Pemerintah akan terus melakukan lebih banyak lagi untuk menyokong penjaja demi pastikan mereka meraih mata pencarian yang adil sambil memastikan rakyat Singapura mempunyai akses kepada makanan yang dimampui di tengah-tengah kos sara hidup yang meningkat, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon.
Beliau berkata bahawa kompak sosial kukuh yang menyatukan semua pihak berkepentingan adalah perlu bagi menyokong penyelesaian itu, dan pemerintah akan semak dasarnya secara berkala demi memastikan ia sejajar dengan realiti operasi penjaja.
“Masyarakat tempatan dan sektor swasta punyai peranan memacu daya usaha masyarakat untuk menyokong kedua-dua penjaja dan pelanggan. Pengguna boleh menyokong penjaja kita dengan berbelanja di gerai mereka dan bersedia membayar harga yang adil bagi makanan penjaja untuk mempertingkat mata pencarian penjaja kita.
“Pemerintah telah melaksanakan dasar-dasar untuk menyokong penjaja kita dengan menyediakan persekitaran operasi yang sesuai. Kami akan semak dasar-dasar ini secara kerap untuk memastikan ia sejajar dengan realiti operasi dan bagi pusat penjaja memenuhi keperluan kedua-dua penjaja dan pengguna,” kata beliau.
Dr Koh berkata demikian sebagai respons kepada notis usul mengenai budaya penjaja yang dibentangkan Parti Kemajuan Singapura (PSP) di Parlimen pada 13 November, di mana dua Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Hazel Poa dan Encik Leong Mun Wai, mengemukakan beberapa saranan untuk menyokong golongan penjaja.
Dua NCMP itu telah mengetengahkan cabaran yang dihadapi golongan penjaja di tengah-tengah inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat, termasuk kos sewa gerai dan bahan-bahan mentah yang semakin tinggi dan juga isu ketiadaan pengganti dan kekurangan tenaga kerja.
Dr Koh berkata pemerintah menyedari tekanan kos yang dihadapi golongan penjaja.
Menurut satu tinjauan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), secara purata pada 2023, kos bahan-bahan makanan membentuk hampir 60 peratus daripada kos operasi penjaja, diikuti dengan kos tenaga kerja pada 20 peratus. Kos sewa membentuk kurang 10 peratus daripada kos operasi.
Dr Koh berkata pendapatan penjaja sebahagian besarnya bergantung pada jumlah makanan yang dijual setiap hari, dan walaupun pemerintah memahami cabaran penjaja dalam mendapatkan pekerja, ini sesuatu yang “perlu diimbangi dengan melindungi identiti setempat budaya penjaja”.
Encik Leong dan Encik Louis Chua (GRC Sengkang) menyarankan agar pemerintah membolehkan seorang pemegang permit kerja diambil bekerja sebagai pembantu gerai bagi setiap kedai.
Namun, Dr Koh berkata keseimbangan perlu dicapai kerana sebahagian masyarakat Singapura mungkin masih belum boleh menerima perubahan tersebut dalam budaya pusat penjaja.
Pada Oktober 2024, ia diumumkan bahawa gerai penjaja boleh menggajikan pemegang pas lawatan jangka panjang (LTVP) yang diberikan kelulusan untuk bekerja di Singapura sebagai pembantu gerai mulai 1 Januari 2025.
“Ini satu contoh di mana kami secara berterusan menyemak dan menyesuaikan dasar kami untuk menyesuaikan diri pada keadaan yang berubah.
“Namun, hakikatnya adalah setiap pekerja tambahan adalah kos tambahan kepada penjaja. Oleh itu, pendekatan yang lebih mampan kepada isu tenaga kerja adalah untuk menjadikan setiap individu lebih produktif,” kata beliau.
Misalnya, Program Pusat Penjaja Produktif menyediakan subsidi berperingkat sehingga 70 peratus bagi pusat penjaja yang menggunakan pencuci pinggan mangkuk berpusat selama sehingga empat tahun.
Menyentuh tentang idea pemerolehan bahan-bahan mentah berpusat yang diusulkan Cik Poa pula, Dr Koh berkata khidmat serupa telah disediakan, namun penyertaannya tidak begitu meluas dalam kalangan penjaja, memandangkan sebahagian besar mempunyai hubungan dengan pembekal masing-masing dan mereka peka tentang sumber dan mutu bahan-bahan.
Dalam soal sewa gerai pula, Dr Koh berkata pemerintah telah melaksanakan langkah-langkah demi memastikan harga sewa yang berpatutan bagi penjaja, dan memberikan subsidi kepada sebahagian segmen penjaja generasi perintis.
Kadar sewa median bagi majoriti gerai makanan dimasak di pusat penjaja adalah sekitar $1,250 sebulan, dan telah kekal stabil sepanjang sedekad lalu, tambah beliau.
“Pemerintah membina pusat penjaja dan tidak menggunakan sewa bagi mendapatkan semula kos. Sewa ditentukan oleh apa yang dibida pihak yang menyertai tender, dan boleh serendah $1,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg