Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenantian sedekad untuk terima panggilan haji
Penantian sedekad untuk terima panggilan haji
Kebimbangan jemaah tidak dapat tunai haji ekoran konflik Timur Tengah reda dengan jaminan langkah keselamatan baru
Penantian sedekad untuk terima panggilan haji
Setelah menanti sedekad, Cik Izza Atiqa Ishak akhirnya menerima panggilan untuk menjadi tetamu di Tanah Suci.
Namun Cik Izza Atiqa, 36 tahun, bimbang peluang itu akan dihambat oleh keadaan yang tidak menentu di Timur Tengah.
Justeru, ibu kepada cahaya mata berusia dua tahun itu rasa lega apabila mendapat berita mengenai langkah baharu yang diperkenalkan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan jemaah Singapura bagi musim haji 2026.
Beliau antara 900 jemaah yang akan berangkat bagi mengerjakan ibadah itu dan telah menghadiri sesi taklimat sebelum keberangkatan haji 2026 pada 25 April di Pusat Konvensyen Suntec. Delegasi jemaah akan diketuai oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dua langkah baru diperkenalkan termasuk buat pertama kalinya, jemaah Singapura akan berangkat dan pulang bersama-sama menerusi tiga penerbangan secara langsung ke Arab Saudi, bagi membolehkan penyelarasan pergerakan jemaah yang lebih baik serta operasi haji lebih cekap.
Selain itu, jemaah akan diberikan kad nusuk yang wajib sebelum berangkat, untuk memastikan ketibaan dan pengalaman di Tanah Suci yang lebih lancar, serta menenangkan kerisauan jemaah.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), beliau berkata:
“Saya rasa ia menenangkan fikiran kami apabila perjalanan kami dipermudah menerusi tiga penerbangan terus ke Tanah Suci. Saya juga lega bahawa komunikasi antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), ejen penjualan haji dan jemaah juga sangat lancar.”
Beberapa jemaah yang ditemui BH di sesi taklimat itu melahirkan rasa lega dan yakin menjelang ibadah haji, menyusuli langkah-langkah dan usaha Muis dan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas).
Turut akan menunaikan haji ialah Encik Iskandar Shah Shaik Mohamed, 66 tahun, dan isterinya, Cik Halifah Rogaiyah Abdul Majid, 65 tahun.
Encik Iskandar tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan tentang penantian selama 13 tahun yang bakal berakhir.
Meskipun keadaan di Timur Tengah terus tidak menentu, pasangan itu tidak bimbang tentang keselamatan mereka, kerana yakin dengan persiapan dan jaminan yang diberikan oleh Muis serta rakan-rakan kerjasamanya menjelang keberangkatan mereka ke tanah suci.
“Dr Faishal sentiasa memberi jaminan bahawa kebajikan para jemaah sentiasa dijaga oleh Muis dan rakan kongsinya, terutamanya dari aspek keselamatan dan kesihatan. Pergerakan kami di tanah suci juga akan sentiasa dipantau,” kata Encik Iskandar, yang akan berangkat bersama isterinya pada 9 Mei.
Turut menyambut baik langkah-langkah untuk menjaminkan ibadah haji yang aman dan lancar ialah Encik Effandy Kumess, 56 tahun, yang akan menjalankan haji bersama isterinya, Cik Hairani Haron, 55 tahun.
“Saya rasa kehadiran Dr Faishal adalah langkah yang sangat baik, kerana ia hanya memperkukuhkan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil setakat ini,” kata beliau.
