Walaupun tahu anggota bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) perlu beroperasi sekurang-kurangnya secara berpasangan, seorang pegawai kanan (SCDF) membiarkan seorang anggota bomba Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) melawan api seorang diri.
Pegawai Waran 2, Muhammad Kamil Mohamed Yasin, 39 tahun, berbuat demikian kerana berasa pening akibat panas semasa memadamkan api dalam satu kebakaran di Blok 91, Henderson Road, Bukit Merah pada 8 Disember 2022, dan ingin berehat.
Dia memberi isyarat ibu jari kepada Sarjan (1) Edward H. Go, 19 tahun, dan meninggalkan flat tersebut.
Dia juga tidak memberitahu rakan sekerjanya bahawa Sarjan (1) Go sedang melawan api bersendirian, lapor The Straits Times.
Sarjan (1) Go kemudian ditemui tidak bergerak di dapur dan disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.
Pada 15 Januari, Kamil, mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada Sarjan (1) Go melalui perbuatan cuai yang membahayakan nyawa dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan.
Sarjan (1) Go adalah anggota bomba pertama yang meninggal dunia semasa operasi pemadaman kebakaran SCDF.
Keluarga Sarjan (1) Go turut hadir semasa perbicaraan Kamil.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Benjamin Low berkata Kamil telah menjadi anggota bomba sejak 2008 dan tahu bahawa anggota bomba harus sentiasa beroperasi sekurang-kurangnya secara berpasangan.
Pada 8 Disember 2022, SCDF menerima panggilan mengenai kebakaran di Blok 91, Henderson Road.
Apabila anggota bomba tiba di unit tersebut, api masih marak.
Kamil, yang merupakan pegawai berpangkat tertinggi di situ, Sarjan (1) Go dan seorang lagi anggota bomba memasuki unit tersebut.
Pada ketika itu, anggota bomba ketiga berasa letih dan bertanya kepada Kamil jika beliau boleh meninggalkan unit tersebut.
Sementara api terus marak, Kamil meminta untuk menyedia satu lagi hos bomba. Dia kemudian berasa pening akibat kepanasan dan ingin berehat.
Kamil kemudian menepuk belakang Sarjan (1) Go, memberi isyarat kepadanya, dan meninggalkan anggota NSF itu seorang diri.
Kamil tidak meluahkan dengan kata-kata untuk memberitahu Sarjan (1) Go dia akan beredar, walaupun api masih belum dipadamkan.
Selepas itu, Kamil bertemu Leftenan Kolonel (LTC) Hassan di tangga, namun tidak memberitahunya bahawa Sarjan (1) Go sedang melawan api seorang diri di dalam unit tersebut.
Apabila LTC Hassan memasuki unit tersebut, beliau melihat hos bomba di lantai dengan tekanan air rendah dan menyimpulkan semua anggota bomba telah meninggalkan unit.
Pada 12.55 petang, lebih ramai anggota bomba tiba dan mendapati Sarjan (1) Go terbaring dan tidak bergerak. Beliau dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada 2.15 petang.
DPP Jordon Li meminta hukuman penjara sekurang-kurangnya enam bulan, menegaskan tiada keadaan yang membenarkan meninggalkan seseorang sendirian dalam kebakaran di SCDF.
Hakim Daerah Ho sebak dan berkata: “Takziah kepada keluarga Encik Edward H. Go yang terkorban ketika berkhidmat sebagai anggota bomba.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg