JAKARTA: Kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia semakin membimbangkan apabila sebahagian api terus membara di bawah tanah dan sukar dikesan satelit, sedang El Nino yang semakin kuat menyebabkan musim kering bertambah buruk.

Imej satelit Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) pada 1 September yang diedarkan pada 4 September menunjukkan kepulan asap tebal daripada kebakaran yang berlaku di beberapa kawasan Kalimantan.

Sensor Spektroradiometer Pengimejan Resolusi Sederhana (MODIS) pada satelit Aqua milik Nasa mengesan ratusan kebakaran ketika Indonesia memasuki tempoh genting musim kebakaran tahunannya.

Namun, pakar memberi amaran keadaan sebenar di darat mungkin lebih buruk daripada yang ditunjukkan oleh jumlah titik panas dalam data satelit.

Ini kerana kebakaran tanah gambut berbeza daripada kebakaran hutan biasa.

Api boleh memasuki lapisan gambut dan terus membara di bawah tanah untuk tempoh panjang, menyebabkan ia sukar dikesan dan dipadamkan.

Menteri Perhutanan Indonesia, Encik Raja Juli Antoni, turut memberi amaran bahawa penurunan jumlah titik panas yang dikesan tidak semestinya menunjukkan ancaman kebakaran sudah berakhir.

Gambut yang masih membara perlu berulang kali dibasahkan dan disejukkan bagi mengelakkan api kembali muncul di permukaan.

Sensor MODIS dan Visible Infrared Imaging Radiometer Suite (VIIRS) pula boleh menghadapi kesukaran mengesan kebakaran yang terlindung oleh asap tebal, awan dan kanopi hutan, selain api yang membara di bawah tanah.

Justeru, jumlah kebakaran yang dikesan satelit boleh berkurang meskipun keadaan di darat masih serius.

Indonesia amat terdedah kepada kebakaran sedemikian kerana negara itu mempunyai sekitar 36 peratus daripada keseluruhan kawasan gambut tropika dunia.

Kawasan gambut yang biasanya terlalu basah untuk terbakar boleh sebaliknya menjadi sangat mudah terbakar apabila kemarau berpanjangan melanda Sumatera, Kalimantan dan Papua.

Penyelidik Universiti Columbia yang membangunkan Pangkalan Data Cuaca Kebakaran Sejagat, Encik Robert Field, berkata peningkatan kebakaran kali ini menunjukkan corak yang membimbangkan.

“Indonesia baru sekitar tiga minggu memasuki musim kebakaran, tetapi kami melihat kegiatan kebakaran meningkat dengan mendadak, menyerupai 2015,” katanya seperti dipetik Nasa.

“El Nino yang kuat menjadikan musim kering semakin kering di kawasan yang terdedah kepada kebakaran, dan ini memburukkan pembakaran seperti yang kami jangkakan,” tambahnya.

Menurut data meteorologi Indonesia, sekitar 90 peratus kawasan negara itu hampir tidak menerima hujan pada awal Ogos.

Encik Field memberi amaran bahawa kebakaran menjadi jauh lebih sukar dikawal apabila api menembusi lapisan gambut.

“Kebakaran di permukaan tidak begitu membimbangkan, tetapi apabila api masuk ke bawah tanah, ia tidak akan berhenti dengan sendiri.

“Api akan terus membakar sehingga hujan turun pada Oktober atau November,” kata Encik Field.

Sekolah di Jambi dan Pekanbaru beralih kepada pembelajaran dalam talian, manakala pihak berkuasa di Dharmasraya, Sumatera Barat, menutup 268 sekolah selepas mutu udara merosot.

Beberapa penerbangan turut tergendala akibat asap tebal, manakala sembilan taman nasional ditutup.

Pemerintah kini memperhebat operasi pemadaman di darat dan udara, termasuk menerusi pengeboman air serta pengubahsuaian cuaca bagi mengawal kebakaran.

Di Jambi, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menjalankan operasi pembenihan awan dengan menyebarkan 8,000 kilogram garam natrium klorida (NaCl) ke atmosfera menggunakan helikopter.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Encik Berton Panjaitan, berkata lapan penerbangan pembenihan awan dilakukan antara 26 Ogos dengan 2 September, melibatkan keseluruhan 15 jam 32 minit penerbangan.

Operasi itu bertujuan merangsang hujan bagi membantu memadam kebakaran yang telah memusnahkan lebih 1,879 hektar kawasan di Jambi setakat 3 September, sebahagian besarnya tanah gambut yang mudah terbakar dan sukar dimasuki.

BNPB turut mengenal pasti 182 titik panas dan 20 kebakaran di beberapa kawasan di wilayah itu.

Pada 3 September sahaja, kebakaran berlaku di kawasan seluas kira-kira 47.5 hektar, dengan 37 hektar berjaya dipadamkan menerusi operasi darat dan pengeboman air.

Namun, usaha menghasilkan hujan tiruan berdepan masalah kerana keadaan awan tidak sesuai.

“Cuaca masih menjadi halangan dalam usaha menangani kebakaran hutan dan lahan,” kata Encik Berton.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) menjangkakan keadaan atmosfera yang tidak menggalakkan itu berterusan sehingga 10 September.

Encik Raja Juli berkata pemerintah akan memaksimumkan operasi pengubahsuaian cuaca sepanjang September kerana hujan semula jadi dijangka hanya kembali pada awal Oktober.

Beliau menyifatkan September sebagai tempoh penentu dalam usaha nasional mengawal kebakaran.

Risiko kebakaran kali ini turut menghidupkan kembali kebimbangan mengenai bencana 2015.

Ketika itu, kebakaran yang berlarutan lebih tiga bulan menghasilkan sekitar 1.75 bilion tan pelepasan gas rumah hijau setara karbon dioksida, melebihi jumlah pelepasan tahunan Jepun.

Setakat 2 September, kebakaran pada 2026 yang baru berlangsung sekitar sebulan dianggarkan sudah menghasilkan kira-kira 10 peratus daripada jumlah pelepasan kebakaran 2015.

Dengan musim kering masih berterusan, cabaran terbesar kini bukan sekadar memadamkan api yang kelihatan di permukaan, bahkan mengesan dan memadam kebakaran gambut yang terus membara secara senyap di bawah tanah. – Agensi berita.