Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai tinggi hospital didenda $3,500 sebabkan nahas libatkan warga emas

Sep 19, 2023 | 6:57 PM
PENUNGGANG BASIKAL: Gambar fail ini menunjukkan seorang penunggang mengayuh basikal di Woodlands Ring Road yang sebahagiannya telah dijadikan tempat pejalan kaki.
PENUNGGANG BASIKAL: Gambar fail ini menunjukkan seorang penunggang mengayuh basikal di Woodlands Ring Road yang sebahagiannya telah dijadikan tempat pejalan kaki. - Foto ST

Seorang timbalan pengarah kejururawatan di hospital Woodlands Health (WH) gagal memandu secara berwaspada sehingga mengakibatkan perlanggaran dengan seorang penunggang basikal warga emas yang mengalami kecederaan, termasuk patah buku lali kanan.

Peh Sue Cheng, 55 tahun, didenda $3,500 pada Selasa selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas orang lain akibat memandu tanpa berwaspada dan tidak memberi perhatian sewajarnya.

Dia juga dilarang memegang atau mendapatkan semua kelas lesen memandu selama lima tahun.

Peh gagal memantau dengan betul semasa memandu kereta di sepanjang jalan raya berhampiran Blok 649A, Woodlands Ring Road, ke arah persimpangan-T tidak berisyarat sekitar 1 petang pada 1 November 2022.

Ini mengakibatkan perlanggaran dengan Cik Ho Tee Kim, 75 tahun, yang berbasikal dari arah laluan pejalan kaki ke jalan raya berkenaan.

Cik Ho dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat dan disahkan mengalami kecederaan termasuk patah buku lali kanan.

Beliau dimasukkan ke wad hampir sebulan dan kemudian diberi lebih 100 hari cuti sakit.

Pihak berkuasa sejak itu memberi amaran kepada Cik Ho mengenai peranannya dalam nahas itu.

Pada Selasa, jurucakap WH memberitahu The Straits Times bahawa pihaknya tidak akan mengulas mengenai kes itu kerana ia perkara peribadi.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah ke atas orang lain semasa memandu tanpa waspada dan memberi perhatian yang sewajarnya, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda sehingga $5,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg