Lebih banyak ruang selamat perlu diadakan bagi rakyat Singapura berbincang tentang situasi Gaza secara sivil dan membina, kerana usaha untuk memahami isu mencabar sedemikian boleh membantu memperkukuh perpaduan sosial negara.
Perbincangan mengenai Gaza bukan sekadar membolehkan orang ramai mendengar sudut pandangan yang berbeza, malah belajar menghormati, memahami, mengiktiraf dan menangani perbezaan yang wujud dalam masyarakat dengan lebih baik, terutama dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.
Demikian kata para peserta dalam bahagian pertama siri dialog terbuka, Gaza Dari Lensa Kita, anjuran bersama akhbar Berita Harian (BH) dan Lianhe Zaobao (ZB), yang melibatkan enam individu daripada latar belakang berbeza.
Mereka termasuk pengasas dan perunding kemampanan Thought Partner Eco, Cik Audrey Yang, yang juga anggota Inisiatif Biasiswa Palestin; pelajar Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Cik Nurainun Mardhiyah; pengasas syarikat konsultan kewangan Providend, Encik Christopher Tan; Profesor Madya (Sains Politik) di Sekolah Sains Kemasyarakatan NTU, Dr Walid Jumblatt Abdullah; pensyarah (Hubungan Antarabangsa) di Sekolah Sains Kemasyarakatan NTU, Dr Felix Tan; dan pengarah pengasas Dialogue Centre, Encik Mohamed Imran Mohamed Taib.
Sesi dialog tersebut turut melibatkan Ketua Media Sosial BH, Cik Siti Aisyah Nordin; dan Editor Berita Bersekutu ZB, Cik Wong Siew Fong, selaku moderator.
Berhubung topik mengadakan lebih banyak ruang selamat, ada peserta dialog yang berkata ruang sedemikian penting sebagai titik permulaan bagi rakyat Singapura berbincang tentang Gaza dan lebih memahami konteks sejarah dan kerumitan keadaan serta pandangan berbeza mengenai isu tersebut.
Malah, Encik Imran menekankan bahawa ia bukan hanya tentang mengadakan ruang selamat bagi perbincangan, bahkan juga mengenai membimbing orang ramai tentang cara mengadakan perbincangan secara sivil dan membina.
“Cabarannya adalah apabila orang tidak mendengar, apabila orang berada dalam ‘echo chamber’ (ruang gema) dan mereka hanya mahu menyatakan sesuatu, tetapi mereka tidak bersedia mempertimbangkan semula pandangan mereka setelah mendengar pandangan orang lain,” kata beliau.
Dialog Gaza Dari Lensa Kita ini – kerjasama yang pertama seumpamanya antara BH dengan ZB – mengumpulkan enam peserta tersebut untuk berkongsi perspektif masing-masing mengenai keadaan di Gaza dan kesannya ke atas masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama.
Ia diadakan dengan konflik Israel-Palestin berlarutan sejak 7 Oktober 2023 apabila Hamas menyerang Israel, membunuh lebih 1,000 orang dan menculik sekitar 200 warga Israel sebagai tebusan.
Kejadian itu mencetus tindak balas tentera Israel yang setakat ini meragut nyawa lebih 66,000 warga Palestin dan menyebabkan yang lain berada di ambang kebuluran.
Perbincangan itu adalah yang pertama dalam siri dialog dua bahagian, dengan rakaman video dialog itu boleh ditonton di laman web BH dan menerusi akaun YouTube rasmi.
Bahagian kedua pula akan menampilkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang berkongsi pandangannya berhubung inti pati perbincangan enam peserta. Video itu akan diterbitkan pada 7 Oktober.
Dalam bahagian pertama, peserta diminta berdiri sederet di satu sudut studio apabila moderator mengemukakan kenyataan berhubung perang di Gaza, contohnya ‘memahami isu sukar seperti Gaza boleh memperkukuh perpaduan sosial’.
Lantas, peserta yang setuju dengan kenyataan itu diminta tampil dan duduk di bangku untuk memberi sebab-sebab di sebalik keputusan mereka itu.
Menyusuli itu, peserta yang mempunyai pandangan berbeza diminta tampil dan berhujah pula.
Cara perkongsian sedemikian diulangi bagi lagi dua soalan.
Antara kenyataan yang diutarakan kepada peserta ialah sama ada “keadaan di Gaza merupakan keprihatinan besar bagi rakyat Singapura, tidak kira kaum dan agama”.
Sebahagian besar peserta dialog itu bersetuju dengan kenyataan tersebut dan berkata keadaan di Gaza merupakan krisis kemanusiaan yang telah meragut nyawa ribuan orang awam yang tidak bersalah, termasuk kanak-kanak.
Ada yang turut mengutarakan kebimbangan tentang implikasi terhadap undang-undang dan peraturan antarabangsa.
Menyifatkan isu Gaza sebagai krisis moral terbesar dalam kehidupan orang ramai pada ketika ini, Dr Walid berkata:
“Sebagai sebuah negara yang berfungsi atas dasar undang-undang antarabangsa, jika terdapat negara yang hampir melanggar undang-undang antarabangsa dan peraturan institusi antarabangsa, saya fikir ia akan meletakkan Singapura dalam keadaan lebih berbahaya.”
Bagaimanapun, para peserta berbeza pandangan sama ada keadaan di Gaza menjadi keprihatinan utama bagi semua orang kerana setiap individu mempunyai tahap pemahaman yang berbeza berhubung konteks isu tersebut.
Encik Tan, misalnya, tidak pasti sama ada ia satu keprihatinan utama bagi rakyat Singapura, namun berkata orang ramai harus prihatin akan keadaan di Gaza kerana ia merupakan krisis kemanusiaan.
Di samping itu, ia satu isu yang membimbangkan terutama bagi umat Islam, dan juga terdapat penganut Kristian dan Yahudi yang mungkin mempunyai perasaan tertentu bagi Israel.
“Jika kita tidak mengadakan perbincangan ini dengan betul, ia boleh menjejas fabrik masyarakat. Oleh itu, saya fikir ia harus menjadi satu keprihatinan utama dan kita harus mengadakan perbincangan ini,” kata beliau.
Peserta dialog itu turut menyelami isu berkenaan reaksi emosi rakyat Singapura terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.
Dr Walid berkata adalah “tidak membantu untuk mengatakan bahawa kita tidak harus beremosi tentang” isu Gaza kerana “emosi tentang isu ini menjadikan kita manusia”.
“Soalannya adalah apa yang kita lakukan dengan emosi ini? Bagaimanakah kita menyalurkannya kepada perkara yang mungkin lebih produktif dan lebih sesuai dengan konteks kita dan sebagainya,” kata beliau.
Sementara itu, Cik Yang berkata meski isu Gaza satu keprihatinan besar, beliau memerhatikan bahawa ia bukan halnya untuk semua dalam masyarakat Singapura, dengan orang ramai secara umumnya lebih bimbang tentang isu-isu yang menjejas kehidupan harian mereka.
“(Contohnya) Apabila perang Ukraine-Russia berlaku, ia menjejas bekalan ayam kita, bukan? Kita tidak cukup ayam sebab Malaysia menghentikan eksport ke negara kita. Tetapi adakah kita fikirkan lebih mendalam, tentang mengapa kita tidak dapat ayam?
“Ia sebenarnya berkaitan dengan perang yang berlaku kerana Ukraine merupakan pengeksport utama makanan ayam dan oleh itu, masalahnya mengalir kepada kita… Tetapi saya tidak pasti berapa ramai orang yang fikirkan masalah itu lebih mendalam, tentang apakah puncanya, dan itu sangat membimbangkan,” kata beliau.
Para peserta dialog turut bersetuju bahawa lebih banyak boleh dilakukan untuk Palestin, termasuk perbuatan yang boleh dianggap simbolik seperti mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, tidak mempamerkan peralatan tentera Israel di Pertunjukan Udara Singapura, dan tidak menyekat tindakan perpaduan yang aman, seperti acara paparan sokongan yang diadakan dengan aman.
Dr Felix Tan pula mengetengahkan isu kecenderungan memberikan label kepada individu dalam perbincangan tentang Gaza, seperti melabelkan seseorang sebagai ‘anti-Yahudi’ atau ‘pengganas’ semata-mata kerana tidak bersetuju dengan satu pihak.
Beliau mempersoalkan mengapa orang suka melabel orang lain, sambil menyarankan bahawa pendapat yang berbeza harus dibenarkan.
“Kita boleh mempunyai pendapat yang berbeza, dan saya fikir penting untuk mengadakan perbincangan walau bagaimanapun sukar dan mencabar,” kata beliau.
Sementara itu, Cik Mardhiyah pula berpandangan bahawa laporan media yang lebih seimbang memainkan peranan yang amat penting dalam perbincangan Gaza.
Beliau memberi contoh tentang kes kematian wartawan Palestin, Anas Al Sharif, dan rakan-rakan sekerjanya dalam serangan udara Israel baru-baru ini.
Pelbagai media pada ketika itu telah mengulangi kenyataan tentera Israel dalam laporan mereka yang mendakwa Al Sharif ialah ketua sel Hamas yang menyamar sebagai wartawan – satu dakwaan yang dipertikaikan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Cik Irene Khan.
“Tindakan mengulangi dan mendedahkan rakyat kepada naratif seperti itu boleh memperdayakan mereka.
“Lebih banyak ruang boleh diberikan melalui media untuk membangunkan perspektif lebih seimbang dan termaklum,” kata beliau.
“
“Sudah tiba masanya kita mengambil pendirian tentang situasi di Gaza. Situasinya bukan masalah keluarga kecil, ia adalah genosid aktif... Jadi sesuatu yang serius seperti ini, kita harus memberi perhatian kepadanya dan kita harus mengambil berat mengenainya. Ia bukan tentang kaum atau agama. Ia berkenaan isu kemanusiaan. Ia tentang keadilan.”“
“Apabila saya di media sosial, saya tidak pasti sama ada ia adalah sensitif bagi saya memuat naik kiriman (mengenai pengeboman rumah ibadah seperti gereja di Gaza) dan memaklumkan rakan-rakan saya... Tetapi, jika pemimpin agama menunjukkan bahawa ia sebenarnya krisis kemanusiaan dan memperbesarkannya, maka orang akan lebih selesa bercakap mengenainya.”“
“Satu perkara yang saya amat pasti tentang rakyat Singapura berhubung isu Gaza ini adalah semua orang mempunyai rasa empati. Mereka mungkin tidak memahami konteks politik dan sejarahnya, tetapi mereka memiliki empati... itu adalah perpaduan sosial bagi saya.”“
“(Adalah) tidak membantu untuk mengatakan bahawa kita tidak harus beremosi tentang (isu Gaza kerana) emosi tentang isu ini menjadikan kita manusia... Soalannya adalah apa yang kita lakukan dengan emosi ini? Bagaimanakah kita menyalurkannya kepada perkara yang mungkin lebih produktif dan lebih sesuai dengan konteks kita dan sebagainya.”“
“Salah satu isu mengenai Gaza adalah berkenaan pelabelan. Hanya kerana kami tidak bersetuju dengan satu pihak, anda melabel kami sebagai anti-Yahudi atau pengganas.... mengapakah harus kita melabel orang? Kita boleh mempunyai pendapat yang berbeza, dan saya fikir penting untuk mengadakan perbincangan walau bagaimanapun sukar dan mencabar.”“
“Cabarannya adalah apabila orang tidak mendengar, apabila orang berada dalam ‘echo chamber’ (ruang gema) dan mereka hanya mahu menyatakan sesuatu, tetapi mereka tidak bersedia mempertimbangkan semula pandangan mereka setelah mendengar pandangan orang lain.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg