakkan lagi semangat sukarela.

“Kami sekeluarga juga dapat terlibat bersama dalam kegiatan yang menggalakkan gaya hidup sihat.”

Anaknya, Cik Khairunnisa Shamsuri, 35 tahun, merupakan sukarelawan di Kelab Masyarakat Kaki Bukit dan aktif dalam Rangkaian Sukan Kaki Bukit serta Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di kejiranan itu.

Suaminya, Encik Shamsuri Suria Hasberi, 61 tahun ialah Pengerusi Kelab Sukan Kaki Bukit.

Sebagai pemimpin akar umbi dan rakan penghubung masyarakat, Cik Suzalinah memainkan peranan mengeratkan hubungan antara penduduk dari pelbagai latar belakang, termasuk seorang ibu lima anak, Cik Noriana Nordin, 40 tahun.

Cik Noriana, yang turut menghadiri Pesta Kesihatan Vision 21 itu, berkata acara seperti itu amat sesuai bagi kaum ibu sepertinya, yang ingin meluangkan masa dengan anak-anak dalam suasana kemasyarakatan yang tidak memerlukannya memberi komitmen jangka panjang.

Cik Noriana hadir bersama lima anaknya yang berusia antara dua dengan 15 tahun.

“Kami boleh bersenam bersama di sini, tetapi yang lebih penting, saya suka melihat masyarakat kita berkumpul untuk acara kesihatan dan sukan.

“Saya harap anak-anak saya dapat menghargai detik emas ini, melihat bagaimana warga emas bergaul sesama mereka,” katanya.

“Saya seronok melihat suasana gembira yang dipenuhi tawa riang.

“Melalui pertemuan seperti ini, anak-anak saya dapat mengenali warga emas di sekitar kejiranan kami,” tambah Cik Noriana.

Acara itu turut menampilkan segmen tarian beramai-ramai, Dance of the Nation, yang diusahakan gerakan kecergasan, ActiveSG, yang menggalakkan gaya hidup sihat dan semangat kejiranan apabila para peserta menari mengikut arahan jurulatih.

Ia disertai sekitar 800 peserta.

Cik Faridah Jamaludin, 67 tahun, yang hadir bersama rakan-rakannya sambil menikmati suasana meriah pesta tersebut, berkata:

“Saya gemar acara kemasyarakatan seperti ini kerana ia membuat saya aktif dan dapat meluangkan masa bersama warga emas lain, sekurang-kurangnya dapat keluar dari rumah,” katanya.

Menurutnya, setiap Ahad, sekumpulan warga emas lelaki dan wanita akan berkumpul di bawah Blok 231 Bukit Batok East Avenue 5.

Mereka menamakan kumpulan mereka ‘Gemilang’ dengan adik Cik Faridah, Encik Fadilah Jamaludin, 50 tahun, bertindak sebagai ketua pasukan.

Encik Fadilah, yang juga Naib Pengerusi MAEC Bukit Batok, berkata: “Acara seperti Pesta Kesihatan Vision 21 ini mengeratkan hubungan warga emas.

“Platform seperti Gemilang pula membantu mereka mendapatkan maklumat terkini tentang hal ehwal semasa di Singapura, memandangkan ramai warga emas tidak menggunakan media sosial.”

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang hadir sebagai tetamu terhormat pada segmen pagi pesta itu, berkata: “Gaya hidup sihat dan penuaan aktif berjalan seiringan dengan pemakanan yang seimbang.”

Segmen petang pula dihadiri AP GRC East Coast, Cik Hazlina Halim.

Turut diadakan pada pesta tersebut ialah acara Piala Harmoni Bola Sepak Jalanan V21, yang menghimpunkan aktivis berbilang kaum dan agama dari masjid, kuil dan gereja.

“Seronok kalau dapat hadir di acara kemasyarakatan bersama keluarga, menyemarakkan lagi semangat sukarela. Kami sekeluarga juga dapat terlibat bersama dalam kegiatan yang menggalakkan gaya hidup sihat.”
Cik Suzalinah Saidee.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg