Satu tinjauan mendedahkan bahawa walaupun tiga daripada lima orang mendapati jalan raya di Singapura selamat, namun lebih tiga suku menyalahkan sikap tidak sabar menjadi penyebab kebanyakan bahaya lalu lintas.

“Hanya 61 peratus responden berkata mereka mendapati jalan raya Singapura selamat, yang memberikan ruang yang besar untuk penambahbaikan,” kata Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri, Cik Sim Ann, pada 30 Mei, ketika mengumumkan dapatan tinjauan melibatkan 1,000 penduduk Singapura yang dijalankan pada awal 2026.

Berucap di Hab Tampines Kita sempena Hari Keselamatan Jalan Raya Masyarakat, Cik Sim berkata terdapat kompromi keselamatan, termasuk masa perjalanan yang lebih lama pada kelajuan memandu lebih perlahan, dan penalti lebih tinggi terhadap pemandu yang melanggar peraturan lalu lintas.

Beliau berucap di majlis menandakan permulaan Bulan Keselamatan Jalan Raya Singapura 2026 - kempen tahunan selama sebulan untuk memupuk budaya jalan raya yang lebih bertanggungjawab di sini.

“Tetapi ini adalah pertimbangan yang berbaloi untuk dilakukan. Kita harus bersedia untuk mengutamakan keselamatan berbanding kelajuan atau kemudahan individu, kerana kos gagal berbuat demikian diukur dalam bentuk nyawa,” kata Cik Sim.

Kematian akibat nahas jalan raya mencapai paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun pada 2025, dengan 149 orang terbunuh, berbanding 141 pada 2016.

Bilangan orang yang cedera juga telah meningkat – daripada 9,342 pada 2024 kepada 9,955 pada 2025.

Cik Sim berkata Polis Trafik dan Kementerian Dalam Negeri telah mencapai kemajuan yang ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini melalui penguatkuasaan lebih ketat dan hukuman lebih berat, memandangkan pelanggaran had laju meningkat lebih seganda - daripada 116,440 pada 2023 kepada 253,550 pada 2025.

Sejak 1 Mac, Kamera Penguatkuasaan Pelanggaran Lalu Lintas (TVEC) telah digunakan di seluruh pulau untuk mengesan kesalahan seperti melintasi garisan putih berganda dan pusingan U haram.

TVEC telah mengesan 3,122 kenderaan melintasi garisan putih berganda pada Mac di Dunearn Road sahaja.

Angka ini meningkat kepada 4,169 pada April, kata Cik Sim, sambil menunjukkan keperluan untuk perubahan budaya penggunaan jalan raya yang lebih selamat di sini.

Beliau berkata: “Kami akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan melalui perubahan akan datang pada Sistem Mata Penambahbaikan Pemandu dan penurunan had alkohol untuk memandu dalam keadaan mabuk. Tetapi penguatkuasaan sahaja tidak dapat mengubah budaya. Ia memerlukan kita semua sama-sama memainkan peranan.”

Bulan Keselamatan Jalan Raya Singapura 2026 dilancarkan dengan slogan Keselamatan Jalan Raya Bermula dengan Kita.