Pemerintah akan memperuntuk tambahan $20 juta bagi Dana One Team Singapore (OTSF) dalam usaha menggalak syarikat serta orang ramai memberi sokongan mereka terhadap atlet negara menerusi sumbangan.
Ini di samping jumlah $50 juta yang diperuntukkan pemerintah pada 2017 untuk memadankan derma awam dan korporat kepada OTSF.
Di samping itu, dana itu akan dilanjutkan selama setahun lagi hingga 2027 dan dikembangkan untuk menyokong Dana Inspirasi Atlet (AIF), yang dilancarkan pada 2021 bagi menyokong atlet berbakat yang mewakili Singapura dalam sukan baru muncul.
Atlet ini tidak menerima sokongan daripada Persatuan Sukan Nasional, yang dibiayai secara langsung oleh Majlis Sukan Singapura (SportSG).
Mengumumkan perkembangan itu di Parlimen semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) kementeriannya pada 7 Mac, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkata pemerintah sedar minat rakyat Singapura terhadap sukan yang pelbagai, dengan ada di antara sukan ini belum mempunyai daya tarikan meluas.
“Oleh itu, kami akan melakukan yang terbaik untuk meluaskan pilihan bagi rakyat Singapura meneruskan rangkaian sukan yang lebih luas.
“Ini adalah salah satu sebab utama mengapa kami melanjutkan OTSF hingga 2027 dan meluaskan skop untuk sumbangan yang layak untuk padanan satu-untuk-satu (one-for-one matching). Ini akan memangkinkan lebih banyak sokongan kepada atlet negara kita.
“Kami akan melakukan lebih banyak lagi untuk sukan baru muncul yang mendapat daya tarikan dalam masyarakat dan di mana atlet kami beraksi dengan baik dalam pertandingan antarabangsa,” tambahnya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Encik Mohd Fahmi Aliman (GRC Marine Parade) dan Encik Darryl David (GRC Ang Mo Kio) mengenai sokongan yang diberikan kepada atlet TeamSG dan sukan baru muncul.
Memberi perincian mengenai pengembangan OTSF bagi menyokong AIF, Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Eric Chua, berkata sokongan pembiayaan yang diberikan bakal meliputi kos seperti tambang penerbangan, penginapan, yuran pendaftaran, bayaran visa, insurans perjalanan serta peralatan.
Atlet boleh memohon untuk mendapatkan pembiayaan itu secara individu atau berpasukan, tambahnya.
Permohonan akan dibuka pada Mac, Julai dan November, setiap tahun.
Permohonan untuk Mac adalah dari 1 hingga 31 Mac dan boleh dibuat menerusi laman web, go.gov.sg/aif.
Bagi menggalak sumbangan persendirian di samping menyokong usaha pemerintah memperluaskan akses dan peluang penyertaan dan pembangunan sukan bagi golongan masyarakat yang terdedah seperti orang kurang upaya, belia dan warga emas berisiko, pendanaan OTFS ini juga akan diperluaskan kepada sumbangan yang dibuat melalui SportCares, cabang dermawan SportSG.
Melalui daya usaha dan dermasiswa SportCares, Encik Chua berkata “kanak-kanak dan belia daripada keluarga berpendapatan rendah telah diberikan akses dipertingkat kepada program sukan bermutu”.
Menurut beliau, setakat ini, seramai 300 kanak-kanak serta belia telah meraih manfaat daripada dermasiswa itu.
Sejajar dengan itu, lebih 7,200 individu telah mendapat manfaat daripada Inisiatif SportCares pada 2023.
“Kami berharap lebih ramai rakyat Singapura dan korporat akan tampil untuk menderma dengan murah hati kepada SportCares,” kata Encik Chua.
Mereka yang berminat menghulur sumbangan dan derma kepada SportCares boleh berbuat demikian menerusi https://www.giving.sg/donate/campaign/sportcares-2024
“
“Kami akan melakukan lebih banyak lagi untuk sukan baru muncul yang mendapat daya tarikan dalam masyarakat dan di mana atlet kami beraksi dengan baik dalam pertandingan antarabangsa.”“
“Kami berharap lebih ramai rakyat Singapura dan korporat akan tampil untuk menderma dengan murah hati kepada SportCares.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg