Seorang pegawai polis auksiliari Certis meninggal dunia selepas rebah semasa latihan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) di Padang, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Changi Airport Group (CAG) pada 21 Jun.
Lelaki berusia 47 tahun itu adalah daripada kontinjen OneChangi bagi segmen perbarisan dan upacara NDP 2025.
Beliau dilaporkan seorang kakitangan Certis, kata jurucakap firma keselamatan itu, Encik Robin Goh sebagai menjawab pertanyaan daripada The Straits Times. Certis ialah salah satu daripada sembilan syarikat dalam kontinjen OneChangi.
Mindef dan CAG berkata peserta berkenaan rebah kira-kira 11.23 pagi dan segera dibawa ke tempat perubatan di lokasi.
Sejurus berada di tempat perubatan pada 11.26 pagi, beliau diberi rawatan segera oleh pegawai perubatan bertugas.
Bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kemudian diberikan serta-merta, namun beliau kekal tidak memberi sebarang respons.
Pada 11.42 pagi beliau dipindahkan ke dalam ambulans Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH).
Sepanjang perjalanan ke hospital, usaha menyelamat diteruskan tanpa henti.
Beliau tiba di SGH pada 11.57 pagi, namun disahkan meninggal dunia pada 12.19 tengah hari, kata Mindef dan CAG.
“Changi Airport Group (CAG) dan Jawatankuasa Eksekutif NDP 2025 sedang berhubung dengan keluarga (peserta) dan memberikan sokongan penuh semasa masa sukar ini. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga tersebut,” tambah kenyataan itu.
Encik Goh berkata Certis sedang bekerja rapat dengan Mindef dan CAG untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada keluarga lelaki itu.
“Ingatan dan takziah kami adalah bagi keluarga serta orang tersayang pegawai itu semasa tempoh sukar ini,” tambahnya.
Jurucakap CAG Encik Ivan Tan berkata terdapat sembilan syarikat dalam kontinjen OneChangi, termasuk CAG, Certis, pengendali darat dan katerer dalam penerbangan, Sats, serta Shilla Cosmetics and Perfumes.
NDP 2025, yang akan diadakan pada 9 Ogos di Padang dan Marina Bay, akan menampilkan 17 kontinjen awam lain.
Dalam catatan Facebooknya pada 21 Jun, Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Rahim yang merupakan salah seorang komander bagi kontinjen NDP 2025 berkata:
“Saya berterimakasih kepada jawatankuasa, penganjur, mereka yang awal memberikan respon serta kaunselor NDP yang menyalurkan bantuan dengan baik, dan kuat dalam detik kesedihan yang mendalam ini buat kita semua; di sebalik perbarisan serta pancaran bunga api yang gah malam ini.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg