Seorang pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dijangka mengaku bersalah kerana meninggalkan seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) sendirian bagi memadamkan kebakaran di sebuah flat HDB.
Tindakannya menyebabkan NSF tersebut sesak nafas dan meninggal dunia.
Pegawai tersebut, Muhammad Kamil Mohamed Yasin, 39 tahun, menghadapi satu tuduhan menyebabkan kecederaan parah ekoran tindakan cuai yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Mendiang Sarjan 1 Edward H. Go, 19 tahun, meninggal dunia semasa memadamkan kebakaran di Blok 91, Henderson Road pada 8 Disember 2022.
Kamil didakwa pada Oktober 2023, dan menurut rekod mahkamah, dia dijadualkan mengaku bersalah pada 15 Januari 2025.
Pada Oktober 2023, polis melaporkan bahawa Kamil didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan meninggalkan Sarjan 1 Go bersendirian semasa memadam kebakaran, tanpa memaklumkan sesiapa.
Sarjan 1 Go merupakan anggota bomba pertama SCDF yang terkorban dalam operasi memadam kebakaran, lapor The Straits Times (ST).
Bedah siasat mengesahkan Sarjan 1 Go meninggal dunia akibat sesak nafas berpunca daripada kehabisan oksigen dalam silinder udara, dan tiada bukti menunjukkan bahawa kematiannya disebabkan oleh kegagalan peralatan.
SCDF menyatakan bahawa pasukan beliau segera mengeluarkannya dari unit yang terbakar itu, memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR), dan menggunakan alat defibrilator sebelum membawanya ke Hospital Besar Singapura (SGH) dan disahkan meninggal dunia.
SCDF ketika itu menyatakan bahawa Sarjan 1 Go disahkan sihat sebelum pendaftarannya dan dikategorikan di bawah standard pekerjaan fizikal (PES) – PES A – yang menandakan beliau layak menggalas tugasan barisan hadapan.
Dalam sesi Parlimen pada Januari 2023, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata, Sarjan 1 Go telah memperoleh gold standard (piawai emas) dalam ujian kecergasan fizikal dan gred A dalam ujian kecekapan peralatan pernafasan, dan telah menyertai hampir 60 operasi kebakaran sejak beliau ditugaskan di Balai Bomba Central pada Mei 2022.
Kamil diwakili oleh peguam jenayah veteran, Encik Ramesh Tiwary, dan kes itu akan didengar oleh Hakim Daerah, Encik Shawn Ho.
Jika sabit kesalahan, Kamil boleh dikenakan hukuman penjara sehingga empat tahun, didenda sehingga $10,000 atau kedua-duanya sekali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg