Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasport S’pura kini paling berkuasa di dunia

Jul 24, 2024 | 5:32 PM
Rakyat Singapura kini menikmati perjalanan tanpa visa ke 195 daripada 227 destinasi.
Rakyat Singapura kini menikmati perjalanan tanpa visa ke 195 daripada 227 destinasi. - Foto ZAOBAO

Singapura mengatasi lima negara lain untuk menduduki tempat pertama dalam ranking pasport dunia, dengan rakyatnya kini menikmati perjalanan tanpa visa ke 195 daripada 227 destinasi pelancongan.

Menurut data terkini Indeks Pasport Henley pada 23 Julai, lima negara itu – Perancis, Jerman, Italy, Jepun dan Sepanyol, jatuh ke tempat kedua, dengan pemegang pasportnya boleh mengembara tanpa visa ke 192 destinasi.

Sebelum ini, lima negara itu dan Singapura berkongsi tempat pertama, yang membolehkan pemegang pasport berkunjung ke 194 daripada 227 destinasi pelancongan tanpa visa.

Indeks tersebut menyenaraikan 199 pasport dunia dan 227 destinasi pelancongan.

Dalam ranking terkini, sebanyak tujuh negara berkongsi tempat ketiga dengan akses ke 191 destinasi tanpa visa – sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Tujuh negara itu ialah Austria, Finland, Ireland, Luxembourg, Belanda, Korea Selatan dan Sweden, lapor The Straits Times (ST).

Britain dan Amerika Syarikat, yang pernah berkongsi tempat pertama dalam ranking pasport dunia, turun dalam senarai ranking tersebut sejak 2014.

Britain, yang berada di tempat keempat dengan kunjungan tanpa visa ke 190 destinasi, berkongsi kedudukan tersebut dengan Belgium, Denmark, New Zealand, Norway dan Switzerland.

Amerika berada di tempat kelapan, dengan kunjungan tanpa visa ke 186 destinasi.

Afghanistan kekal berada di tempat terbawah indeks itu, dengan rakyatnya hanya diberikan akses ke 26 negara tanpa visa.

Negara itu kehilangan akses tanpa visa ke satu destinasi dalam enam bulan lalu, dan mempunyai skor terendah yang pernah dicatat sejak indeks itu diperkenalkan 19 tahun lalu.

Indeks Pasport Henley disenaraikan berdasarkan data eksklusif daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata).

Trend sepanjang dua dekad lalu adalah kebebasan perjalanan lebih besar, kata Pengerusi Henley and Partners, dan pencipta konsep indeks pasport, Dr Christian Kaelin.

Secara purata, bilangan destinasi di seluruh dunia yang boleh dikunjungi pengembara tanpa memerlukan visa naik hampir seganda daripada 58 pada 2006 kepada 111 pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg