Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan bertindak dibentuk pertingkat keselamatan bas awam

Jul 1, 2024 | 8:00 PM
Pasukan bertindak yang terdiri daripada wakil pelbagai agensi pemerintah, Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU), kesemua pengendali perkhidmatan bas awam dan Majlis Keselamatan Jalan Raya Singapura, mahu menamatkan semakan pada awal 2025, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, pada 1 Julai.
Pasukan bertindak yang terdiri daripada wakil pelbagai agensi pemerintah, Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU), kesemua pengendali perkhidmatan bas awam dan Majlis Keselamatan Jalan Raya Singapura, mahu menamatkan semakan pada awal 2025, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, pada 1 Julai. - Foto fail

Tahap keselamatan bas awam akan diteliti oleh sebuah pasukan bertindak yang diketuai Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Murali Pillai.

Langkah ini dibuat susulan beberapa kemalangan melibatkan bas awam.

Dalam kejadian terbaru, pada 27 Jun, seorang pekerja binaan warga India berusia 33 tahun telah dilanggar semasa bekerja sebagai pengawal lalu lintas di Anson Road, mengakibatkannya mengalami patah kaki kanan.

Pasukan bertindak ini, melibatkan perwakilan daripada agensi pemerintah, Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU), keempat-empat pengendali bas awam dan Majlis Keselamatan Jalan Raya Singapura, berhasrat mengakhiri semakan mereka pada awal 2025, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, pada 1 Julai, lapor The Straits Times.

Keempat-empat pengendali bas awam adalah SBS Transit, SMRT Buses, Go-Ahead Singapore dan Tower Transit Singapore.

Secara keseluruhan, mereka mengendalikan 5,800 bas awam.

Dalam catatannya di Facebook, Encik Chee berkata semakan yang dibuat akan mengenalpasti huraian untuk perusahaan bas membuat peningkatan lanjut, mempertingkat daya usaha dan amalan keselamatan yang telah dibangunkan selama ini.

Beliau berkata jumlah tahunan kes kemalangan serius melibatkan bas awam di sini kekal stabil sejak beberapa tahun lalu.

Terdapat 75 kes bagi lima bulan pertama 2024, berbanding 207 bagi keseluruhan 2023 dan 207 sepanjang 2022.

“Keselamatan adalah keutamaan kami untuk rangkaian pengangkutan awam,” kata Encik Chee.

“(Encik) Murali adalah penyokong kuat keselamatan jalan raya, dan ini merupakan wadah berguna untuk bekerja bersama-sama rakan-rakan tiga pihak bagi menilai semula langkah mempertingkat keselamatan untuk pengguna, kapten bas dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Pada 2023, purata 3.75 juta pengangkutan bas dicatatkan dalam sehari.

Selain kemalangan di Anson Road pada 27 Jun, terdapat empat lain kemalangan melibatkan bas awam dilaporkan sepanjang Jun lalu.

Pada 11 Jun, dua penumpang bas Go-Ahead Singapore bernombor 518 cedera akibat satu kemalangan melibatkan sebuah bas dan dua kereta di simpang Nicoll Highway dan Bras Basah Road.

Pada 8 Jun, dua orang telah dikejarkan ke hospital akibat satu kemalangan melibatkan sebuah bas Tower Transit yang tidak bergerak dan sebuah lori di Ekspresway Tampines. Bas tersebut tidak dalam perkhidmatan dan sedang menunggu bantuan kejuruteraan di bahu jalan apabila kemalangan berlaku.

Pada hari yang sama, seorang pemandu bas dikejarkan ke hospital selepas dua bas yang tidak dalam perkhidmatan yang dikendalikan Tower Transit bertembung di Sembawang.

Pada 6 Jun, empat penumpang termasuk seorang warga tua berusia 93 tahun dan seorang pejalan kaki telah dikejarkan ke hospital menyusuli kemalangan melibatkan sebuah bas Tower Transit dan treler dekat Sim Lim Tower di Jalan Besar.

Video kemalangan itu menunjukkan bahagian kiri bas telah melanggar batang keluli yang ditempatkan di atas pelantar treler berkenaan.

Encik Murali, 56 tahun, ialah Anggota Parlimen (AP) bagi Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Bukit Batok.

Sebelum ini, beliau merupakan rakan kongsi di firma guaman Rajah & Tann, dan memulakan tugas sebagai Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Undang-Undang) mulai 1 Julai.

Dalam catatannya, Encik Chee mengalu-alukan Encik Murali ke Kementerian Pengangkutan dan berkata dalam peranan barunya sekarang, Encik Murali akan menjaga hal berkaitan perusahaan kelautan dan hubungan Pemerintah dengan kesatuan pengangkutan.

Encik Chee juga mengalu-alukan pegawai kanan mapan pemerintah, Encik Lau Peet Meng, 49 tahun, ke kementeriannya mulai 1 Julai sebagai setiausaha tetap yang baru bagi pembangunan pengangkutan, dan menyatakan penghargaannya untuk Cik Lai Wei Lin, 48 tahun, yang melepaskan jawatan tersebut.

Cik Lai akan mendukung peranan baru sebagai setiausaha tetap bagi dasar dan pembangunan di Kementerian Kesihatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg