Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peduli pada Gaza kerana krisis kemanusiaan, moral

Kegagalan pertahan undang-undang antarabangsa boleh lemahkan sistem sejagat yang bergantung padanya, termasuk S’pura, kata pemerhati
Oct 6, 2025 | 5:30 AM
dialog  ‘Gaza Dari Lensa Kita’, BH, ZB,
Para peserta dalam siri dialog terbuka, ‘Gaza Dari Lensa Kita’, anjuran bersama akhbar Berita Harian (BH) dan Lianhe Zaobao (ZB), telah menyifatkan konflik di Gaza sebagai satu isu kemanusiaan mendesak yang memerlukan perhatian orang ramai. Gambar menunjukkan bangunan di Gaza yang musnah, dirakam dari sempadan Israel pada 21 September. - Foto REUTERS

Konflik di Gaza merupakan satu isu kemanusiaan mendesak yang memerlukan perhatian orang ramai dan bukannya soal kaum mahupun agama semata-mata.

Demikian sentimen enam peserta daripada pelbagai latar belakang ketika berbincang tentang isu Gaza dalam bahagian pertama siri dialog terbuka, Gaza Dari Lensa Kita, anjuran bersama akhbar Berita Harian (BH) dan Lianhe Zaobao (ZB).

Para peserta sebulat suara menekankan bahawa keprihatinan terhadap Gaza didorong oleh nilai empati dan belas kasihan, dan ia dilihat sebagai krisis moral terbesar dalam kehidupan masa kini.

Dialog itu disertai pengasas dan perunding kemampanan Thought Partner Eco, Cik Audrey Yang, yang juga anggota Inisiatif Biasiswa Palestin; pelajar Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Cik Nurainun Mardhiyah; pengasas syarikat konsultan kewangan Providend, Encik Christopher Tan; Profesor Madya (Sains Politik) di Sekolah Sains Kemasyarakatan NTU, Dr Walid Jumblatt Abdullah; pensyarah (Hubungan Antarabangsa) di Sekolah Sains Kemasyarakatan NTU, Dr Felix Tan; dan pengarah pengasas Dialogue Centre Limited, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib.

Sesi dialog tersebut turut melibatkan Ketua Media Sosial BH, Cik Siti Aisyah Nordin, dan Editor Berita Bersekutu ZB, Cik Wong Siew Fong, selaku moderator.

Watch on YouTube

Para peserta menegaskan bahawa isu kemanusiaan di Gaza menuntut perhatian awam, terutamanya kerana ia melibatkan penderitaan nyawa manusia, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang awam.

Salah seorang peserta dialog, Cik Yang, berkata sudah tiba masanya bagi orang ramai mengambil pendirian tentang Gaza, sambil menyifatkan keadaan di Gaza sebagai “bukan masalah keluarga kecil, ia adalah genosid aktif”.

“Ia bukan tentang kaum atau agama. Ia berkenaan isu kemanusiaan. Ia tentang keadilan,” kata beliau.

Cik Mardhiyah pula berkata bahawa keprihatinan mengenai Gaza timbul daripada naluri asas manusia untuk berempati dengan nasib sesama manusia, tanpa mengira latar belakang.

“Jika anda melihatnya daripada kaca mata manusia biasa, semua orang akan mempunyai nilai belas kasihan dan empati yang sama kerana dapat melihat sendiri kesusahan rakyat Palestin.

“Rakyat Singapura mempunyai banyak akses kepada saluran maklumat. Dengan akses itu timbul tanggungjawab tertentu untuk bertindak berdasarkan pengetahuan yang kita ada tentang apa yang berlaku di sekeliling kita, walaupun ia bukan di negara kita,” kata beliau.

Dr Walid pula menyifatkan krisis itu sebagai “krisis moral terbesar dalam hidup kita”, sambil menambah bahawa keprihatinan mengenai Gaza melangkaui masyarakat Melayu/Islam ke masyarakat lain.

Selain aspek kemanusiaan, mereka melahirkan kebimbangan mendalam mengenai kesan konflik itu terhadap ketertiban undang-undang antarabangsa.

Dr Walid, misalnya, berkata bahawa sebagai sebuah negara yang berfungsi atas dasar undang-undang dan peraturan antarabangsa, isu Gaza turut mengetengahkan keprihatinan terhadap pelanggaran undang-undang tersebut.

Sementara itu, Dr Felix Tan berkata kegagalan untuk mempertahankan undang-undang antarabangsa di Gaza boleh melemahkan sistem sejagat yang bergantung padanya, termasuk keselamatan Singapura sebagai negara kecil.

“Ia adalah tentang pelanggaran undang-undang antarabangsa, dan tidak ada pihak yang dapat bersatu padu.

“Kemudian, apa yang kita ada? Apa yang akan berlaku kepada seluruh masyarakat?” soal beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg