Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peguam: Penunggang basikal kes amuk di East Coast hadapi tumor otak

Apr 17, 2024 | 5:19 PM
Nicolette Tan Shi-en, yang bekerja sebagai peguam pada masa itu, mengaku bersalah pada 17 April atas pertuduhan menyebabkan gangguan.
Nicolette Tan Shi-en, yang bekerja sebagai peguam pada masa itu, mengaku bersalah pada 17 April atas pertuduhan menyebabkan gangguan. - Foto FACEBOOK SGKAYPOHLAH, KELVIN CHNG

Seorang penunggang basikal yang berpaut pada bonet kereta semasa bertengkar dengan pemandu kenderaan di East Coast Road pada 2 Jun 2023, disahkan menghidap tumor otak sejurus selepas kejadian itu.

Penyakit itu mungkin menjejaskan kelakuannya, kata peguamnya.

Nicolette Tan Shi-en, 32 tahun, yang bekerja sebagai peguam pada masa itu, mengaku bersalah pada 17 April lalu, atas pertuduhan menyebabkan gangguan kepada pemandu, Elaine Michele Ow, 49 tahun.

Ow mengaku bersalah pada 15 Februari atas satu pertuduhan melakukan perbuatan terburu-buru yang membahayakan keselamatan Tan. Dia akan dijatuhkan hukuman pada 14 Mei.

Tan mengaku memberhentikan basikalnya di hadapan kereta, bersemuka dengan Ow dan membuka pintu kereta.

Pertuduhan kedua menghalang lalu lintas, akan diambil kira untuk hukuman ke atas Tan pada 25 Mei.

Peguam Tan, Encik Rajan Sanjiv Kumar, memetik laporan pakar psikiatri, memberitahu mahkamah pada 17 April bahawa kemunculan tumor di bahagian hadapan otak anak guamnya berkemungkinan besar mempengaruhi tingkah lakunya pada hari itu.

Encik Rajan, yang meminta agar denda dikenakan tidak lebih daripada $2,000, berkata bahawa kedudukan tumor itu mungkin menyebabkan anak guamnya mengalami perubahan personaliti dan menjejas pertimbangannya.

Tetapi Encik Rajan akui bahawa pakar psikiatri tidak membuktikan adanya hubungan tidak langsung antara penyakitnya dan tingkah laku Tan yang menyinggung perasaan.

Hakim Daerah Janet Wang mempersoalkan sama ada pakar psikiatri Tan mempunyai kepakaran untuk membuat kesimpulan sedemikian.

Beliau menambah bahawa pakar neurologi akan lebih bersedia untuk memberikan pendapat mengenai isu ini.

Hakim menyatakan bahawa tumor Tan, yang telah dikeluarkan, tidak ganas.

Encik Rajan berkata beliau akan mendapatkan pendapat daripada pakar neurologi Tan sama ada penyakit anak guamnya mempunyai kaitan dengan kesalahannya.

Mahkamah diberitahu bahawa Ow, seorang pengajar masakan, sedang dalam perjalanan ke pusat beli-belah di Katong sekitar 3.10 petang, untuk mengajar apabila dia memintas Tan, yang berbasikal, di selekoh Still Road ke East Coast Road.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg