Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pawagam ‘indie’ The Projector hutang lebih $1.2j

33 pemiutang terdiri daripada individu dan pertubuhan
Aug 20, 2025 | 4:54 PM
Pemiutang termasuk lebih 2,000 penonton wayang yang memegang keahlian dengan The Projector.
Pemiutang termasuk lebih 2,000 penonton wayang yang memegang keahlian dengan The Projector. - Foto ST

Menjelang mesyuarat bersama pemiutang pada 29 Ogos, syarikat di sebalik pawagam ‘indie’ Singapura, The Projector, mendedahkan bahawa ia berhutang lebih $1.2 juta.

Dalam e-mel yang dihantar kepada pemiutang pada 19 Ogos dan dilihat oleh The Straits Times, Pocket Cinema telah menyenaraikan 33 pemiutang yang terdiri daripada individu dan pertubuhan.

Jumlah tertinggi – sebanyak $382,888.03 – dihutang kepada Overseas Movie (Private).

Nama lain dalam senarai tersebut termasuk pengarah syarikat itu, Cik Karen Tan, serta beberapa pemegang saham lain seperti salah seorang pengasas The Projector, Cik Blaise Camille Trigg-Smith.

Cik Tan, yang juga antara pengasas The Projector, dihutang lebih $120,000 manakala Cik Trigg-Smith dihutang sedikit melebihi $100,000.

Pemiutang lain termasuk 2,295 pemegang keahlian The Projector yang masih belum tamat tempoh, dengan jumlah keseluruhan yang dihutang melebihi $89,000.

Kebanyakan mereka, 1,566 orang, merupakan ahli The Projector Fan Club.

Menurut versi laman web The Projector yang disimpan dalam Internet Archive pada 9 Julai, keahlian tersebut berharga $85.

Semua ahli boleh mendapat empat tiket percuma, potongan $2 bagi tiket biasa, diskaun 10 peratus di Intermission Bar (Golden Mile Tower) dan No Spoilers Bar (Cineleisure), hadiah istimewa, serta jemputan ke acara eksklusif.

Selain itu, terdapat juga The Projector Student Club untuk pelajar dengan kad pelajar sah, dan The Projector Senior Club untuk mereka yang berusia lebih 55 tahun.

Bagi seorang pengunjung berusia 24 tahun, jumlah $7 yang dihutang kepadanya dianggap kecil.

Katanya: “Saya tidak begitu kisah mengenai wang itu kerana jumlahnya sedikit, tetapi lebih sedih adalah kehilangan ruang yang menayangkan filem yang dipilih khas melalui festival dan acara mereka. Ia juga tempat untuk pertubuhan kecil menganjurkan acara dan berkongsi cerita.”

Beliau menambah bahawa dirinya dan rakan-rakan lain yang sering berkunjung ke pawagam itu sepakat untuk tidak menuntut bayaran balik bagi membantu kelangsungan kewangan pawagam tersebut.

Mereka yang mempunyai tiket yang tidak digunakan juga disenaraikan sebagai pemiutang dengan jumlah hutang $14,302.

Seorang penonton berusia 28 tahun yang membeli dua tiket untuk tayangan Punch Drunk Love pada 20 Ogos berkata beliau turut tersenarai sebagai pemiutang.

“Nasib baik jumlah yang perlu dituntut hanya $23. Saya lebih terkejut dengan betapa cepat operasi ditutup,” katanya.

Seorang individu mempunyai 16 tiket yang belum digunakan - bilangan tertinggi berbanding yang lain dalam senarai.

Mesyuarat pemiutang dijadualkan pada 2.30 petang pada 29 Ogos melalui sidang video.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg