Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan S’pura raih tempat kedua di kejohanan dron bola sepak

May 12, 2024 | 12:02 PM
(Dari kiri) Pengurus pasukan, Encik Edmund Lim, bersama para pemain, Encik Edwin Lie, Encik Hairulnizad Md Nor, Encik Mohamad Adi Putra Mohamad Azman, Encik Benjamin Goh dan Encik Muhaimin Humaidi, di Kejohanan Dron Dunia Kedua Persekutuan Bola Sepak Dron (Fida), di Incheon City, Korea Selatan.
(Dari kiri) Pengurus pasukan, Encik Edmund Lim, bersama para pemain, Encik Edwin Lie, Encik Hairulnizad Md Nor, Encik Mohamad Adi Putra Mohamad Azman, Encik Benjamin Goh dan Encik Muhaimin Humaidi, di Kejohanan Dron Dunia Kedua Persekutuan Bola Sepak Dron (Fida), di Incheon City, Korea Selatan. - Foto PERSATUAN BOLA SEPAK DRON SINGAPURA

Sepasukan lima peserta dari Singapura telah memenangi tempat kedua dalam pertandingan bola sepak dron di Kejohanan Dron Dunia Kedua Persekutuan Bola Sepak Dron (Fida), yang diadakan di Incheon City, Korea Selatan.

Acara yang diadakan pada 10 dan 11 Mei itu menyaksikan pasukan Rotor Raiders dari Singapura itu menjaringkan 16 gol menentang pasukan Korea Selatan yang menjaringkan 18 gol.

Berita Harian (BH) difahamkan ini adalah kali pertama pasukan Singapura bertanding dan memenangi hadiah dalam pertandingan itu.

Bola sepak dron merupakan permainan di mana dua pasukan menentang satu sama lain untuk menjaringkan gol terbanyak di gelanggang gol lawan mereka, dengan menggunakan set dron mereka sendiri yang berbentuk seperti bola.

Setiap pasukan mempunyai lima pemain yang terdiri daripada penyerang dan pemain pertahanan.

Untuk menang, pasukan perlu menggerakkan bola dron mereka sendiri, dan memacunya ke arah tiang gol lawan sambil mempertahankan tiang mereka sendiri.

Hanya penyerang dari setiap pasukan boleh menjaringkan gol.

Bercakap kepada BH pada 12 Mei, pengurus perhubungan awam pasukan itu, Cik Natasha Amaliena, berkata pasukan tersebut amat gembira dengan kemenangan pertama mereka di pentas antarabangsa.

“Fokus mereka sekarang adalah untuk berlatih kerana mereka akan bertanding lagi pada Oktober tahun depan (2025).

“Buat masa ini, mereka mungkin akan cuba pergi ke perlawanan persahabatan jika dijemput oleh Thailand, Indonesia atau Malaysia. Ia biasanya dalam negara Asean,” kata Cik Natasha.

Pasukan Rotor Raiders dianggotai lima pemain, yang terdiri daripada Encik Muhaimin Humaidi, 32 tahun; Encik Hairulnizad Md Nor, 48 tahun; Encik Mohamad Adi Putra Mohamad Azman, 19 tahun; Encik Benjamin Goh, 46 tahun; dan Encik Edwin Lie, 55 tahun.

Pasukan ‘Rotor Raiders’ terdiri daripada (dari kiri) Encik Hairulnizad Md Nor, Encik Mohamad Adi Putra Mohamad Azman, Encik Benjamin Goh, Encik Muhaimin Humaidi dan Encik Edwin Lie.
Pasukan ‘Rotor Raiders’ terdiri daripada (dari kiri) Encik Hairulnizad Md Nor, Encik Mohamad Adi Putra Mohamad Azman, Encik Benjamin Goh, Encik Muhaimin Humaidi dan Encik Edwin Lie. - Foto PERSATUAN BOLA SEPAK DRON SINGAPURA

Pengurus pasukan mereka, Edmund Lim, 45 tahun, juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Dron Singapura (ADSS).

Memberi ulasan kepada BH semasa dalam penerbangan pulang ke Singapura, Encik Muhaimin berkata dirinya amat gembira dan masih tidak dapat percaya bahawa pasukannya telah memenangi tempat kedua di persada antarabangsa.

“Saya amat gembira dengan keputusan menentang pasukan terkuat di dunia. Sukar untuk menyesuaikan latihan mingguan dengan kerja harian kami tetapi keputusan ini menjadikan semuanya berbaloi. Kami berharap kami telah membanggakan Singapura.

“Kami amat berterima kasih atas sokongan ADSS, terutamanya Edmund, atas sokongan mereka yang amat penting dalam kejayaan dan pembangunan sukan ini,” katanya.

Selain memenangi hadiah kedua dalam pertandingan itu, pasukan itu turut membawa pulang hadiah wang tunai AS$5,000 ($6,774.50).

Untuk pertandingan ini, pasukan tersebut berjaya mendapatkan penaja dari ADSS dan Drone Element Pte Ltd.

Cik Natasha berkata beliau berharap melalui kemenangan ini, lebih ramai rakyat Singapura akan mengenal sukan ini dan lebih banyak penaja, termasuk daripada agensi pemerintah, akan tampil untuk mengiktiraf sukan tersebut dan menyokongnya.

“Kami berharap lebih ramai rakyat Singapura akan belajar tentang sukan itu, dan kami berharap sukan ini akan berkembang lebih banyak lagi dalam negara kita.

Rotor Raiders telah pergi ke sekolah dan juga pameran awam untuk meningkatkan kesedaran ramai, dan kami berharap dapat mengembangkan lagi sukan ini pada masa hadapan,” kata Cik Natasha.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg