Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai keselamatan minta rasuah dari pekerja asing setelah temu rokok seludup

Jan 27, 2025 | 3:32 PM
KELVIN CHNG
Muhamad Zulfakar Muhamad Zaini dijatuhi hukuman penjara empat minggu dan denda $500 selepas mengaku bersalah terhadap satu tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah (PCA). - Foto ST

Menghadapi masalah kewangan, seorang pegawai keselamatan di dormitori pekerja asing di Kranji telah menyalahgunakan kedudukannya untuk meminta rasuah daripada dua pekerja pada Mei 2023.

Dia memaksa pekerja-pekerja tersebut membayar denda sebanyak $500 – 25 kali ganda daripada jumlah yang ditetapkan syarikat – selepas mereka didapati memiliki rokok seludup.

Muhamad Zulfakar Muhamad Zaini, 25 tahun, kemudian berkongsi wang itu dengan empat lagi pegawai keselamatan yang bertugas.

Pada 27 Januari, Zulfakar dijatuhi hukuman penjara empat minggu dan denda $500 selepas mengaku bersalah terhadap satu tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah (PCA).

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Jonathan Tan berkata Zulfakar telah melanggar integriti serta menyalahgunakan kuasanya dengan mempergunakan kelemahan pekerja asing yang takut ditamatkan kontrak pekerjaan mereka atau dihantar pulang ke negara asal, kerana memiliki rokok seludup.

Ketika kesalahan itu dilakukan, Zulfakar bekerja sebagai pegawai keselamatan di Kranji Lodge 1 dan telah diberi latihan mengenai polisi dormitori itu berkaitan rokok seludup, lapor The Straits Times (ST).

Ia menetapkan bahawa seorang pekerja boleh dikenakan denda sehingga $20 jika didapati memiliki rokok seludup.

Apabila membayar denda, pekerja perlu menandatangani borang dan pegawai keselamatan akan menyerahkan denda tersebut kepada pihak pengurusan, yang kemudiannya akan mengeluarkan resit tunai sebagai bukti. 

Pegawai keselamatan juga perlu memusnahkan barang seludup yang dirampas.

Pekerja yang ditangkap dengan jumlah rokok seludup yang lebih banyak pula akan dirujuk kepada pihak polis dan Kastam Singapura.

Pada 11 Mei 2023, dua pekerja binaan yang tinggal di dormitori tersebut ditangkap oleh pegawai keselamatan yang lain ketika mereka pulang dengan membawa lima bungkus rokok seludup.

Pegawai keselamatan itu membawa pekerja tersebut ke pejabat keselamatan sekitar 11 malam dan mereka kemudiannya disoal siasat oleh Zulfakar, yang ketika itu bertugas sebagai penyelia syif.

Zulfakar kemudian mengarahkan rakan sekerjanya untuk menuntut denda sebanyak $500 daripada dua pekerja asing asal Bangladesh itu dan mengugut untuk melibatkan pihak polis jika mereka gagal membuat pembayaran.

Kedua-dua pekerja itu akur dan menyerahkan $500 kepadanya.

Zulfakar kemudian membahagi-bahagikan wang rasuah itu secara sama rata kepada empat pegawai keselamatan lain.

DPP Tan tidak mengulas lanjut tentang bagaimana perkara itu terbongkar, tetapi beliau menambah bahawa siasatan lanjut menunjukkan itu bukan kali pertama dia melakukan perkara tersebut.

Sejak 2021, Zulfakar telah terlibat dalam beberapa kejadian mengutip denda daripada pekerja kerana memiliki barang terlarang sebelum membahagikan wang tersebut dengan rakan sekerjanya.

Keempat-empat pegawai lain yang terlibat dalam kes itu telah dikenakan tindakan.

Bagi setiap pertuduhan di bawah PCA, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga $100,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg