Agensi di bawah Pasukan Petugas Jerebu (HTF) – diwakili 28 kementerian dan agensi pemerintah – telah melancarkan pelan tindakan serta nasihat masing-masing demi melindungi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat pada 4 September.

Ini selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam memasuki paras tidak sihat di bahagian tengah Singapura pada awal pagi hari yang sama.

Pelan tindakan serta nasihat itu merentasi pelbagai sektor seperti prasekolah, sekolah, tempat kerja, institusi penjagaan kesihatan dan kemudahan masyarakat.

Sementara itu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pula akan mula mengeluarkan nasihat jerebu harian bermula malam 4 September.

PSI 24 jam mencapai bacaan 101 di bahagian tengah negara ini pada 7 pagi, 4 September, dan terus meningkat sehingga mencecah paras 108 di kawasan sama menjelang 3 petang.

Mutu udara dianggap ‘tidak sihat’ jika ia mencapai bacaan antara 101 hingga 200; ‘amat tidak sihat’ jika ia antara 201 dengan 300; dan ‘berbahaya’ apabila ia melebihi 300.

Nasihat harian NEA itu akan merangkumi ramalan PSI 24 jam, yang boleh digunakan orang ramai untuk merancang kegiatan dan acara untuk tempoh 24 jam seterusnya.

Dalam satu kenyataan video yang dikeluarkan, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata “keadaan jerebu mungkin datang dan pergi, dan boleh berada bersama kita untuk seketika”, sambil menambah pasukan petugas itu akan memantau situasi dengan teliti dan memberikan maklumat terkini.

“Dengan PSI 24 jam telah melebihi bacaan 100, anda disarankan untuk mengurangkan kegiatan luar yang berpanjangan atau berat.

“Kebanyakan daripada anda boleh meneruskan kegiatan harian yang penting.

“Bagaimanapun, sekiranya anda warga emas, wanita hamil, kanak-kanak, atau mempunyai penyakit kronik paru-paru dan jantung, anda perlu merujuk nasihat kesihatan sebelum keluar rumah,” nasihat Cik Fu.

Cik Fu turut menggalak orang ramai agar mendapatkan maklumat terkini menerusi nasihat yang dikeluarkan di laman web NEA dan aplikasi My ENV.

“Marilah kita semua mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu dan saling mengambil berat terhadap golongan yang lebih mudah terjejas dalam kalangan kita. Ingatlah untuk minum air secukupnya dan dapatkan rawatan perubatan sekiranya anda rasa tidak sihat,” kata beliau.

Kawasan sekitar Marina Bay diselebungi jerebu pada sekitar tengah hari 4 September. PSI 24 jam memasuki paras tidak sihat selepas pada 4 September setelah mencapai bacaan 101 di bahagian tengah negara ini pada 7 pagi. Ia terus meningkat sehingga mencecah paras 108 di kawasan sama menjelang 3 petang.
Kawasan sekitar Marina Bay diselebungi jerebu pada sekitar tengah hari 4 September. PSI 24 jam memasuki paras tidak sihat selepas pada 4 September setelah mencapai bacaan 101 di bahagian tengah negara ini pada 7 pagi. Ia terus meningkat sehingga mencecah paras 108 di kawasan sama menjelang 3 petang. - Berita Harian

NEA, dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan bagi pihak agensi dalam HTF, telah mengumumkan beberapa langkah perlindungan utama.

Antaranya, Kementerian Kesihatan (MOH) bekerjasama dengan institusi penjagaan kesihatan termasuk hospital awam, poliklinik, dan rumah penjagaan bagi melaksanakan langkah kesiapsiagaan jerebu, seperti penggunaan penapis udara dan penyejuk mudah alih.

Pelitup N95 tidak perlu digunakan jika individu keluar sebentar sahaja, seperti dari rumah ke sekolah atau tempat kerja, atau dalam persekitaran dalam bangunan, kata NEA.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (MOE) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) pula memastikan semua sekolah – daripada peringkat prasekolah hingga maktab rendah serta sekolah pendidikan khas – dilengkapi penapis udara bagi melindungi kanak-kanak.

Ia menambah bahawa peperiksaan nasional akan tetap diteruskan tetapi di dalam bilik tertutup yang dilengkapi penapis udara jika mutu udara tidak sihat atau lebih buruk. Sekiranya sekolah ditutup, peperiksaan nasional akan dijadualkan semula.

Di sektor pekerjaan pula, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menggesa majikan mengambil tindakan mitigasi risiko seperti mengurangkan kerja luar yang berpanjangan atau berat untuk pekerja yang mudah terjejas, terutamanya warga emas dan wanita hamil.

Antara lain, bilik berhawa dingin di semua kelab masyarakat dan pusat jawatankuasa penduduk terpilih akan berada dalam keadaan bersedia bagi orang ramai berteduh daripada jerebu sekiranya mutu udara mencecah paras amat tidak sihat.

Dihubungi Berita Harian, Dr Elly Sabrina Ismail, pemilik Banyan Clinic, berkata golongan yang lebih mudah terjejas, seperti warga emas, wanita hamil, kanak-kanak dan individu dengan penyakit kronik paru-paru dan jantung, harus mengambil langkah berjaga-jaga di tengah-tengah keadaan jerebu ini.

“Bagi golongan yang mudah terjejas ini, mereka harus mengurangkan kegiatan fizikal yang berpanjangan dan berat, terutamanya mereka yang mengalami asma, penyakit paru-paru obstruktif kronik dan penyakit jantung kronik. Sekiranya jerebu mencapai paras amat tidak sihat dengan bacaan 201 ke atas, mereka harus mengelakkan kegiatan di luar,” kata beliau.