Buat julung-julung kalinya dalam sejarah Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), segmen Perbarisan & Upacara (P&C) NDP 2025 akan menampilkan kontinjen Kawalan Kehormatan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada 9 Ogos 2025.
NDP 2025, yang juga menandakan sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura (SG60), akan turut menampilkan kontinjen Kor Relawan Angkatan Bersenjata Singapura (SAFVC) buat kali pertama sempena ulang tahun ke-10 penubuhannya.
Timbalan Pesuruhjaya (DC) (Operasi & Daya Tahan) SCDF Ling Young Ern, menjelaskan bahawa keputusan menyertakan SCDF sebagai kontinjen Kawalan Kehormatan dibuat susulan maklum balas orang ramai.
“Selepas acara meraikan ulang tahun ke-40 Pertahanan Mutlak (TD40) sempena NDP 2024, SCDF menerima maklum balas daripada orang ramai yang menyarankan… bahawa SCDF harus disertakan sebagai sebahagian kontinjen Kawalan Kehormatan.
“Kementerian Pertahanan (Mindef) dan SCDF telah menyemak saranan itu dan mendapati ia tepat pada masa dan bermakna bagi SCDF menyertai kontinjen Kawalan Kehormatan bersama SAF dan Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk NDP tahun ini (2025), dalam meraikan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura,” kongsi DC Ling.
Segmen P&C untuk NDP 2025 akan menampilkan 40 kontinjen perbarisan, iaitu jumlah terbesar di Padang sejak 1990, dan 70 kontinjen bakal mengambil bahagian.
Seramai 2,100 peserta akan menyemarakkan segmen tersebut, dan mereka termasuk anggota enam kontinjen Kawalan Kehormatan, Kontinjen Pembawa Panji-panji SAF, beberapa kontinjen sokongan SAF dan Pasukan Home Team, 10 kontinjen pertubuhan belia berseragam, 18 kontinjen awam, pancaragam gabungan, serta koir secara langsung.
Mengulas jumlah kontinjen Kawalan Kehormatan yang lebih banyak berbanding tahun-tahun sebelumnya, Pengerusi segmen P&C, Kolonel Lim Yu Sing, berkata:
“Dengan lebih banyak kontinjen dalam perbarisan, ia memang menambah sedikit kerumitan dari segi pergerakan kontinjen, ke arah mana mereka berpusing, jarak antara mereka, kepantasan gerakan mereka dan di mana mereka perlu berhenti.”
“Tetapi dari segi bagaimana kami mengatasinya, ia adalah melalui perancangan yang sangat terperinci yang diterajui oleh pasukan Sarjan Mejar Rejimen (RSM) dan para pelatih… benar-benar memberi usaha yang lebih dalam memastikan perancangan rapi dilaksanakan dengan baik,” kongsi beliau.
NDP 2025, yang bertema, ‘Majulah Singapura’, akan diketuai oleh Komander Perbarisan, Leftenan Kolonel (LTC) Mohamed Firdaus Ghazali, 38 tahun, dan RSM Perbarisan, Pegawai Waran Master (MWO) Lim Jie Hui, 46 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg