Topic followed successfully
Go to BHkuPejabat Ehwal Jemaah S’pura sudah berada di Arab Saudi
Pejabat Ehwal Jemaah S’pura sudah berada di Arab Saudi
Pejabat Ehwal Jemaah S’pura sudah berada di Arab Saudi
Selepas persiapan teliti selama beberapa bulan, Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO), kini sudah berada di lapangan di Arab Saudi.
Dalam satu video yang dimuat naik oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam Instagram, pasukan SPAO kelihatan sedang membuat persiapan di beberapa kawasan ibadah haji.
Kumpulan pertama jemaah Singapura dijadual berangkat ke Madinah pada 9 Mei.
Kumpulan jemaah seterusnya pula akan berangkat pada 12 dan 14 Mei.
Mereka akan berangkat dan pulang melalui tiga penerbangan langsung ke dan dari Arab Saudi.
Menurut Muis, pasukan SPAO akan menubuhkan Hab Operasi Haji dan klinik perubatan di Aziziyah (berdekatan dengan Mina), Makkah dan Madinah bagi membantu penyelarasan dan keselamatan para jemaah.
Justeru, seramai 11 anggota SPAO telah dikerah ke tapak suci.
Ia termasuk Ketua Delegasi, Pengarah Pejabat Haji, Ketua SPAO, Pegawai Jemaah, Pegawai Agama dan Ketua Pegawai Perubatan.
Sewaktu sesi taklimat sebelum keberangkatan haji 2026 pada 25 April di Pusat Konvensyen Suntec, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menegaskan bahawa Muis telah memulakan persiapan teliti – bekerjasama dengan beberapa pihak sejak awal lagi.
Antaranya ialah, Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), ejen jualan serta rakan sekerja di Arab Saudi dan juga Kementerian Haji dan Umrah (Mohu) Arab Saudi.
Setiausaha Kehormat Amtas, Ustazah Juyda Noor Mohamad, memberitahu Berita Harian (BH), beliau akan bertolak dari Singapura ke Arab Saudi pada malam 4 Mei.
BH juga telah menghubungi pihak Muis bagi mendapatkan keterangan lanjut.


