Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai LTA maut ketika kejar penunggang motosikal cuba larikan diri

Jun 5, 2024 | 11:23 AM
Motosikal pegawai LTA Encik Zdulfika Ahakasah (kiri) merempuh ke pembahagi jalan ketika mengekori seorang penunggang yang kemudiannya ditahan. 
Motosikal pegawai LTA Encik Zdulfika Ahakasah (kiri) merempuh ke pembahagi jalan ketika mengekori seorang penunggang yang kemudiannya ditahan.  - Foto oleh FACEBOOK SG ROAD VIGILANTE

Seorang pegawai penguatkuasa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) maut semasa bertugas pada pagi 4 Jun ketika mengejar seorang penunggang motosikal yang cuba melarikan diri.

Ketika dihubungi, polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kemalangan membabitkan satu motosikal, dua lori dan satu van di sepanjang SLE menghala ke BKE berhampiran susur keluar TPE kira-kira jam 10.40 pagi.

“Seorang pegawai penguatkuasa LTA yang menunggang motosikal itu dihantar ke hospital dan kemudiannya meninggal dunia,” kata polis.

Seorang lelaki berusia 18 tahun, dipercayai penunggang yang dikejar pegawai itu, ditahan kerana kesalahan disyaki berkaitan dadah, memiliki senjata, dan pelbagai kesalahan berkaitan pemanduan, tambah polis.

LTA berkongsi di laman Facebook pada hari kejadian menyatakan rasa sedih dengan pemergian Encik Zdulfika Ahakasah, 26 tahun, yang merupakan ahli pasukan penguatkuasanya.

“Zdulfika cuba menahan seorang penunggang motosikal bersalah ketika kemalangan itu berlaku. LTA bekerjasama dengan Polis Trafik untuk menyiasat kejadian itu secara menyeluruh, dan membawa penunggang motosikal terbabit ke muka pengadilan.

“Kami berhubung dengan keluarganya untuk mengucapkan takziah dan memberikan sokongan penuh di masa yang sukar ini,” kata LTA.

Video kejadian yang disiarkan di laman Facebook SG Road Vigilante – SGRV menunjukkan pegawai yang menaiki motosikalnya mengejar seorang penunggang di bahu lorong berhampiran susur keluar lebuh raya.

Penunggang motosikal yang pada mulanya kelihatan perlahan, secara tiba-tiba membelok ke kanan dan memotong laluan sebuah lori. Pegawai itu mengikut rapat di belakang, sebelum merempuh motosikalnya ke pembahagi jalan.

Penolong Pesuruhjaya Kanan, Encik Daniel Tan, Komander Polis Trafik, berkata:

“Ini adalah kehilangan tragis nyawa rakan penguatkuasa undang-undang yang meninggal dunia ketika melaksanakan tugasnya untuk menjaga keselamatan jalan raya kita.

“Polis akan menyiasat perkara ini secara menyeluruh, dan memastikan mereka yang bertanggungjawab menghadapi hukuman undang-undang yang sewajarnya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg