JOHOR BAHRU: Sebuah pembangunan yang menelan belanja RM2.6 bilion ($786 juta) yang merangkumi pusat beli-belah yang dilengkapi empat menara akan dibina di terminal Johor Bahru di bawah projek Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link) yang akan dihubungkan dengan stesen MRT Woodlands North di Singapura.
Projek yang kini dikenali sebagai Pembangunan Bersepadu Bukit Chagar itu turut merangkumi sebuah hotel, apartmen, hab kesihatan serta kemudahan pendidikan, lapor The Straits Times (ST).
Pembangunan seluas 1.7 hektar itu akan disepadukan dengan stesen RTS di Bukit Chagar serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) baru di Johor.
Ia juga akan dihubungkan dengan khidmat pengangkutan awam sedia ada dan yang dirancang di Johor Bahru seperti khidmat kereta api elektrik KTM dan bas bandar.
Sebagai sebahagian daripada projek itu, sebuah kemudahan tempat letak kereta bertingkat yang mampu memuatkan 1,550 kereta dan 1,015 motosikal akan dibina.
Pada 13 Februari, pemaju berkata semua tempat letak motosikal dan sekitar 850 ruang tempat letak kereta – hampir 75 peratus daripada jumlah ruang yang dirancang – dijangka siap menjelang November 2026 bagi menampung peningkatan aliran trafik apabila RTS mula beroperasi.
RTS Operations, syarikat yang dilantik untuk mengendalikan laluan rel tersebut, berkata projek rel rentas sempadan sepanjang 4 kilometer itu dibina mengikut jadual untuk siap menjelang akhir 2026.
Bagi melancarkan pergerakan trafik di kawasan Bukit Chagar apabila RTS Link mula beroperasi, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata pada 13 Februari bahawa rangkaian bas-tram tanpa pemandu yang dikenali sebagai pengangkutan laju berautonomi (ART), yang bergerak di atas landasan melalui jambatan dan jejambat, dijangka beroperasi.
Menurutnya, kerajaan Malaysia memilih sistem ART dipertingkat untuk membawa penumpang ke bahagian lain di selatan Johor dan bukan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) kerana LRT menelan kos lebih tinggi serta tempoh pembinaan lebih lama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg