Seorang pegawai kanan keselamatan didakwa menerima rasuah sekurang-kurangnya $4,750, sebanyak 32 kali daripada pekerja sebuah syarikat perkapalan yang dikatakan anggota sindiket penyeludupan rokok haram ke Singapura.
Menurut kenyataan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), Ahmad Khamis, 64 tahun, yang bekerja dengan Pico Guards pada waktu itu, didakwa menerima rasuah tersebut bagi membenarkan anggota sindiket menyeludup rokok haram itu melepasi pos keselamatan di Terminal Penjuru Chevron ke Singapura, antara 2019 dengan 2022.
Ahmad didakwa menerima wang tersebut daripada beberapa individu yang bekerja untuk Eng Hup Shipping, termasuk Abdul Rahman Abdul Wahab, Vadivalu Dharman, Theku Raja Suresh, dan Roslan Selamat.
Dia turut didakwa membantu Roslan dan seorang lagi individu, Mohd Salleh Ahmad, menyeludup rokok yang belum dibayar cukai dengan membenarkan kereta bugi yang diisi rokok tersebut melepasi pos pemeriksaan keselamatan syarikat minyak Chevron di Jalan Buroh, sekitar 3 pagi 24 Disember 2022.
Pada 22 November 2024, Ahmad dikenakan 13 tuduhan rasuah serta dua lagi tuduhan di bawah Akta Kastam berkaitan rokok haram.
Dia dijangka mengaku bersalah pada 3 Januari 2025.
Roslan, 65 tahun, pula dikenakan empat tuduhan rasuah melibatkan $1,000 secara keseluruhan, dan dua tuduhan di bawah Akta Kastam.
Dia didakwa bersekongkol dengan Abdul Rahman, Vadivalu, dan Theku untuk memberi rasuah kepada Ahmad pada 2022.
Ahmad dan Roslan adalah warga Singapura, sementara Theku, 41 tahun, adalah warga India yang menghadapi empat tuduhan rasuah melibatkan $700 kesemuanya.
Dia dituduh bersekongkol dengan Vadivalu, Abdul Rahman, Roslan dan Rathnakumar Deepan untuk memberi rasuah kepada Ahmad antara 2020 dengan 2022.
Kes Theku dan Roslan akan disambung pada Disember, manakala status kes Abdul Rahman, Vadivalu, Rathnakumar dan Salleh tidak dinyatakan dalam dokumen mahkamah.
Bagi setiap tuduhan rasuah, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun dan didenda sehingga $100,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg