Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pastikan budaya penjaja S’pura kekal mampan

Perlu tepis tanggapan harga makanan di pusat penjaja perlu kekal rendah untuk selama-lamanya
Dec 1, 2024 | 5:30 AM
Budaya penjaja Singapura telah menjadi penyatu yang kuat bagi rakyat. Kita harus melakukan yang terbaik untuk mempromosi dan mengekalkannya.
Budaya penjaja Singapura telah menjadi penyatu yang kuat bagi rakyat. Kita harus melakukan yang terbaik untuk mempromosi dan mengekalkannya. - Foto fail

Mungkin ia bukan hanya satu kebetulan apabila sedang kita memikirkan jalan menjadikan budaya penjaja mampan di Singapura, hidangan penjaja kini berkembang maju di Perth.

Perkara ini terlintas di minda ketika saya sedang menikmati kopi O pekat dan roti bakar kaya pada pagi hari di Perth, tempat saya tinggal sekarang.

Pada hari berikutnya, saya masih merenungkan tentang hal itu ketika menikmati nasi lemak dan kopi susu.

Bagi mereka yang tidak tahu, Perth menempatkan pelbagai restoran dan kafe Singapura serta Malaysia yang menjual makanan penjaja.

Nasi lemak di Perth berharga A$14.50 ($12.70) dan disertakan dengan campuran kacang tanah dan ikan bilis goreng, sebiji telur rebus dan paha ayam goreng.

Kopi peng (bercampur ais) berharga A$5. Set roti bakar kaya dan kopi O saya berharga A$12.50.

Saya sudah tidak terkejut lagi dengan harga yang lebih tinggi untuk makanan penjaja di Perth.

Lagipun, ini Australia, gaji minimum adalah A$24.10 sejam.

Restoran di Australia biasanya tutup pada waktu petang sebelum dibuka semula untuk makan malam.

Makan di luar sangat mahal, jadi kebanyakan orang lebih suka memasak dan makan di rumah.

Di Singapura, harga makanan masak masih berpatutan, terutama di pusat penjaja dan kedai kopi.

Set roti bakar kaya berserta minuman, ditambah dua telur rebus, berharga sekitar $3 di pusat penjaja atau kedai kopi di Singapura.

Bahkan, NTUC Foodfare menjual set sarapan ikonik ini pada harga $2.20, dengan ahli kesatuan mendapat harga istimewa $1.80 untuk minuman, satu keping roti bakar kaya dan dua telur rebus.

Rangkaian makanan tempatan, Toast Box, mengenakan harga $7.40 untuk set roti bakar kaya mereka, yang mendapat kritikan dalam talian.

Seorang pembaca memuat naik gambar yang menunjukkan set yang sama berharga $5.70 pada 2020. 

Satu tinjauan dalam talian kemudiannya mendapati 88 peratus daripada 7,425 responden berpendapat set roti bakar kaya seharusnya tidak melebihi $5.

Ini membuatkan saya tertanya-tanya mengapa budaya penjaja menghadapi ancaman kewujudan di Singapura, namun restoran Malaysia dan Singapura, yang menawarkan hidangan serupa, mendapat sambutan hebat di Perth. 

Adakah harga makanan penjaja yang menjadi kunci?

Isu ini dibangkitkan di Parlimen minggu lalu, apabila pemimpin Parti Kemajuan Singapura (PSP) mengemukakan usul untuk mengkaji semula dasar penjaja.

Usul tersebut telah dipinda oleh Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP), menyeru agar kajian semula dasar penjaja dilakukan secara berkala yang boleh “memastikan dan mengembangkan budaya penjaja Singapura, supaya rakyat Singapura dapat terus menikmati makanan penjaja yang baik dan berpatutan sambil membolehkan penjaja memperoleh pendapatan yang adil”. 

Usul pindaan itu telah diluluskan oleh semua AP, menunjukkan sokongan merentasi parti terhadap budaya penjaja.

Budaya penjaja menyatukan rakyat Singapura.

Pusat penjaja membawa bersama pengunjung daripada pelbagai kaum, usia dan lapisan sosial untuk menikmati makanan yang berasal daripada warisan kita yang berbilang kaum.

Budaya penjaja juga mempunyai warisannya sendiri.

Pusat penjaja awal yang dibina pada 1970-an menempatkan penjaja jalanan dan menyewakan gerai makanan dengan kadar rendah kepada generasi rakyat Singapura yang kurang berpendidikan dan berpendapatan rendah.

Mereka dapat menjual makanan atau minuman untuk mencari rezeki.

Gerai penjaja menyediakan sumber pendapatan yang sederhana, namun selamat.

Ramai rakyat Singapura sangat bangga dengan asal usul budaya penjaja yang berasaskan kelas pekerja. 

Kami mahu pusat penjaja terus menjadi dewan makan untuk semua orang.

Kami tidak mahu ia dipinggirkan atau dijadikan gaya hipster (bermakna unik dan kreatif kerana tidak mengikut kelaziman tetapi mempunyai nilai kontemporari). 

Satu isu yang ramai orang tidak bincangkan adalah peranan mereka sendiri dalam ekosistem sebagai pelanggan penjaja.

Adakah kita bersedia membayar lebih untuk makanan penjaja demi memastikan budaya penjaja kekal mampan?

AP GRC Holland-Bukit Timah, Encik Edward Chia, juga pengasas bersama Timbre Group, yang mengendalikan pusat penjaja, berkata di Parlimen: “Penjaja telah menyatakan bahawa walaupun pelanggan sanggup membayar $15 untuk semangkuk ramen, mereka keberatan untuk membayar $5 untuk semangkuk mi bebola ikan buatan tangan.”

Beliau menggesa rakyat Singapura supaya merenung tentang kontrak sosial dan “meluangkan sedikit masa untuk mempertimbangkan bagaimana setiap daripada kita boleh menyumbang bagi membantu (penjaja) kita memperoleh pendapatan yang cukup dan mampan”.

Ramai rakyat Singapura mempunyai standard berbeza apabila ia melibatkan kesediaan membayar makanan dan minuman di pusat penjaja. 

Kita tidak berfikir panjang untuk membayar $7.90 untuk secawan flat white (kopi espreso dengan susu) di Starbucks, tetapi berasa keberatan untuk membayar $2 bagi secawan kopi (kopi tempatan dengan susu pekat) di kedai kopi, sambil menunjuk kepada gerai penjaja yang mengenakan harga $1.

Kita sanggup membayar $20 untuk aglio olio udang dan mengeluh tentang semangkuk mi udang berharga $6.

Harga makanan Barat mungkin lebih tinggi kerana hidangan disajikan dalam suasana restoran yang berhawa dingin dan perkhidmatan makanan dan minuman dibawa ke meja.

Tetapi perbezaan harga yang kita sanggup terima melangkaui perbezaan suasana itu.

Bahkan di dalam pusat penjaja yang sama, biasanya terdapat perbezaan harga antara apa yang dikenakan oleh gerai makanan barat yang menjual pasta dan gerai yang menjual makanan tradisi seperti mi rebus atau mi udang.

Saya tertanya-tanya adakah keterikatan kita kepada budaya penjaja masa lalu membutakan kita terhadap keperluan untuk budaya penjaja berkembang ke arah masa depan.

Ramai orang mahu makanan penjaja bukan sahaja berpatutan, malah murah.

Dalam fikiran mereka, makanan penjaja bukanlah sesuatu yang perlu dibayar dengan harga tinggi.

Mereka mungkin secara tidak sedar berfikir bahawa makanan penjaja perlu cukup murah untuk warga emas yang mengutip kadbod.

Walaupun kebanyakan daripada kita mampu membeli nasi ayam berharga lebih daripada $3 sepinggan, kita berasa tidak senang apabila harga nasi ayam mencecah $5 kerana kita berfikir bahawa nenek tua atau ‘ah pek’ akan bergelut dengan harga tersebut.

Maka, kita mengekalkan sikap penjaga harga yang tegas terhadap harga makanan penjaja – bukan hanya untuk kepentingan kita sendiri, malah sebagai pengawas bagi golongan yang kurang berkemampuan dalam kalangan kita.

Menetapkan harga makanan penjaja sentiasa rendah menyekat kemampuan penjaja untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Ia mengurung mereka dalam kitaran kerja keras dan waktu kerja yang panjang, dengan pendapatan yang sederhana. 

Walaupun ada penjaja yang berjaya hingga menjadi jutawan, ramai yang lain bergelut.

Perangkaan yang paling jelas menunjukkan hal tersebut adalah bahawa umur median penjaja pada 2021 ialah 60 tahun.

Ini menunjukkan bahawa perniagaan penjaja tidak menarik bakat baru dengan cukup cepat.

Hanya sedikit orang muda yang ingin menceburi perniagaan penjaja kerana waktu kerja yang panjang dengan ganjaran yang selalunya rendah.

Perniagaan penjaja tidak akan menarik golongan muda melainkan para penjaja dapat memperoleh kehidupan yang lebih baik dengan meningkatkan harga dan keuntungan mereka.

Seperti yang dinyatakan dalam usul Parlimen, budaya penjaja perlu mampan sambil mencapai dua matlamat yang bercanggah: menyediakan makanan yang dimampui pelanggan dan membolehkan penjaja mempunyai mata pencarian yang mampan.

Harga rendah memberi manfaat kepada pelanggan, tetapi menghasilkan keuntungan kecil untuk penjaja yang bertungkus lumus bekerja.

Untuk membolehkan dan mengekalkan kenaikan harga makanan penjaja, rakyat Singapura perlu mengubah pemikiran mereka mengenai budaya penjaja.

Kita perlu melihat makanan penjaja bukan hanya sebagai hidangan murah, malah sebagai makanan lazat dan bermutu tinggi pada harga yang berpatutan.

Harga yang berpatutan perlu diukur berdasarkan pendapatan median hari ini, bukan dengan ingatan kita yang sudah lapuk tentang masa lalu apabila mi berharga $2 semangkuk dan kopi berharga 50 sen secawan.

Penjaja bukanlah penjual makanan berpendapatan rendah seperti dahulu – ramai daripada mereka merupakan cef mahir yang menguasai seni penyediaan hidangan tertentu.

Pusat penjaja kini bukan lagi tempat untuk memberi makan kepada orang ramai yang lapar dan miskin.

Sebaliknya, ia adalah tempat makan yang inklusif – menyediakan makanan untuk pekerja dan keluarga berpendapatan median (pendapatan median untuk sebuah isi rumah kini adalah $12,673).

Bagi golongan berpendapatan rendah, hidangan bajet sentiasa ada di banyak pusat makanan.

Walaupun kita berdebat tentang cara-cara untuk memastikan budaya penjaja kekal mampan, kita tidak boleh melupakan bahan penting yang hilang dalam perbincangan ini: kesediaan pelanggan membayar harga yang adil untuk makanan penjaja.

Oleh itu, marilah kita semua menyokong penjaja kita supaya dapat memastikan budaya penjaja Singapura kekal maju dan tidak lapuk ditelan zaman.

Penulis ialah Kolumnis Kanan akhbar ‘The Straits Times’. Rencana ini pertama kali disiarkan di akhbar tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg