KUALA LUMPUR: Pasport Malaysia menduduki tempat ke-12 dalam indeks pasport global terkini, menurun satu tempat berbanding kedudukan ke-11 pada 2023.
Menurut laporan Indeks Pasport Henley 2024 yang menilai 199 pasport dan 227 destinasi perjalanan, Malaysia berkongsi kedudukan ke-12 dalam kedudukan pasport global bersama Cyprus dan Liechtenstein.
Pemegang pasport Malaysia dapat melancong tanpa visa ke 182 dari 227 destinasi di seluruh dunia.
Sebelum ini, kedudukan tertinggi pasport Malaysia adalah tempat kelapan pada 2014, lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam pada itu, Singapura mengekalkan kedudukan teratas dalam indeks berkenaan, membolehkan warganya melancong tanpa visa ke 195 destinasi lantas dinobat pasport paling berkuasa di dunia.
Indeks berkenaan berdasarkan data komprehensif daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan mencerminkan landskap global semasa perjalanan tanpa visa.
Thailand dan Indonesia masing-masing berada pada tempat ke-60 dan ke-65, manakala Brunei menduduki tempat ke-19.
Filipina, Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar masing-masing menduduki tempat ke-73, ke-86, ke-88, ke-90 dan ke-92 dalam ranking terbabit.
Jepun yang sebelum ini menduduki tempat teratas kini berada di tempat kedua bersama Perancis, Jerman, Italy dan Sepanyol.
Lima negara berkenaan memberikan akses tanpa visa kepada warganya ke 192 destinasi.
Pemegang pasport Malaysia dapat menikmati kemudahan masuk tanpa visa ke destinasi terkenal termasuk Britain, Jepun, Italy, Qatar, Perancis dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg