Pemandu yang ditangkap memegang telefon bimbit semasa memandu boleh berdepan dengan hukuman penjara dan denda, walaupun jika tidak menggunakan telefon itu, sekiranya undang-undang baru diluluskan Parlimen.

Kesalahan baharu itu adalah antara pindaan yang diusulkan kepada Akta Lalu Lintas Jalan Raya (RTA), yang dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen pada 7 Julai.

Rang Undang-Undang RTA (Pindaan Pelbagai) itu telah dibentangkan oleh Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann.

Dengan jalan raya di sini semakin kurang selamat, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan pada 7 Julai berkata pihaknya “akan memperketatkan penguatkuasaan dan hukuman bagi kesalahan trafik” untuk menangani trend tersebut.

Antara 2021 dengan 2025, kadar kematian akibat kemalangan trafik meningkat sebanyak sekitar 24 peratus, manakala pelanggaran trafik pula naik sekitar 38 peratus.

Antara pindaan lain yang diusulkan kepada akta itu termasuk menjadikan perbuatan menggunakan kenderaan untuk membahayakan orang lain dengan sengaja sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan parah satu kesalahan.

Selain itu, ia memperkenalkan kesalahan baharu, iaitu memandu dengan adanya dadah terkawal, bahan memabukkan atau bahan psikoaktif yang dikesan dalam spesimen darah pemandu.

Berhubung perbuatan memegang telefon bimbit semasa memandu, undang-undang semasa sudah pun menjadikan ia satu kesalahan bagi pemandu menghantar mesej atau membuat panggilan ketika memegang telefon sambil memandu.

Mereka yang didapati bersalah biasanya dikenakan 12 mata demerit dan denda antara $400 dengan $500.

Bagaimanapun, dalam kes lebih serius, pemandu boleh didakwa di mahkamah.

Jika disabit kesalahan, pesalah kali pertama boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan dikenakan denda $1,000. Pesalah berulang pula boleh dihukum penjara sehingga satu tahun dan dikenakan denda $2,000.

Ini bagaimanapun memerlukan bukti bahawa telefon bimbit itu digunakan, menjadikan ia sukar untuk melakukan penguatkuasaan kerana pihak berkuasa perlu melihat kesalahan itu dilakukan dan mengesahkannya secara manual.

Rang undang-undang tersebut meniadakan keperluan tersebut.

Sebaliknya, hanya memegang telefon semasa kenderaan bergerak akan menjadi satu kesalahan, kerana ia berbahaya dan pemandu kurang kemungkinan akan fokus di jalan raya, kata MHA.

Ini juga akan membolehkan Polis Trafik (TP) menangkap pesalah menggunakan kamera, atau melalui gambar dan video yang dihantar orang awam.

Ini bagaimanapun tidak akan menjejas penggunaan telefon yang dipasang pada pemegang.

Pemandu tetap boleh memegang telefon mereka apabila kenderaan tidak bergerak.