Mulai Mac, Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan mengambil pegawai warga asing, seperti paramedik dan teknisyen perubatan kecemasan, dari negara Asean bagi menyokong pengrekrutan tempatannya, kata Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo.
Meskipun usaha telah dilaksanakan bagi memperluaskan kumpulan pegawai setempat, termasuk menawarkan gaji yang berdaya saing, Cik Teo berkata pengrekrutan tempatan tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan.
“Ini kerana peranan EMS memerlukan kemahiran perubatan lanjutan yang kekurangan bekalan tempatan.
“Selain itu, tugas EMS, walaupun sangat memuaskan, adalah amat mencabar dan mungkin tidak menarik minat semua,” kata beliau semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di Parlimen pada 4 Mac.
Beliau menambah permintaan tahunan bagi EMS naik hampir 30 peratus sepanjang lima tahun lalu (sejak 2020), dan ia dijangka meningkat sedang penduduk Singapura semakin menua.
Dalam memastikan SCDF terus menyediakan standard khidmat perubatan kecemasan tertinggi, semua rekrut baru – tidak kira kewarganegaraan mereka – perlu menjalani latihan dan akreditasi yang ketat, kata Cik Teo.
Ini termasuk dalam mendapatkan kelayakan profesional yang diperlukan, mengikut piawaian SCDF.
Cik Teo menambah SCDF pada masa yang sama, akan terus memberi tumpuan pada pengrekrutan warga Singapura untuk mengekalkan teras tempatan yang kukuh.
Antaranya, mereka telah memperluaskan laluan pengrekrutan bagi pegawai EMS, termasuk melalui Program Diploma Kerja-Belajar SCDF-Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam separa perubatan (jagaan perubatan kecemasan di luar hospital), yang menawarkan peluang kepada individu membina kerjaya bersama SCDF sementara memburu diploma.
SCDF juga telah memperkenalkan Laluan Pakar Separa Perubatan dalam usaha mengiktiraf, membangunkan dan mengekalkan kepakaran mendalam dalam bidang EMS.
Cik Teo berkata kumpulan pertama 16 pakar kanan akan dilantik pada Mac, dan mereka akan membantu SCDF membina pengetahuan dalam bidang EMS, menjadi mentor kepada paramedik baru dan mempertingkat protokol EMS.
Kumpulan pakar kanan itu juga akan menerima elaun kemahiran tambahan bagi mengiktiraf kepakaran dan sumbangan tambahan mereka kepada SCDF.
Sementara itu, Cik Teo berkata Pasukan Polis Tambahan (APF) telah merekrut Pegawai Polis Tambahan (APO) dari lima sumber negara baru, yang membentuk sekitar tiga peratus daripada seluruh tenaga kerja APO, sehingga Disember 2024.
Negara tersebut adalah dari Sri Lanka, Myanmar, Filipina, India dan China.
Pada Januari 2024, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dalam satu jawapan bertulis di Parlimen, berkata MHA telah mempertimbangkan untuk memperluaskan bidang kuasa yang membolehkan APF untuk merekrut APO dari negara asing yang dikenal pasti.
Ini demi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk khidmat keselamatan, di tengah-tengah cabaran tenaga kerja tempatan yang semakin berkurangan dan pilihan pekerjaan yang rakyat Singapura miliki.
APO, sebelum ini, hanya merangkumi pegawai berkerakyatan Singapura, Malaysia dan Taiwan.
Cik Teo berkata rakyat Singapura membentuk majoriti APO dan ia akan kekal begitu.
“Demi memastikan standard keselamatan tidak terjejas, semua APO, tidak kira kewarganegaraan, perlu memenuhi syarat fizikal, pendidikan dan kejujuran yang tidak diragui, ditetapkan Pasukan Polis Singapura (SPF).
Ini termasuk lulus pemeriksaan keselamatan dan kursus asas APO.
“APF juga memastikan APO baru membiasakan diri dengan konteks tempatan, nuansa budaya dan persekitaran operasi Singapura,” kata beliau.
Menjawab soalan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) berkenaan pengrekrutan dan latihan bagi pegawai warga asing, Cik Teo berkongsi lanjut bahawa mereka, antara lain, akan menjalani latihan sambil bekerja sebelum dikerahkan, dengan dipadankan dengan paramedik kanan setempat.
Ini demi memastikan mereka dapat membiasakan diri dengan baik dan dilengkapi untuk beroperasi selaras dengan piawaian profesional dan protokol SCDF.
Mereka juga dikehendaki lulus keperluan bahasa Inggeris supaya dapat berkomunikasi dengan jelas dan berkesan dengan pesakit dan keluarga mereka.
“Semua parademik juga perlu lulus ujian pensijilan pakar paramedik dan ujian kecekapan ambulans, manakala teknisyen perubatan kecemasan perlu lulus ujian pensijilan EMT SCDF sebelum dikerahkan.
“Selepas dikerahkan, pegawai warga asing perlu menjalani ujian pensijilan setiap tahun dan pendidikan berterusan serta latihan, agar mereka boleh terus memenuhi syarat yang sama seperti pekerja tempatan,” kata Cik Teo.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg