Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai SPS guna pendekatan kreatif sebagai kaedah pemulihan pesalah muda

Feb 29, 2024 | 5:10 PM
Usaha pemulihan dengan pesalah muda adalah sesuatu yang menarik bagi Pakar Rehabilitasi Pemulihan Kanan bersama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), Cik Daeng Norashida Sahak.
Usaha pemulihan dengan pesalah muda adalah sesuatu yang menarik bagi Pakar Rehabilitasi Pemulihan Kanan bersama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), Cik Daeng Norashida Sahak. - Foto SPS

Usaha pemulihan dengan pesalah muda merupakan sesuatu yang menarik buat Cik Daeng Norashida Sahak.

Apa tidaknya, sebagai Pakar Pemulihan Kanan bersama Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), beliau perlu cari jalan kreatif bagi kaedah yang digunakan untuk memberi kesan kepada pesalah sedemikian.

Beliau berkata pesalah sedemikian merupakan golongan yang dinamik.

Pegawai berusia 35 tahun itu menjelaskan: “Saya harus menjadi kreatif dengan kaedah campur tangan kerana pesalah muda lebih cenderung untuk memberi respons yang baik kepada pendekatan ‘seronok’.

“Jadi ini membolehkan saya mencuba dan melakar strategi yang akan selari dengan mereka.”

Beliau memberi contoh seorang pesalah muda di bawah penyeliaannya yang mempunyai sejarah keganasan, isu kesihatan mental dan konflik hubungan bersama anggota keluarga.

Melalui interaksi beliau dengan jejaka itu, Cik Norashida mendapati lelaki tersebut berdepan dengan isu mengawal amarah dan mudah diprovokasi oleh orang lain.

“Pada mulanya, lelaki itu menentang usaha campur tangan. Namun selepas meluangkan masa bersamanya, kami berjaya membina hubungan berteraskan kepercayaan.

“Apa yang paling menarik bagi saya ialah usaha yang beliau telah lakukan bagi mengurus sikap amarahnya, terutama ketika di rumah dengan mengambil langkah aktif untuk menjauhi masalah dan membina hubungan bersama anggota keluarga,” jelasnya.

Bahkan, menyusuli pendekatan Cik Norashida dan kepercayaan yang telah terjalin, lelaki itu berkongsi kepada beliau tentang kek hari jadi yang dibeli ibunya kerana ia menyentuh perasaannya.

Menurutnya, pengalaman seperti ini merupakan antara sebab yang membuat beliau terus ingin berbakti kerana peranannya membolehkan beliau menjalani proses perubahan bersama-sama dengan pesalah, di samping memberi dorongan untuk mengatasi cabaran yang mereka hadapi.

Beliau berkata: “Peranan saya di sini adalah untuk memberi sokongan, panduan (kepada pesalah) dan menyuntik harapan bagi perubahan supaya mereka dapat disepadukan semula dalam masyarakat.”

Daripada pengamatan Cik Norashida setelah berkecimpung selama lebih 10 tahun dalam sektor perkhidmatan sosial, evolusi program pemulihan bagi bekas pesalah telah beralih ke arah pendekatan lebih holistik, bertujuan “menggalakkan penyepaduan semula dalam komuniti.”

Beliau telah melihat penekanan lebih besar dalam perkongsian masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan sokongan yang diberikan bagi keluarga bekas pesalah.

“Oleh itu, rakan kongsi masyarakat dan sukarelawan juga memainkan peranan yang besar dalam memberikan sokongan untuk keluarga (pesalah) agar mereka dapat memberikan tumpuan untuk membina ikatan hubungan keluarga,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg