Pawagam multipleks pertama Singapura, Yishun 10, akan menamatkan operasinya pada 2 Mac 2027, dan akan dibangunkan semula menjadi bangunan pelbagai guna yang mempunyai kira-kira 110 unit kediaman.

Pembangunan baharu ini dijangka siap menjelang pertengahan 2031.

Ia juga akan mempunyai kawasan kedai di aras jalan, serta dek kemudahan berlandskap di tingkat dua.

Ia akan menjadi pelancaran kediaman pertama di Yishun Central dalam tempoh lebih sedekad, kata pemilik pawagam itu, Frasers Property, pada 2 September.

Pemaju hartanah itu akan terus menguruskan Yishun 10 selepas pembangunan semula tersebut selesai.

Frasers Property membeli pawagam itu, yang terletak di 51 Yishun Central 1, daripada pengendali pawagam Golden Village (GV) pada Jun 2025.

Frasers kemudian membeli 10 lot strata dalam bangunan itu daripada Frasers Centrepoint Trust dengan harga $34.5 juta.

Tapak Yishun 10 mempunyai keluasan 39,125 kaki persegi dan keluasan lantai kasar 117,376 kaki persegi.

Ia dibuka pada 28 Mei 1992 dan dinaik taraf pada 2010, sebelum dinamakan semula sebagai GV Yishun.

Frasers Property turut melancarkan satu inisiatif bernama Yishun 10 Memories untuk “mendokumentasikan dan meraikan tempat bangunan ini dalam masyarakat”.

Rancangan awal termasuk mengitar semula artifak terpilih daripada Yishun 10, meneroka peluang untuk memaparkan kisah masyarakat, karya seni, mural, serta menghimpunkan koleksi kenangan dan bahan yang disumbangkan oleh masyarakat.