Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai polis tambahan simpan AirPods hilang didakwa pecah amanah

Mar 7, 2025 | 4:48 PM
Pegawai polis tambahan, Sundar Aravinth, diamanahkan dengan satu AirPods Pro putih bernilai $335 yang hilang, tetapi menukarnya dengan alat pendengarannya yang tidak berjenama dan menyerahkannya di pejabat barang hilang dan ditemui di Lapangan Terbang Changi.
Pegawai polis tambahan, Sundar Aravinth, diamanahkan dengan satu AirPods Pro putih bernilai $335 yang hilang, tetapi menukarnya dengan alat pendengarannya yang tidak berjenama dan menyerahkannya di pejabat barang hilang dan ditemui di Lapangan Terbang Changi. - Foto SHIN MIN

Seorang pegawai polis tambahan yang menyimpan alat pendengaran telinga AirPods milik penumpang yang kehilangannya di dalam pesawat, didakwa pecah amanah pada 7 Mac.

Daripada menyerahkan alat itu di pejabat barang hilang dan jumpa, Sundar Aravinth, seorang warga India berusia 29 tahun, dikatakan menyerahkan alat pendengarannya sendiri yang tidak berjenama.

Menurut dokumen mahkamah, dia diamanahkan dengan satu AirPods Pro putih bernilai $335 dan dikatakan secara tidak jujur ​​menukar alat pendengaran itu untuk kegunaannya sendiri, lapor The Straits Times.

Sundar berkata dia berhasrat mengaku salah dan tidak akan mendapatkan khidmat peguam bela.

Bercakap melalui seorang jurubahasa, Sundar memberitahu Hakim Daerah Lim Tse Haw:

“Saya melakukan kesalahan itu tanpa memikirkan mengenai akibatnya. Saya meminta jasa baik tuan supaya menghantar saya pulang ke negara saya.”

Hakim menjawab: “Anda boleh menyatakan ini dalam rayuan mitigasi anda.”

Sundar menambah bahawa visanya akan tamat pada 31 Mac, tetapi pihak pendakwaan berkata dia akan diberikan pas khas untuk kekal di Singapura.

Apabila dia bertanya apakah kesnya boleh disegerakan, Sundar diberitahu bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa untuk menyediakan dokumen berkaitan pengakuannya.

Kesnya ditangguhkan ke 17 April.

Polis berkata pada 6 Mac mereka dimaklumkan mengenai satu kes curi pada 5.35 petang 28 Februari.

Siasatan mendedahkan seorang penumpang tertinggal AirPods-nya di dalam pesawat yang dinaiki.

Barangan itu ditemui oleh kru kabin dan diserahkan kepada Sundar, yang bertugas di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi.

Dia kemudian didakwa memutuskan untuk menyimpannya bagi kegunaan sendiri.

Polis berkata: “Dia memberikan gambar alat pendengaran milik peribadinya yang tidak berjenama dan menyerahkannya kepada pejabat barangan hilang dan ditemui, bukan AirPods milik mangsa.”

Apabila penumpang pergi untuk menuntut kembali barangannya itu, beliau mendapati ia bukan miliknya.

Syarikat majikan Sundar menjalankan siasatan dalaman dan membuat laporan polis selepas mengetahui dia mengambil barang tersebut.

Dia ditangkap, dan alat itu dikembalikan kepada pemiliknya.

Mereka yang disabitkan dengan jenayah pecah amanah boleh dijatuhi hukuman penjara hingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg